Anwar begitu fokus menang penggal kedua tanpa kira harga perlu dibayar – Rafizi
KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli mendedahkan Anwar Ibrahim begitu fokus untuk menang bagi penggal kedua, tanpa mengira apa pun harga yang perlu dibayar.
Katanya, bagi Anwar yang juga Presiden PKR, menjaga hati UMNO; DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pihak-pihak berkepentingan lain adalah lebih penting dari segala-galanya.
Sedangkan, kata Rafizi, beliau berpandangan sebaliknya dan di situlah bermulanya keluhan Anwar terhadap beliau.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PKR diberi peluang menjadi kerajaan untuk menzahirkan perubahan-perubahan.
Perubahan itu, katanya, bukan sahaja berkaitan struktur dalam aspek pentadbiran ekonomi dan sosial yang menyeluruh, tetapi membawa budaya politik yang bersih dan telus, seperti yang digagaskan dalam agenda reformasi yang dilaungkan puluhan tahun lamanya.
“Keutamaan dan kesetiaan bukan kepada batang tubuh, tetapi kepada wawasan yang kita bawa.
“Lagi pun soal kesetiaan ini tidak sepatutnya timbul langsung.
“Tidak cukupkah puluhan tahun, dari usia muda, yang kami abadikan berjuang untuk PKR dan beliau, yang banyaknya beliau berada di dalam penjara?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Penjelasan Rafizi itu bagi menjawab ulasan pemerhati politik, Liyana Marzuki yang antara lain menggambarkan seolah-olah Rafizi bercita-cita menjadi Perdana Menteri sehingga tidak setia dan dilihat menentang Anwar.
Menyangkal dakwaan Liyana, Rafizi berkata, sekiranya beliau tidak setia kepada Anwar dan mahukan jawatan politik, adalah lebih mudah baginya mencium tangan Dr. Mahathir Mohamad semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0.
Ujarnya, perkara itu sama seperti dibuat oleh ramai pemimpin PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang lain pada ketika itu.
Atau tambahnya, beliau juga boleh bergabung dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk mencabar Anwar selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.
“Malah, keputusan-keputusan yang merintis kepada bebasnya beliau dari penjara dalam tahun 2018, diberi pengampunan diraja dan ada peluang kembali untuk menjadi Perdana Menteri, banyaknya dirintis oleh kami, sedangkan Anwar (semasa di dalam penjara) tidak bersetuju pun dengan penubuhan PH.
“Pada ketika itu, beliau tetap percaya PKR tidak akan menang PRU tanpa Pas.
“Namun, kami teruskan juga kerana kami yakin itu satu-satunya jalan untuk menewaskan BN dalam PRU 2018 yang membuka jalan untuk beliau keluar penjara,” katanya.
Tambah Rafizi, soal tidak setia kepada Anwar hanya ditimbulkan secara tiba-tiba kerana beliau berpandangan PKR mesti lebih berani membuat perubahan walaupun rakan dalam kerajaan dan pihak berkepentingan lain kurang selesa.
“Itu harapan rakyat kepada kita,” katanya. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan