Program TV pun kena
ikut Amerika
Oleh A Kadir Jasin
SAYA sedang menelaah kandungan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika yang dimeterai pada 26 Oktober.
2. Ia bukan main-main punya perjanjian. Ia ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald John Trump.
3. Saya akan cuba ulas pada masa dan di tempat yang sesuai setelah membaca dan mendengar pandangan berbagai-bagai pihak.
4. Setakat ini, memadailah kalau saya kata, ada syarat-syarat dalam perjanjian itu yang bunyi seolah-olah kita sudah jadi tanah jajahan balik.
5. Contohnya, syarat wajib berkenaan siaran televisyen. Ya, siaran dan program televisyen. Dalam Perkara 2.20 perjanjian Anwar-Trump itu, Malaysia wajib (shall) batalkan syarat lesen penyiaran yang memperuntukkan 80 peratus waktu kepada rancangan tempatan. Malaysia juga wajib benarkan penyiaran program asing pada waktu kemuncak (prime time).
6. Itu baru siaran televisyen. Belum lagi syarat ke atas GLIC dan GLC supaya beli lebih banyak barang-barang buatan Amerika dan melabur di negara itu.
7. Pakar dalam hal perdagangan antarabangsa dan tarif boleh tolong buat kira-kira mana lebih baik bagi Malaysia, tarif 25 peratus tanpa perjudikan kedaulatan atau tarif 19 peratus tapi kena ikut telunjuk Amerika?
Terima kasih.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan