Jemaah Menteri Israel sahkan gencatan senjata, tebusan bebas dalam 72 jam
BAITULMAQDIS: Kerajaan Israel mengesahkan gencatan senjata dengan Hamas kelmarin, seterusnya membuka laluan bagi menggantung permusuhan di Gaza dalam tempoh 24 jam dan membebaskan tebusan Israel yang ditahan di sana dalam tempoh 72 jam selepas itu.
Jemaah menteri Israel meluluskan perjanjian itu awal pagi kelmarin, kira-kira 24 jam selepas pihak perantara mengumumkan persetujuan dicapai.
Perjanjian itu menetapkan pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin, serta permulaan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari Gaza.
Perjanjian yang disokong di bawah inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bertujuan menamatkan perang dua tahun di Gaza yang telah meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menerusi akaun X mengesahkan, "Kerajaan baru sahaja meluluskan rangka kerja untuk pembebasan semua tebusan yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia".
Pengumuman itu disambut baik oleh rakyat Israel dan Palestin, sebagai langkah terbesar setakat ini untuk menamatkan konflik dan mengembalikan tebusan terakhir yang ditahan Hamas dalam serangan maut yang mencetuskan pencerobohan itu.
Pemimpin Hamas di Gaza yang berada dalam buangan, Khalil Al-Hayya, berkata beliau sudah menerima jaminan daripada AS dan pihak perantara lain bahawa perang sudah berakhir.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Israel berkata, gencatan senjata akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam selepas kelulusan kerajaan. Selepas tempoh 24 jam itu, tebusan yang ditahan di Gaza akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam.
Dilaporkan, 20 tebusan Israel dipercayai masih hidup di Gaza, manakala 26 lagi dianggap terkorban, dan nasib dua tebusan lain tidak diketahui. Hamas memberi bayangan bahawa usaha mengeluarkan mayat mungkin mengambil masa lebih lama berbanding membebaskan mereka yang masih hidup.
Sebaik perjanjian berkuat kuasa, lori membawa bantuan makanan dan perubatan akan masuk ke Gaza bagi membantu ratusan ribu penduduk awam yang kini berlindung di khemah selepas kediaman mereka dimusnahkan oleh tentera Israel.
Perang di Gaza meningkatkan ketegangan antarabangsa Israel dan mencetuskan konflik serantau yang menarik penglibatan Iran, Yaman dan Lubnan. Ia turut menguji hubungan AS-Israel apabila Presiden Trump dilihat hilang sabar dengan Netanyahu dan mendesaknya mencapai persetujuan.
Namun, perjanjian itu berdepan cabaran. Sumber Palestin memaklumkan senarai ratusan tahanan Palestin yang akan dibebaskan belum dimuktamadkan.
Hamas pula dilaporkan menuntut pembebasan beberapa banduan Palestin paling terkemuka, serta ratusan yang ditahan semasa serangan Israel.
Langkah lanjut dalam pelan 20 perkara Trump masih belum dibincangkan, termasuk bagaimana Gaza akan ditadbir selepas pertempuran berakhir, dan nasib Hamas yang enggan melucutkan senjata.
Netanyahu juga berdepan tentangan daripada cadangan gabungan pemerintahannya. Menteri Keselamatan Negara dari kelompok ultra-kanan, Itamar Ben-Gvir, mengugut untuk mengundi menjatuhkan kerajaan jika Hamas tidak dibubarkan. - REUTERS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan