Khamis, 16 Oktober 2025

MAYAT MASIH DI CARI

 


Hamas tekad tunai janji pulangkan mayat tebusan, patuhi perjanjian gencatan senjata

WASHINGTON: Hamas tekad menunaikan janji untuk memulangkan mayat tebusan yang terbunuh di Gaza, selaras dengan usul gencatan senjata walaupun Israel mengancam untuk menyambung semula serangan kerana hanya beberapa mayat sahaja sudah dipulangkan.

Menurut penasihat kanan Amerika Syarikat (AS), usaha mengeluarkan mayat sukar kerana Gaza sudah musnah dan memerlukan peralatan khas.

"Kami terus mendengar daripada Hamas bahawa mereka berniat untuk menghormati perjanjian damai dan gencatan senjata.

"Mereka mahu melihat perjanjian berkenaan diselesaikan sepenuhnya dan tiada lagi serangan di Gaza," kata penasihat itu yang tidak mahu namanya disebut apabila ditanya sama ada Hamas akan terus mematuhi perjanjian tersebut.

Penasihat itu juga berkata, ramai yang kecewa dan marah apabila hanya empat mayat dikembalikan, namun Hamas tetap memulangkan mayat pada hari-hari berikutnya sebaik menerima maklumat risikan daripada pihaknya.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump, berkata bahawa Hamas sedang menggali untuk mencari mayat tebusan Israel.

"Mereka sedang menggali. Mereka menemui banyak mayat," kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih, ketika ditanya sama ada Hamas masih mematuhi perjanjian itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengancam akan menyambung semula serangan jika Hamas gagal mematuhi gencatan senjata yang disokong AS.

Ancaman itu dibuat selepas Hamas menyerahkan dua lagi mayat tebusan tetapi mendakwa tidak mampu mengambil baki mayat tanpa peralatan khas.

AS dan pihak perantara lain kini sedang mempertimbangkan ganjaran bagi individu yang membantu mengesan lokasi mayat tebusan.

Penasihat itu juga memaklumkan bahawa Turkiye, satu daripada perantara utama dalam perjanjian berkenaan sedang berbincang untuk menghantar pakar dalam bidang penggalian mayat ke Gaza.

Menurut penasihat itu, negara lain termasuk Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Qatar dan Azerbaijan juga dilaporkan sedang menimbangkan penyertaan dalam pasukan penstabilan antarabangsa bagi Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, Israel juga sudah memulangkan 45 mayat rakyat Palestin semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang diserahkan kini 90.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Israel bersetuju menyerahkan 15 mayat rakyat Palestin bagi setiap mayat warga Israel yang dipulangkan.

Pada Isnin lalu, Hamas menyerahkan tiga mayat warga Israel dan seorang warga Nepal, manakala kelmarin, tiga lagi mayat warga Israel dan satu mayat yang belum dikenal pasti diserahkan, tetapi tentera Israel berkata ia bukan dari senarai tebusan yang meninggal dunia. - AFP

MENCARI MAYAT

DALAM RUNTUHAN

BANGUNAN AMBIL

MASA LAMA

KHALAS

SETANYAHU GUNA INI

UNTUK SERANG

GAZA KEMBALI 

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan