Hamas kerah pasukan bersenjata, polis kuatkan kawalan Gaza selepas gencatan senjata
BAITULMAQDIS: Hamas mula mengerahkan pejuang bersenjata dan pasukan polis di beberapa kawasan Gaza dalam usaha memperkukuh semula kawalan di wilayah Palestin yang musnah selepas perjanjian gencatan senjata dimeterai dengan Israel minggu lalu.
Imej yang tular menunjukkan puluhan anggota Hamas berkumpul di sebuah hospital di selatan Gaza ketika pembebasan tebusan Israel pada pagi tadi, manakala laporan lain menyebut berlaku kejadian tembakan serta hukuman mati di beberapa kawasan lain.
Saluran Telegram yang dikaitkan dengan Hamas mendakwa operasi itu menyasarkan 'tali barut dan pengkhianat', merujuk kepada kumpulan bersenjata (militia) yang disokong Israel di wilayah berkenaan.
Pada masa sama, pejuang Hamas turut terbabit dalam pertempuran berdarah dengan sebuah keluarga berpengaruh di Bandar Gaza hujung minggu lalu.
Keganasan itu dijangka tidak menjejaskan perjanjian gencatan senjata semasa dengan Israel.
Namun, ia menimbulkan kebimbangan terhadap isu perlucutan senjata Hamas yang menjadi satu syarat penting tetapi masih samar dalam perjanjian itu serta cabaran bakal dihadapi pasukan penstabil serantau yang akan ditempatkan di Gaza.
Menjawab pertanyaan wartawan di pesawat Air Force One mengenai laporan Hamas bertindak terhadap pesaingnya bagi mengembalikan pengaruh di Gaza, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kumpulan itu bertindak 'mengikut parameter perjanjian gencatan senjata'.
"Mereka mahu menghentikan kekacauan dan telah menyatakannya secara terbuka. Kami memberikan mereka kebenaran untuk tempoh tertentu… Sekitar dua juta orang kini kembali ke bangunan yang telah musnah dan banyak perkara buruk boleh berlaku.
"Jadi, kami mahu ia selamat. Saya rasa semuanya akan baik-baik saja, walaupun tiada siapa pasti," kata Trump.
Pada Isnin, fasa pertama perjanjian baharu itu bermula dengan pembebasan dan pemindahan 20 tebusan hidup oleh Hamas kepada Israel.
Serentak itu, pihak berkuasa Israel membebaskan kira-kira 2,000 tahanan termasuk 250 yang sedang menjalani hukuman panjang.
Sejak Ahad, ratusan trak membawa bantuan dan barangan keperluan telah memasuki Gaza, menyebabkan harga barangan di pasaran menjunam.
Kebuluran diisytiharkan di beberapa bahagian wilayah itu pada Ogos lalu, dan agensi bantuan menegaskan lebih banyak bekalan amat diperlukan dengan segera.
Kegiatan rompakan oleh kumpulan terancang dan masyarakat yang terdesak menyukarkan agihan bantuan kemanusiaan di Gaza oleh pertubuhan antarabangsa utama, selain turut berdepan sekatan Israel dan operasi ketenteraan yang masih berlanjutan.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan telah berundur ke kedudukan baharu dan kini menguasai lebih separuh wilayah Gaza.
Sebahagian besar wilayah itu kini musnah dengan penduduk tertumpu di zon pesisir al-Mawasi serta bandar-bandar yang rosak teruk di kawasan tengah dan bandar Gaza.
Menurut pegawai tentera Israel dan pekerja bantuan kanan, Hamas masih mengekalkan tahap kawalan yang ketara di tiga kawasan berkenaan walaupun kumpulan itu mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
Namun, kumpulan pejuang itu mengalami kehilangan besar sepanjang dua tahun konflik dengan Israel, apabila kebanyakan komander kanan dan pertengahan serta ribuan anggota bawahan terbunuh.
Anggota polis turut menjadi sasaran, manakala penjara dan banyak infrastruktur lain musnah.
Susulan itu, undang-undang dan ketenteraman awam di kebanyakan kawasan Gaza terjejas, menyaksikan keluarga bersenjata, puak, kumpulan perompak dan kumpulan bersenjata (militia) semakin berpengaruh.
Pada hujung minggu lalu, Hossam al-Astal iaitu ketua kepada sebuah kumpulan bersenjata baharu yang dikatakan berpihak kepada Israel, dilaporkan bertindak mencabar pihak lawan.
"Kepada semua 'tikus' Hamas, terowong-terowong kamu telah musnah, hak kamu tidak wujud lagi. Bertaubatlah sebelum terlambat — tiada lagi Hamas mulai hari ini," katanya dalam satu ciapan media sosial.
Namun apabila dihubungi hari ini, Al-Astal enggan mengulas mengenai ciapannnya.
Kini yang turut terdedah ialah Yasser Abu Shabab, pemimpin puak dikenali sebagai Popular Forces, sebuah kumpulan bersenjata yang disokong Israel dan berpangkalan di selatan Gaza.
Terdapat laporan tidak disahkan mengenai hukuman sebat dan tembakan terhadap ahli puaknya.
Seorang pegawai keselamatan Hamas berkata, sedang dijalankan operasi memburu Abu Shabab dan menambah bahawa salah seorang pembantu ketua yang melarikan diri itu telah 'dihapuskan' dalam tempoh beberapa hari lalu.
"Usaha itu masih diteruskan dan sedang dipertingkatkan sehingga isu ini benar-benar selesai dan tiada pihak akan dibenarkan melanggar undang-undang," katanya.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri Gaza yang dikendalikan oleh Hamas sejak 2007, memaklumkan mereka sedang berusaha memulihkan 'keselamatan dan kestabilan' di wilayah itu.
Namun, menegaskan pintu untuk bertaubat dan pengampunan umum dibuka kepada semua mereka yang menyertai 'kumpulan perompak' tetapi tidak terbabit dalam sebarang pembunuhan.
"Kesemua individu berkenaan mesti menyerah diri kepada pihak berkuasa keselamatan dalam tempoh satu minggu untuk menyelesaikan status undang-undang dan keselamatan mereka serta menutup fail mereka secara kekal," kata kementerian itu. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan