Hamas di Gaza tolak pelan damai Trump
GAZA: Ketua sayap tentera Hamas di Gaza, Izz al-Din al-Haddad, memberitahu pihak perantara bahawa beliau menolak pelan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS), sambil menegaskan kumpulannya bertekad untuk terus berjuang.
Pada masa sama, Mesir meneruskan usaha memujuk Hamas menerima cadangan itu, dengan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, mengakui masih terdapat jurang besar yang perlu ditangani.
BBC melaporkan pada Khamis bahawa perantara menghubungi al-Haddad yang menegaskan beliau tidak bersetuju dengan pelan gencatan senjata baharu AS.
Menurut laporan itu, al-Haddad percaya pelan berkenaan dirangka bagi menjatuhkan Hamas sama ada kumpulan itu menerimanya atau tidak, justeru beliau bertekad meneruskan pertempuran.
Laporan itu turut menyebut, sebahagian pemimpin Hamas di Qatar dilihat terbuka untuk mempertimbangkan pelan damai itu dengan beberapa pindaan, namun pengaruh mereka terhad kerana tiada kuasa terhadap tebusan yang ditahan.
Perpecahan dalam kepimpinan Hamas dilaporkan menghalang kumpulan itu membuat keputusan mengenai pelan damai Trump, manakala pihak perantara sedang berusaha memecahkan kebuntuan tersebut.
Cadangan mereka ialah Hamas menerima pelan berkenaan secara prinsip, sebelum satu persidangan antarabangsa diadakan bagi membincangkan butiran lanjut.
Antara persoalan utama Hamas ialah sama ada gencatan senjata akan bermula serta-merta selepas pengumuman sokongan terhadap prinsip pelan itu.
Hamas berpendapat, persetujuan itu sepatutnya bermakna pemberhentian serta merta segala tindakan ketenteraan.
Namun, Israel menegaskan gencatan senjata hanya akan berkuat kuasa selepas Hamas dan semua puak Palestin lain memberi persetujuan penuh, sebelum tempoh kiraan tiga hari bermula untuk pembebasan semua baki tebusan.
Menurut Al Arabiya, pertikaian dalaman Hamas mengenai pelan damai Trump bagi Gaza menyebabkan kumpulan itu belum dapat membuat keputusan ketika ini, meskipun menerima tekanan daripada AS dan sebahagian besar negara Arab.
Bagi mengelakkan tarikh akhir ditetapkan Trump terlepas, Qatar, Mesir dan Turkiye mencadangkan formula baharu iaitu Hamas mengisytiharkan penerimaan terhadap prinsip pelan berkenaan, kemudian satu persidangan antarabangsa akan diadakan bagi membincangkan butirannya.
Hamas turut memaklumkan kepada perantara bahawa mereka memerlukan lebih daripada tiga hari untuk menghubungi semua kumpulan bersenjata yang menahan tebusan dan membuat persediaan pembebasan.
Pemimpin Hamas juga memberi amaran kemungkinan kumpulan lain, termasuk Jihad Islam Palestin yang turut menahan tebusan, enggan mematuhi pelan itu. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan