Filipina tubuh suruhanjaya siasat skandal projek tebatan banjir
MANILA: Kerajaan Filipina menamakan anggota pertama sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat skandal projek tebatan banjir palsu, yang disyaki menjejaskan kedudukan ramai ahli Parlimen negara itu.
Skandal membabitkan projek infrastruktur 'hantu' itu mencetuskan kemarahan rakyat sejak Presiden, Ferdinand Marcos Jr, dalam ucapannya pada Julai lalu berikrar akan mendedahkan semua yang terbabit selepas beberapa minggu banjir maut melanda negara itu.
Menurut pegawai media presiden, Claire Castro, tiada seorang pun daripada mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana agensi atau kontraktor yang sedang disiasat, merujuk kepada ahli-ahli badan penyiasat yang dilantik bagi menyiasat projek infrastruktur dalam tempoh 10 tahun lalu.
"Seperti yang ditegaskan oleh presiden berulang kali, tiada siapa akan dilindungi, termasuk ahli keluarga, rakan mahupun sekutu politik," katanya.
Bekas Setiausaha Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH), Rogelio Singson dan akauntan bertauliah, Rossana Fajardo, dilantik sebagai dua daripada tiga ahli suruhanjaya itu.
Datuk Bandar Baguio City, Benjamin Magalong, pula akan berperanan sebagai penasihat khas dan penyiasat.
Marcos Jr dijangka akan menamakan pengerusi suruhanjaya dalam masa terdekat.
Berdasarkan perintah eksekutif bertarikh 11 September, badan itu diberi kuasa untuk mengadakan sesi pendengaran, mengambil keterangan serta mengumpul, menyemak dan menilai bukti serta laporan maklumat berkaitan.
Ia juga boleh memohon supaya dana dan aset milik individu yang disyaki terbabit dalam projek tebatan banjir dan infrastruktur yang meragukan dibekukan atau dirampas.
Namun, suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang secara langsung.
Pada 8 September, bekas Presiden Senat Filipina, Francis Escudero, digantikan oleh Vicente Sotto III di tengah-tengah siasatan yang sedang dijalankan oleh kedua-dua dewan Kongres berhubung skandal itu.
Nama Escudero dikaitkan dengan satu kontraktor utama projek kawalan banjir negara itu, namun dakwaan itu disifatkan sebagai 'serangan politik' untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan tertinggi Senat.
Jabatan Kewangan Filipina menganggarkan ekonomi negara mengalami kerugian sehingga 118.5 bilion peso (RM709 juta) antara 2023 hingga 2025 akibat rasuah dalam projek kawalan banjir itu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan