RM456 juta Aerotrain KLIA rosak 20 kali – “Bala yang memalukan,” kata Kadir Jasin
KUALA LUMPUR, 19 Okt 25 – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, A. Kadir Jasin, menyifatkan masalah berterusan sistem Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai “bala yang memalukan” terhadap pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Dalam catatan terbarunya bertajuk “Aerotrain, Bala Yang Memalukan”, beliau mempersoalkan kecekapan pelaksanaan projek bernilai RM456.1 juta itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Julai lalu, namun dilaporkan telah mengalami lebih 20 kerosakan sehingga pertengahan Oktober.
“Dengan pembabitan tiga buah syarikat terkenal Alstom, IJM Construction dan Pestech Technology, bagaimana projek mudah seperti menggantikan sistem lama boleh tergendala dan beroperasi dengan prestasi mengecewakan?” tulis beliau.
Kadir menjelaskan bahawa kontrak Aerotrain ditandatangani pada 14 Jun 2024, lebih setahun selepas sistem asal dihentikan pada Mac 2023. Beliau mendakwa tempoh kelewatan pelantikan kontraktor itu menunjukkan MAHB tidak bersedia atau tidak mahu berbelanja, manakala gerabak baharu dilaporkan dibina di China.
Mengulas lanjut, wartawan veteran itu berkata MAHB kini perlu menjelaskan punca sebenar kegagalan sistem rel tanpa pemandu sejauh 1.5 kilometer itu serta tahap kawalan kualiti yang dilaksanakan sebelum operasi dimulakan.
Pada 16 Oktober lalu, MAHB dilaporkan akan melantik penaksir bebas bagi mengkaji semula reka bentuk bekalan elektrik dan pemasangan sistem Aerotrain selepas beberapa gangguan berulang dilaporkan di media sosial dan forum penumpang.
Kadir turut menyentuh isu struktur pemilikan baharu MAHB selepas ia disendirikan (taken private), dengan 30 peratus saham dijual kepada pelabur asing termasuk Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA). Langkah itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada MAHB kini lebih baik sebagai syarikat sendirian berhad berbanding 25 tahun ketika tersenarai di Bursa Malaysia.
“Sangatlah memalukan bila sistem baru yang berharga ratusan juta ringgit rosak berulang kali sejurus dilancarkan. Ia menimbulkan kecurigaan terhadap tadbir urus dan keutamaan pengurusan MAHB,” katanya lagi.
Setakat ini, pihak MAHB belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumlah sebenar insiden atau langkah pembetulan menyeluruh yang diambil, selain jaminan bahawa perkhidmatan lapangan terbang tidak terjejas.
Aerotrain KLIA merupakan sistem pengangkutan utama menghubungkan terminal utama dengan terminal satelit, dan sejak 1998 menjadi nadi pergerakan ribuan penumpang setiap hari. Gangguan berterusan ini menimbulkan persoalan tentang tahap penyeliaan projek infrastruktur negara dan keupayaan pengurusannya selepas proses pengambilalihan besar-besaran tahun lalu. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan