INSAP Dan Gabungan NGO Desak URA Ditarik Balik, Dakwa Ancam Hak Pemilik Hartanah
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 – Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP) bersama lebih 14 pertubuhan masyarakat sivil, badan profesional dan persatuan penduduk, serta kumpulan alam sekitar Klima Action Malaysia (KAMY), sebulat suara menolak Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Bandar (URA) dengan menyifatkannya sebagai “fundamentally flawed” dan berpotensi merampas hak rakyat ke atas harta mereka.
Gabungan itu, menerusi memorandum bersama yang lahir daripada INSAP Urban Affairs Policy Summit (UAPS) 2025, memberi amaran bahawa URA dalam bentuk semasa melemahkan perlindungan Perlembagaan, menghakis kepercayaan masyarakat dan memberi kelebihan tidak seimbang kepada pemaju.
“Dengan menurunkan ambang persetujuan daripada 100% kepada 80%, 75% malah 51%, URA membuka ruang pemilik minoriti dipaksa menyerah hak milik. Ini bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” tegas memorandum itu.
Selain isu hak milik, gabungan tersebut membangkitkan kebimbangan terhadap kuasa berlebihan yang diberikan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meluluskan projek serta melantik pemaju tanpa semak imbang yang mencukupi.
Mereka juga menegaskan, model URA yang terlalu “developer-driven” bakal menyingkirkan komuniti daripada membuat keputusan, selain bersifat bias kepada perobohan berbanding pendekatan regenerasi dan adaptasi semula.
Antara cadangan utama yang dikemukakan termasuklah mewajibkan Social dan Traffic Impact Assessment (SIA/TIA) dalam undang-undang, memastikan pampasan mencerminkan nilai sebenar pembangunan semula termasuk sokongan sewa dan mekanisme perkongsian keuntungan, serta memberi perlindungan khas kepada kumpulan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya, penyewa dan keluarga berpendapatan rendah.
Gabungan itu turut mendesak kerajaan menarik balik URA dalam bentuk semasa dan melaksanakan moratorium terhadap semua usaha pemaju sehingga satu kerangka undang-undang yang lebih telus, berpaksikan rakyat, serta menghormati bidang kuasa kerajaan negeri diwujudkan.
“Pembaharuan bandar mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan sebaliknya. Tanpa perubahan menyeluruh, URA hanya akan menjadi instrumen pengusiran, bukannya pembangunan,” menurut kenyataan bersama itu lagi.
Bantahan awam turut meluas di mana Perhimpunan Tolak URA pada 4 Oktober ini bagi menggesa kerajaan mendengar suara rakyat sebelum sebarang langkah pembaharuan bandar dilaksanakan. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan