Bekas Ketua Hakim dilantik Perdana Menteri Nepal
KATHMANDU: Bekas ketua hakim negara Nepal, Sushila Karki, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri hari ini bagi mengetuai kerajaan peralihan, enam bulan sebelum pilihan raya umum (PRU).
"Saya, Sushila Karki, mengangkat sumpah atas nama negara dan rakyat untuk menunaikan kewajipan saya sebagai perdana menteri," kata Karki, 73, semasa upacara angkat sumpah dipengerusikan Presiden Ram Chandra Paudel.
Beliau juga adalah ketua hakim wanita pertama Nepal.
"Tahniah! Kami doakan anda berjaya, doakan kejayaan negara," kata Paudel kepada Karki selepas majlis ringkas di istana presiden, yang turut dihadiri oleh diplomat dan beberapa bekas pemimpin.
Pelantikan itu menyusuli protes antirasuah untuk menggulingkan kerajaan sebelumnya, yang mengakibatkan lebih 50 mangsa maut dan ratusan cedera.
Sebelum itu, Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, meletak jawatan pada Selasa lalu, selepas bangunan Parlimen dan pejabat kerajaan dibakar.
Nepal, yang mempunyai 30 juta penduduk, dilanda kekacauan minggu ini selepas pasukan keselamatan cuba menyuraikan perhimpunan dianjurkan oleh golongan muda yang menuntut tindakan antirasuah.
Protes itu bertukar ganas, mengakibatkan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh. Ia merupakan keganasan terburuk sejak berakhirnya perang saudara dan pemansuhan monarki pada 2008.
Tentera mengambil alih kawalan pada Rabu lalu dan menguatkuasakan perintah berkurung untuk mengembalikan ketenteraman.
PRU dijangka diadakan pada Mac 2026. Pelantikan Karki, seorang hakim yang terkenal dengan pendirian bebasnya, dibuat selepas dua hari rundingan sengit antara Ketua Tentera, Jeneral Ashok Raj Sigdel dan Paudel.
Rundingan itu turut membabitkan wakil-wakil daripada kumpulan 'Gen Z', satu gelaran yang merujuk kepada pergerakan protes belia.
Ribuan aktivis muda menggunakan aplikasi dalam talian, Discord, untuk membincangkan langkah seterusnya dan menamakan Karki sebagai calon pemimpin yang mereka pilih.
Parlimen Nepal dibubarkan selepas upacara angkat sumpah Karki, dan PRU dijadualkan berlangsung pada 5 Mac 2026.
Karki, hanya tersenyum dan tunduk berulang kali sebagai tanda penghargaan selepas majlis itu, tanpa memberikan sebarang ucapan.
Protes itu mencerminkan masalah ekonomi yang berlarutan di Nepal, di mana satu daripada lima individu berumur antara 15 hingga 24 tahun menganggur, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita hanya AS$1,447 (RM6,084). - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan