Israel dijangka pintas Flotila Global ‘malam ini atau esok’
BRUSSELS – Kapal-kapal Flotila Global Sumud yang sedang belayar menuju ke Semenanjung Gaza kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan disekat Israel ketika menghampiri zon berisiko tinggi di timur Laut Mediterranean, lapor akhbar Itali La Stampa pada Selasa.
Dua kapal flotila, Jeannot III dan Estrella, meneruskan pelayaran mereka dengan jangkaan tiba dalam masa tiga hari, sementara aktivis memberi amaran misi itu boleh berdepan campur tangan Israel dalam beberapa jam sahaja lagi.
“Kami kini berada kira-kira 200 batu dari Semenanjung Gaza, iaitu dua hingga tiga hari pelayaran. Kami berada di tengah-tengah perairan antarabangsa antara Greece dan Turkiye.
“Kemungkinan besar, malam ini atau esok, kami akan dipintas oleh tentera Israel,” kata Yassine Lafram, Presiden Kesatuan Komuniti Islam Itali (UCOII), dalam satu video kemas kini dari atas Kapal Karma.
Beliau menyifatkan sebarang tindakan sedemikian sebagai “satu bentuk lanun, penculikan yang melanggar semua peraturan undang-undang antarabangsa,” sambil menegaskan flotila itu tetap bertekad untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan “memecahkan kepungan yang dikenakan ke atas seluruh Semenanjung Gaza.”
Aktivis Itali, Tony La Piccirella, pula menegaskan flotila itu akan memasuki zon pemintasan tidak lama lagi.
“Tiada had rasmi bagi sekatan laut itu, tetapi ia berlanjutan selagi negara lain membenarkan Israel berbuat demikian. Kami tidak akan berhenti. Cadangan damai itu hanyalah sandiwara, cadangan penyerahan sepenuhnya. Satu penjualan tanah Palestin kepada Israel dan AS,” katanya.
Flotila Global Sumud, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal dengan lebih 500 aktivis di atasnya, berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Gaza.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 66,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza. Serangan berterusan itu telah menjadikan wilayah tersebut tidak lagi sesuai didiami dan menyebabkan kebuluran. – Agensi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan