3 pemilik utama media sosial akan patuhi larangan penggunaan remaja bawah umur 16 tahun di Australia
SYDNEY: Syarikat pemilik utama media sosial termasuk Meta, TikTok dan Snap akan mematuhi larangan penggunaan media sosial bagi remaja bawah umur 16 tahun di Australia, walaupun tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar baharu itu.
Dalam kenyataan kepada Parlimen Australia, ketiga-tiga syarikat itu menegaskan larangan itu tidak akan melindungi golongan muda sepenuhnya, namun tetap mematuhi undang-undang yang akan berkuat kuasa mulai 10 Disember ini.
Meta yang juga pemilik Instagram, memaklumkan akan memulakan proses menyahaktifkan akaun pengguna bawah umur sebaik undang-undang itu dilaksanakan, membabitkan kira-kira 450,000 akaun di platform Instagram dan Facebook.
TikTok pula menganggarkan terdapat 200,000 akaun bawah 16 tahun, manakala Snap, pemilik Snapchat, mengenal pasti sekitar 440,000 akaun di bawah kategori sama.
Ketiga-tiga platform itu akan menghubungi pemilik akaun berkenaan bagi memberi pilihan sama ada memadam kandungan mereka atau menyimpannya sehingga mencapai usia 16 tahun.
Menurut undang-undang baharu Australia, platform media sosial diwajibkan mengambil "langkah munasabah" bagi menyekat pengguna di bawah 16 tahun atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (RM150 juta).
Sebelum ini, syarikat berkenaan berhujah bahawa larangan berkenaan berisiko mendorong remaja berpindah ke laman sesawang tidak terkawal dan lebih berbahaya, selain memutuskan hubungan sosial mereka. Mereka juga menyifatkan pelaksanaan undang-undang itu sebagai terlalu rumit.
Naib Presiden Kanan Dasar Global Snap, Jennifer Stout, berkata pihaknya tetap menghormati keputusan kerajaan.
"Kami tidak bersetuju, namun kami menerima dan akan mematuhi undang-undang berkenaan," katanya melalui pautan video.
Ketua Dasar Awam TikTok bagi Australia, Ella Woods-Joyce, turut menegaskan pendirian sama.
"TikTok akan mematuhi undang-undang dan memenuhi segala kewajipan yang ditetapkan.
Woods-Joyce menambah bahawa syarikat itu akan menggunakan perisian pengesanan automatik untuk mengenal pasti pengguna yang berkemungkinan memberikan maklumat umur palsu.
"Sekiranya kami mengesan seseorang mendakwa berusia 25 tahun tetapi kelakuannya menunjukkan dia bawah 16 tahun, akaunnya akan dinyahaktifkan mulai 10 Disember," katanya.
Bagi pengguna yang tersilap dikenal pasti sebagai bawah umur, Meta dan TikTok akan merujuk mereka kepada alat pengesahan umur pihak ketiga, manakala Snap masih mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi kes berkenaan.
Langkah Australia itu menarik perhatian banyak negara lain yang turut menilai pendekatan sama dalam usaha mengekang risiko kesihatan mental dalam kalangan remaja akibat penggunaan media sosial secara berlebihan. - REUTERS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan