NATO beri amaran kepada Russia hentikan tindakan provokatif
BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi amaran kepada Russia bahawa pakatan itu akan menggunakan 'segala kuasa ketenteraan dan bukan ketenteraan' untuk mempertahankan diri.
Amaran itu dikeluarkan bersama kecaman terhadap Moscow kerana menceroboh ruang udara Estonia baru-baru ini, yang disifatkan sebagai tingkah laku yang semakin tidak bertanggungjawab.
Amaran itu dikeluarkan selepas Estonia pada Jumaat mendakwa tiga jet pejuang MiG-31 milik Russia menceroboh ruang udaranya selama 12 minit sebelum diiring keluar oleh jet pejuang Itali di bawah kawalan NATO.
Minggu sebelumnya, sekitar 20 dron milik Russia dilaporkan memasuki ruang udara Poland, menyebabkan pesawat tempur NATO menembak jatuh sebahagian daripadanya serta memperkukuh pertahanan di bahagian timur Eropah.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, turut menyuarakan sokongan terhadap tindak balas tegas NATO terhadap sebarang pencerobohan pada masa depan ketika bercakap kepada media semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Ketika ditanya sama ada negara anggota NATO patut menembak jatuh pesawat Russia yang menceroboh ruang udara mereka, Trump menjawab, 'Ya, saya setuju'.
Kenyataan NATO itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Atlantik Utara yang dianggotai duta dari 32 negara ahli, susulan tindakan Estonia mengaktifkan Artikel 4 dalam perjanjian penubuhan NATO.
Ketua Pentagon, Pete Hegseth, turut mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Estonia, Hanno Pevkur, semalam.
Beliau menyatakan Washington 'berdiri teguh bersama semua sekutu NATO dan sebarang pencerobohan ke ruang udara NATO tidak boleh diterima', menurut kenyataan Pentagon.
Pentagon turut memuji tindakan pantas pertahanan udara sekutu Eropah dan memaklumkan bahawa Washington sedang memantau keadaan dengan teliti.
"Russia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan ini yang bersifat provokatif dan mengancam nyawa. Ia mesti dihentikan," menurut kenyataan Majlis itu. – REUTERS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan