Kampung Bharu Bukan Tanah Rizab Melayu, Kata Menteri
KUALA LUMPUR, 6 OKT 25 — Tidak seperti jangkaan banyak pihak, tanah Kampung Bharu sebenarnya bukanlah berstatus Rizab Melayu, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau tampil membetulkan salah faham berhubung status tanah di Kampung Bharu, yang terletak di Kuala Lumpur itu yang sering dianggap sebagai kawasan yang diwartakan sebagai tanah Rizab Melayu.
Sebaliknya, kawasan Kampong Bharu katanya dirizabkan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS) dan diwartakan pada 12 Jan 1900 berdasarkan peruntukan seksyen 6, Enakmen Tanah 1897 melalui Kaedah-Kaedah M.A.S (Kuala Lumpur) 1950 serta tidak tertakluk kepada Enakmen Rizab Melayu.
“Tanah ini mempunyai sekatan kepentingan yang tidak membenarkan orang bukan Melayu memiliki serta menghuni.
“Selain itu, tanah di kawasan Kampung Bharu mempunyai endorsan atau sekatan MAS pada hak milik tanah.
“Manakala Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur adalah tertakluk di bawah peruntukan Enakmen Rizab Melayu [F.M.S Cap 142], sebagaimana terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah (Ubahsuaian Enakmen Rizab Melayu) Wilayah Persekutuan 1974 [P.U.(A) 60/1974]).
Ia menetapkan Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki, dipindah milik atau dipajakkan kepada orang Melayu sahaja, kata Zaleha.
Beliau menjawab soalan lisan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang bertanyakan cabaran ketara terhadap pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampong Bharu.
Jelas Zaliha, sehingga tahun 2025, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah sekitar 2,480 ekar atau 1,004 hektar yang merangkumi Rizab Melayu Segambut dan Rizab Melayu Selayang di dalam Mukim Batu.
Selain itu, Rizab Melayu Sungai Penchala dan Rizab Melayu Taman Desa di dalam Mukim Kuala Lumpur serta Rizab Melayu Gombak di dalam Mukim Setapak. @politiko.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan