3 lelaki simpan bangkai harimau didenda RM250,000, penjara 7 tahun
KOTA TINGGI – Seorang pemandu dan dua jurukimpal masing-masing dihukum denda RM250,000 dan penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyimpan bangkai seekor harimau belang betina (Panthera Tigris Jacksoni) tanpa permit khas, minggu lalu.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49; Nazerin Tomiran, 47; dan adik beradik iaitu Mohamad Nazrol Tomiran, 28, dan Nazerin Tomiran, 47, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh dipenjara selama tujuh tahun sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama menyimpan harimau belang betina yang telah mati itu di bahagian belakang bonet sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Haiwan tersebut adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan mereka menyimpannya tanpa permit khas.
Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Felda Tenggaroh, Mersing pukul 6.10 pagi, pada 16 September lalu itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan dan penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi
dan Anongrakh Wechit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Md Shaheezam, Nazerin dan Mohamad Nazrol masing-masing memohon hukuman denda dan hukuman penjara diringankan kerana sakit dan menangung keluarga.
Md Shaheezam dalam rayuannya berkata, dia yang mempunyai lima anak dan bekerja sebagai pemandu di sebuah ladang dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menghidap kanser hati tahap empat.
Nazerin pula berkata, dia mempunyai empat anak dengan pendapatan tidak menentu sebagai jurukimpal dengan purata kira-kira RM2,000 sebulan dan mempunyai sakit buah pinggang.
Sementara adiknya, Mohamad Nazrol yang baru berkahwin dan juga bekerja sebagai jurukimpal, turut mempunyai sakit buah pinggang dan mempunyai pendapatan tidak tetap kira-kira RM2,000 sebulan.
Bagaimanapun Fatin Hanum memohon hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran awam dan kesalahan itu sangat serius.
Hukuman itu juga katanya, supaya jenayah melibatkan hidupan liar dapat dibanteras kerana Harimau Malaya adalah spesies terancam dan dilindungi sepenuhnya.
“Kesalahan dilakukan kesalahan serius libatkan khazanah negara yang tidak ternilai daripada spesis ikonik yang ada pada lambang jata negara, logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan MayBank.
“Harimau Malaya memainkan peranan penting dalam rantaian kehidupan dan kehilangan haiwan ini menjejaskan ekosistem yang memberi kesan juga kepada manusia.
“Sehingga tahun 2018, populasi haiwan ini direkodkan kurang daripada 200 ekor dan terkini kurang 150 ekor. Malaysia antara 13 negara yang masih mempunyai habitat asal harimau belang. Harimau belang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia.
“Demi kepentingan awam hukuman berat perlu untuk dijadikan pengajaran dan tauladan kepada orang awam ini sekali gus memberi signal bahawa jenayah libatkan hidupan liar jenayah dipandang serius oleh mahkamah Malaysia,” katanya.
Beliau turut berhujah, kehilangan harimau belang yang sangat terancam akan menjejaskan ekosistem dan spesies yang tidak boleh diperdagangkan kecuali bagi tujuan penyelidikan dan zoo.
“Kita jangkakan, sekiranya tiada tindakan drastik yang diambil segera, kita akan kehilangan populasi harimau belang ini dari habitat asal dalam lima hingga 10 tahun lagi,” hujahnya dalam hujahan pemberatan hukuman.
Pendakwaan yang turut memaklumkan kes dihadapi tiga tertuduh itu adalah kes pertama selepas hukuman bagi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 itu dipinda dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 2023.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh dan turut memerintahkan eksibit harimau belang itu dilupuskan, manakala MPV serta anak kunci milik adik-beradik kepada Nazerin dan Mohamad Nazrol, selain empat telefon bimbit dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, seorang pegawai polis dan lima anggota pergi ke stesen minyak itu selepas menerima aduan terdapat individu yang membawa bangkai harimau sebelum pihak berkuasa menjumpai tiga lelaki iaitu tertuduh dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan kemudian dilakukan ke atas sebuah Perodua Alza dan menjumpai seekor harimau belang betina yang telah mati di bahagian bonet belakang MPV berkenaan.
Ketiga-tiga tertuduh kemudian gagal mengemukakan permit khas daripada Jabatan Perhilitan bagi menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Polis kemudian merampas bangkai harimau berkenaan, MPV, anak kunci dan empat telefon bimbit dan menyerahkan tertuduh serta barang rampasan kepada pihak Jabatan Perhilitan.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Hayda Faridzal melihat barang kes iaitu bangkai seekor harimau belang betina di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Tinggi, hari ini

Tiada ulasan:
Catat Ulasan