Kapal Tentera Laut Pakistan rampas dadah hampir AS1 bilion di Laut Arab
DUBAI: Sebuah kapal Tentera Laut Pakistan berjaya merampas dadah bernilai lebih AS$972 juta (RM4.6 bilion) daripada dua bot layar di Laut Arab, menurut kenyataan Pasukan Maritim Gabungan (CMF), semalam.
Dalam kenyataan itu, CMF yang merupakan pakatan maritim membabitkan 47 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), memaklumkan rampasan itu dilakukan minggu lalu apabila kapal Pakistan memintas dua bot jenis dhow dalam tempoh 48 jam.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan membawa beberapa tan dadah jenis kristal methamphetamine serta sejumlah kecil kokain, menjadikannya antara rampasan terbesar dalam sejarah operasi CMF.
CMF turut memaklumkan kedua-dua kapal layar yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang pendaftaran negara asal, dan tidak dinyatakan dari mana mereka berlepas.
Komander Pasukan Petugas CMF, Komodor Tentera Laut Diraja Arab Saudi, Fahad Aljoiad, menyifatkan kejayaan itu sebagai antara operasi paling berjaya dalam membanteras penyeludupan dadah di perairan antarabangsa.
Sementara itu, US Central Command (CENTCOM) dalam satu hantaran di platform X turut mengucapkan tahniah kepada pasukan CMF atas kejayaan operasi berkenaan.
CMF bertanggungjawab mengawal lebih tiga juta batu persegi kawasan laut, termasuk laluan perkapalan paling sibuk di dunia, dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api.

Kapal tak ada daftar, kapal tak ada nama, sebelum ini dilepaskan bertahun baru ditangkap nampak sangat wayang, mungkin mereka sudah belajar dari pasukan penguatkuasa Malaysia kah kah kah
BalasPadam