MENTERI BESAT SG4
TEGAS REE HAK NEGERI
KUALA LUMPUR, 30 Okt 2025 — Majlis Menteri Besar SG4, yang dianggotai oleh negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis, menegaskan pendirian bersama bahawa segala sumber mineral nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) yang berada dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak milik negeri, seperti termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, SG4 menegaskan bahawa gabungan empat negeri tersebut kini mewakili kira-kira 70 peratus sumber REE terbesar di Malaysia, dan komited memastikan pengurusan sumber berharga itu dilakukan secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.
“Kami mahu pembangunan REE dilakukan secara berhemah dan berasaskan kelestarian, bukan hanya mengejar keuntungan jangka pendek,” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Pengerusi SG4, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu), bersama Dato’ Panglima Perang Ustaz Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud (Kelantan), Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah) dan Tuan Mohd Shukri Ramli (Perlis).
Pelan Strategik Bersama SG4
Kenyataan itu menjelaskan bahawa setiap negeri di bawah SG4 kini sedang melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik bersama untuk pengurusan serta pembangunan REE, meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan.
SG4 juga menegaskan dasar semasa mereka memastikan mineral kritikal ini kekal di dalam negeri-negeri berkenaan, sambil menggalakkan penyertaan industri serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.
Sokongan Bersyarat kepada Aspirasi Persekutuan
Majlis itu turut menyatakan sokongan bersyarat terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan rantaian nilai penuh industri REE Malaysia — dari penerokaan hingga ke penghasilan produk bernilai tinggi.
“Kami memahami kepentingan kerjasama nasional, namun sebarang perancangan mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dijalankan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.
Elak Ulangi Kesilapan Royalti Minyak
Dalam nada tegas, SG4 mengingatkan agar pengalaman lampau berkaitan isu royalti minyak tidak berulang dalam pengurusan REE, sambil menuntut model pembahagian hasil yang lebih adil dan telus.
Majlis itu menyeru supaya sistem baharu dilaksanakan, di mana hasil negeri bukan hanya berpaksikan kepada royalti, tetapi turut melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi kepada negeri-negeri pengeluar.
Hormati Hak Negeri Dalam Rundingan Nasional
SG4 turut menggesa agar semua pelan pembangunan nasional dan rundingan antarabangsa mengenai REE menghormati hak negeri serta menyertakan wakil negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.
“Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mestilah berteraskan semangat federalisme yang adil dan saling menghormati,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan bersama ini mencerminkan usaha bersepadu negeri-negeri SG4 untuk menetapkan garis dasar baharu dalam hubungan pusat–negeri berkaitan pengurusan sumber strategik, sambil menuntut jaminan bahawa kekayaan bumi negeri akan diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat setempat. Politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan