Tentera Zionis akan hantar aktivis GSF yang dipintas ke Eropah
BAITULMAQDIS: Kementerian Luar Israel semalam memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar aktivis pro-Palestin menaiki kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas tentera laut negara itu ke Eropah.
"Penumpang GSF dan kapal mereka mereka sedang dalam perjalanan ke Israel dengan selamat dan aman, di mana prosedur penghantaran mereka ke Eropah akan dimulakan.
"Penumpang berada dalam keadaan selamat dan sihat," kata kementerian itu di platform X, selepas beberapa kapal yang belayar menuju Gaza dipintas tentera laut Israel.
Setakat jam 7 petang semalam (waktu Malaysia), menurut sistem penjejakan flotila, tentera Israel menahan lebih 30 kapal membawa aktivis dan bantuan ke Gaza, dengan baki kapal dilaporkan masih meneruskan pelayaran ke perairan Palestin.
Secara keseluruhan, konvoi GSF merangkumi kira-kira 45 kapal, termasuk kapal pemerhati dan pengiring, memulakan pelayaran ke Gaza bulan lalu.
Tentera laut Israel mula melakukan pemintasan pada Rabu selepas memberi amaran kepada aktivis supaya tidak memasuki perairan yang didakwa berada di bawah kepungan mereka.
Jurucakap GSF, Saif Abukeshek, yang dipetik Al-Jazeera, berkata lebih 201 individu dari 37 negara menaiki kapal berkenaan, termasuk 30 peserta dari Sepanyol, 22 dari Itali, 21 dari Turkiye dan 15 dari Malaysia, selain beberapa negara lain.
Kementerian Luar Israel menyiarkan sebuah video menunjukkan seorang wanita berpakaian seragam tentera sedang bercakap melalui telefon, memperkenalkan dirinya sebagai wakil tentera laut Israel.
Dalam panggilan itu, beliau memberi amaran kepada flotila bahawa ia sedang menghampiri kawasan larangan yang dikepung serta menjelaskan sebarang bantuan ke Gaza mesti dihantar 'melalui saluran ditetapkan'.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon, turut memaklumkan aktivis di atas flotila bantuan Gaza akan dihantar pulang selepas tamat cuti perayaan Yom Kippur pada Khamis.
Wartawan Al Jazeera, Nida Ibrahim, dari Doha berkata laporan menunjukkan lebih banyak pemintasan dijangka berlaku.
"Anggota tentera Israel telah menaiki kapal dan menahan ramai aktivis di atasnya.
"Mereka yang ditahan kebiasaannya melalui proses undang-undang, namun Israel kini hampir keseluruhannya ditutup sempena cuti Yom Kippur.
"Ini bermakna mahkamah dan penjara tidak berfungsi, sekali gus mewujudkan keadaan tergantung buat aktivis sekiranya mereka ditahan," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan