Saya tak nampak jalan kembali jadi pemimpin PKR masa depan – Rafizi
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak nampak jalan yang akan membawanya kembali ke dalam barisan pimpinan PKR pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau bertanggungjawab kepada rakyat sebagai pengundi dan kepada saki-baki pimpinan yang masih bersama di dalam PKR yang mahu melihat politik yang lebih bersih dan bebas daripada rasuah bukan politik feudal yang bertuankan batang tubuh.
“Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin. Yang selebihnya, lebih baik PKR, Anwar (Ibrahim) dan saya ambil jalan masing-masing yang berlainan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Penjelasan Rafizi itu bagi menjawab ulasan pemerhati politik, Liyana Marzuki yang antara lain menggambarkan seolah-olah beliau bercita-cita menjadi Perdana Menteri sehingga tidak setia dan dilihat menentang Anwar yang juga Presiden PKR.
Menurut Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, beliau sebelum ini memberi pandangan tajam apabila kurang selesa dengan beberapa perkara tadbir urus dalam kerajaan terutama melibatkan badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, ujarnya, pandangan tajam itu apabila beberapa perkembangan menunjukkan PKR mula membina kroni tersendiri yang menjadi kaya secara tiba-tiba dan mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan sedangkan mereka tidak ada pertanggungjawaban dalam kerajaan atau rakyat.
Jelasnya, tingkah laku mereka dan juak-juak kepada kroni-kroni baharu itu tidak ubah seperti yang berlaku semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dahulu.
“Suara-suara saya mengenai perkara-perkara ini yang tidak disenangi. Dari situ timbul tuduhan tidak pandai bekerja sepasukan atau ada ego dan macam-macam lain.
“Dari pandangan mereka, kalau saya telan bulat-bulat semua ini dan mensucikan semua kerana kami satu parti, barulah saya tidak ada ego,” katanya.
Dakwa Rafizi, pada mulanya, ada percubaan meracun penyokong Pakatan Harapan (PH) dan rakyat kononnya beliau tidak menjaga akar umbi.
“Bila saya berpendirian kalau menjaga akar umbi itu maknanya menabur duit, lantaklah kamu nak kata apa dan saya tidak akan terjebak. Kemudian ditukar kepada merajuk sebagai alasan untuk Izzah (Nurul Izzah Anwar) mencabar saya.
“Apabila saya letak jawatan dan dengan rela hati mengosongkan jawatan empuk kerajaan walaupun ditawarkan menjadi Timbalan Presiden (PKR) lantikan, versi itu mati di situ sahaja.
“Sekarang ada versi baru, kononnya saya mencabar Perdana Menteri kerana tidak sabar dalam mengejar cita-cita politik,” katanya.
Menurut Rafizi, beliau tidak mengenali Liyana dan tidak pernah berjumpa dengan pemerhati politik berkenaan.
Namun beliau mengetahui Liyana lebih kenal Nurul Izzah, justeru tidak menyalahkanya jika versi little birds di sana sini yang dirujuk Liyana itu hanya datang dari satu kumpulan.
“Cuma saya harap PKR dan pimpinan baru yang ada ini cukup-cukuplah melatah dan meloncat setiap kali saya bagi pandangan. Keputusan itu telah dibuat oleh PKR, ramai pimpinan yang ada sekarang bersekongkol dengan keputusan itu.
“Apabila nasi sudah jadi bubur, adalah tidak matang untuk berharap saya akan telan bubur itu bulat-bulat seperti yang mereka kehendaki,” katanya. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan