Jenayah Indeks Malaysia naik 11.1 peratus pada 2024 -DOSM
KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan Jenayah Indeks Malaysia meningkat sebanyak 11.1 peratus pada 2024 dengan 58,255 kes dilaporkan berbanding 52,444 kes pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu katanya didorong terutamanya oleh jenayah harta benda yang melonjak sebanyak 12.4 peratus kepada 47,188 kes.
Jenayah kekerasan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11,067 kes, kata DOSM menerusi laporan Statistik Jenayah, Malaysia, 2025 yang diterbitkan hari ini.
Menurut DOSM, laporan tersebut merangkumi statistik jenayah bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Katanya, buat pertama kali, DOSM telah menjajarkan sepenuhnya statistik jenayah mengikut International Classification of Crime for Statistical Purposes (ICCS) Versi 1.0 yang dibangunkan oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).
“Penjajaran itu membolehkan perbandingan antarabangsa yang lebih jelas serta analisis yang lebih mendalam merentasi 11 seksyen utama jenayah.
“Tambahan pula, bab berkaitan statistik pemulihan turut dimuatkan untuk memperluas perspektif terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, DOSM mendapati kes penculikan juga menunjukkan sedikit penurunan kepada 17 kes dengan 11 kes bagi tempoh dalam kajian.
Kes bunuh pula menunjukkan penurunan yang ketara manakala kes bunuh dengan niat menurun sebanyak 9.5 peratus kepada 237 kes, manakala kes bunuh tanpa niat kekal sebanyak dua kes.
Jenayah seksual menunjukkan corak yang tidak konsiten yang mana kes rogol meningkat 12.1 peratus kepada 1,899 kes.
Kes rogol dengan rela meningkat 29.3 peratus, manakala kes rogol dengan paksaan menurun sebanyak 15.3 peratus, mencerminkan perubahan dalam corak pelaporan atau pelakuan.
Kes samun menurun sebanyak 6.8 peratus dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,276 kes. Majoriti kes melibatkan samun terhadap individu (41.7 %), diikuti oleh jenis lain-lain (38.2%), samun terhadap premis atau institusi (13.5%) dan samun kenderaan (6.7%).
Kes pecah rumah & curi turut menurun sebanyak 1.8 peratus, dengan 77.6 peratus daripada kejadian berlaku pada waktu malam.
Kes jenayah berkaitan bekalan dan memiliki dadah terus meningkat dengan kenaikan sebanyak 10.6 peratus menjadikan jumlah keseluruhan 81,090 kes.
Kes bekalan dadah meningkat sebanyak 4.6 peratus, manakala kes pemilikan melonjak sebanyak 12.7 peratus, mencerminkan penguatkuasaan yang lebih intensif dan kemungkinan peningkatan penggunaan bahan terlarang.
Tangkapan bagi kes suapan meliputi kes memberi dan menerima suapan meningkat sebanyak 24.6 peratus dengan 764 individu ditangkap.
Kes memberi suapan meningkat dengan ketara sebanyak 51.2 peratus, manakala kes menerima suapan meningkat sebanyak 20.3 peratus, menunjukkan usaha berterusan dalam memerangi amalan rasuah.
Aktiviti penyelewengan barang kawalan turut menunjukkan peningkatan dengan 2,243 kes direkodkan, meningkat sebanyak 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Diesel merupakan barang paling banyak diseleweng (30.0%), diikuti petrol (26.7%), minyak masak (19.8%), gula (10.1%), gas petroleum cecair (9.1%) dan tepung gandum (4.4%).
Kesalahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mencatatkan peningkatan tertinggi, iaitu sebanyak 71.1 peratus kepada 296 kes. Sektor pembuatan menyumbang lebih separuh daripada jumlah ini (57.4%), diikuti sektor pembinaan (27.4%) dan perkhidmatan perniagaan (8.1%).
Kes berkaitan haiwan menurun kepada 12 kes, termasuk kekejaman terhadap haiwan dan haiwan peliharaan serta pelanggaran kebajikan. Jenayah rompakan laut jarang berlaku di Malaysia, dengan tiada kes dilaporkan pada tahun 2024.
Kes rompakan di laut jarang berlaku di Malaysia. Hanya satu kes rompakan di laut yang dilaporkan pada 2023, manakala tiada kes rompakan di laut direkodkan pada 2024.
Statistik pemulihan menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan banduan yang disabitkan kesalahan, meningkat sebanyak 28.4 peratus kepada 128,916 individu. Banduan lelaki merangkumi 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala banduan wanita mencatatkan 9.1 peratus. -

Sabtu Ahad curi umum pergi tengok kawasan kawasan padat dengan aktiviti, lihat kalau boleh jumpa sesiapa penguatkuasaan? Geng tarik kereta sampai dahulu sebab komisen, tetapi kalau menteri nak sampai seluruh negeri turun menjemput mencium tangan menjaga keselamatan amin semakin nampak perangai orang kita sekarang kah kah kah
BalasPadam