Isnin, 20 Oktober 2025

ISRAEL SERANG GAZA SEKALI LAGI




Gaza tegang semula: Serangan terbaru Israel mengorbankan 45 rakyat Palestin

GAZA: Gencatan senjata di Semenanjung Gaza kembali dikuatkuasakan selepas tentera Israel melancarkan puluhan serangan ke atas Hamas, dan mengorbankan 45 rakyat Palestin.

Menurut agensi pertahanan awam Gaza, yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas, empat hospital di wilayah itu mengesahkan angka korban seramai 45 orang kepada agensi berita AFP, dengan menyatakan mereka sudah menerima mangsa maut dan cedera.

Pihak tentera Israel pula memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti laporan mengenai jumlah korban tersebut.

Tentera Israel dilapor melancarkan beberapa siri serangan udara baharu di Semenanjung Gaza semalam, sekali gus menghentikan sementara bantuan kemanusiaan ke wilayah itu sebagai tindak balas serangan yang mengorbankan dua anggotanya.

Dalam masa sama, tentera Israel mengumumkan, pasukannya kini "memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata" selepas satu hari serangan balas yang disifatkan sebagai paling sengit sejak perjanjian damai sementara itu berkuat kuasa.

Dalam kenyataan rasmi, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menegaskan, pihaknya akan terus menguatkuasakan perjanjian itu dan bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran.

"Israel akan terus menegakkan gencatan senjata dan akan memberi tindak balas keras terhadap sebarang pelanggaran perjanjian," kata kenyataan itu.

Serangan pada awal Ahad dikatakan berpunca daripada tindakan pejuang Hamas yang melancarkan peluru berpandu anti-kereta kebal ke arah pasukan Israel berhampiran Rafah - menyebabkan dua anggota Israel terbunuh dan tiga lagi cedera.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan beberapa siri serangan udara menyasarkan lokasi yang didakwa sebagai pangkalan dan terowong bawah tanah milik Hamas.

Namun, Pejabat Media Gaza menuduh Israel melanggar gencatan senjata sebanyak 47 kali sejak perjanjian itu dimeterai, dengan sekurang-kurangnya 38 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Gencatan senjata berkenaan, yang dicapai melalui rundingan yang ditaja Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat, bertujuan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta rundingan pertukaran tebusan.

Bagaimanapun, insiden terbaru itu mendedahkan betapa rapuhnya perjanjian tersebut, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari atas kegagalan mematuhinya.

Pemerhati antarabangsa kini memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran tambahan boleh mencetuskan semula pertempuran berskala besar, sekali gus menjejaskan usaha bantuan yang baru bermula di kawasan konflik itu.

Di Gaza, ribuan penduduk masih berlindung di pusat-pusat sementara dengan bekalan air dan makanan yang semakin berkurangan.

Walaupun bunyi letupan sudah reda, ramai penduduk menganggap "keamanan" yang dikecapi kini sekadar senyap yang menunggu ribut baharu. - AFP

ZIONIS BLACKROCK

ADA  PEMBELOT

JADI BARUA BARU

UNTUK LAWAN

HAMAS

KHALAS

1 ulasan: