NATO kukuhkan pertahanan timur Eropah selepas Poland tembak jatuh dron
BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengumumkan langkah ketara untuk memperkukuh pertahanan di sayap timur Eropah.
Tindakan diambil dua hari selepas sebuah dron yang dipercayai milik Russia ditembak jatuh di ruang udara Poland.
Kes itu menandakan pertama kali salah seorang anggota perikatan Barat melakukan pelanggaran ruang udara sejak perang Russia-Ukraine bermula.
Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS) menyatakan rasa bimbang terhadap pencerobohan itu dan menegaskan komitmennya untuk mempertahankan setiap inci wilayah NATO.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha menenangkan sekutunya selepas Presiden AS, Donald Trump, mencadangkan pelanggaran ruang udara itu mungkin satu kesilapan.
Poland, sekutu terdekat Washington, menolak cadangan Trump. Mereka menyifatkan insiden dron itu sebagai cubaan Russia untuk menguji kesiapsiagaan Poland dan NATO dalam menghadapi ancaman.
Kementerian Luar Poland menyatakan harapan supaya Washington mengambil tindakan segera bagi menunjukkan solidariti dengan Warsaw. Ini adalah satu percanggahan pendapat yang jarang berlaku antara AS dan sekutunya.
AS bersama sekutu Barat yang lain mengeluarkan kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan mengenai insiden dron itu dan menuduh Moscow melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB.
Russia menafikan kes itu dan Duta Besarnya ke PBB, Vassily Nebenzia, menegaskan jarak maksimum dron yang digunakan adalah 700 kilometer (km), menjadikannya mustahil secara fizikal untuk mereka sampai ke wilayah Poland.
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, menggelar pencerobohan itu perbuatan yang melulu dan tidak boleh diterima.
Beliau menegaskan bahawa NATO tidak boleh membenarkan dron Russia memasuki ruang udara perikatan.
NATO melancarkan operasi yang digelar 'Eastern Sentry' sebagai balasan.
Ia adalah satu operasi anjal untuk memperkukuhkan pertahanan di sepanjang sayap timur perikatan, dari negara Baltik hingga ke Romania dan Bulgaria.
Komander Tertinggi Bersekutu Eropah NATO, Jeneral Tentera Udara AS, Alexus Grynkewich, berkata Poland dan semua anggota perikatan harus yakin dengan balasan pantas NATO.
Beliau juga menambah bahawa misi itu akan bermula pada Jumaat petang dan membabitkan aset dari udara dan darat.
Rutte berkata beberapa sekutu, termasuk Denmark, Perancis, Britain dan Jerman, telah memberikan komitmen untuk menyertai misi itu, dengan lebih ramai lagi dijangka akan menyusul.
NATO turut memperincikan aset tambahan yang akan digunakan, termasuk jet pejuang F-16 dan frigat dari Denmark, jet pejuang Rafale dari Perancis, serta jet pejuang Eurofighter dari Jerman.
Sepanyol dan Britain juga berjanji untuk menyumbangkan aset ketenteraan mereka.
Kes itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kesiapsiagaan NATO dalam menghadapi serangan dron besar-besaran yang kini menjadi ciri utama dalam perang di Ukraine.
Dalam perkembangan lain, Jerman dan Perancis telah memanggil duta Russia di negara masing-masing berhubung kes dron itu, menunjukkan betapa seriusnya mereka mengambil isu terbabit - REUTERS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan