Pegawai SPRM bertopeng tahan Tei
SPRM pagi ini menahan ahli perniagaan Albert Tei selepas pegawai suruhanjaya itu menyerbu kediamannya di Puchong, Selangor.
Berdasarkan rakaman video pendek yang diberikan kepada Malaysiakini, sekumpulan pegawai SPRM lengkap dengan peralatan taktikal - termasuk jaket kalis peluru dan penutup muka - mengenakan gari kepada Tei sebelum mengiringnya ke dalam sebuah kenderaan hitam tanpa nombor kenderaan.
Peguamnya, Zaid Malek, yang merakam video itu kedengaran bertanya berulang kali kepada pegawai berkenaan mengenai ke mana Tei dibawa dan meminta bercakap dengan pegawai yang bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan.
Tei - yang merupakan individu utama dalam pelbagai dakwaan rasuah terhadap ahli politik terkenal Sabah - dilihat mengangkat tangan ke arah kamera beberapa kali sambil melaungkan "lawan tetap lawan" sebelum dimasukkan ke kereta.
Pegawai-pegawai berkenaan yang datang dengan beberapa kenderaan, kemudian membawa Tei tetapi kembali semula ke rumah itu beberapa minit kemudian.
Tertanya-tanya dengan tindakan itu, Zaid memberitahu Malaysiakini dia sedang menyiasat mengapa SPRM kembali ke kediaman tersebut.
Terdahulu, seorang lagi peguam yang mewakili Tei, Mahajoth Singh, dalam satu kenyataan berkata pegawai SPRM menggunakan waran untuk menyerbu kediaman ahli perniagaan itu.
Peguam itu menyifatkan serbuan tersebut sebagai pencerobohan haram kerana tarikh untuk merakam kenyataan Tei telah ditetapkan pada hari Isnin.
“Adakah ini cara seorang pemberi maklumat rasuah dilayan? Mengapa masuk ke rumahnya sedangkan dialah yang memberikan maklumat itu?” soal Mahajoth.
Dia berkata pegawai SPRM juga mahu membawa Tei ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
“Tindakan penguatkuasaan secara tiba-tiba ini memperolokkan kenyataan perdana menteri bahawa kerajaan ini menegakkan integriti dan proses yang betul.

“Institusi yang beroperasi dengan integriti tidak akan menyerang pemberi maklumat atau pengadu, bercanggah dengan jadual mereka sendiri, atau bertindak seolah-olah mereka takut terhadap ketelusan.
“Malaysia kini nampaknya menjadi satu-satunya negara di mana individu yang mendedahkan dakwaan rasuah peringkat tinggi yang diserbu, dibawa pergi, dan diugut dengan tindakan undang-undang.
“Penggunaan kuasa negara secara songsang ini bukan sahaja membimbangkan; ia merupakan serangan langsung terhadap pemberi maklumat dan hak orang awam untuk mengetahui,” tambah peguam itu.
Sementara itu, bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim, mengkritik SPRM kerana menyerbu rumah Tei tanpa kehadiran peguamnya.
“SPRM sememangnya perlukan penstrukturan semula sepenuhnya oleh kerajaan akan datang,” katanya di X.
Dakwaan terhadap Shamsul
Tei sebelum ini mendedahkan dia menyogok ahli-ahli politik di Sabah untuk mendapatkan lesen perlombongan, namun dia akhirnya tidak memperoleh lesen yang dijanjikan.
Terbaru, dia mendakwa telah membelanjakan sebanyak RM629,000 untuk Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul, yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, didakwa memberi jaminan kepada Tei bahawa dia boleh mendapatkan semula wang yang telah disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Dalam satu lagi perbualan antara Tei dengan individu yang didakwa sebagai ejen Shamsul, Anwar didakwa memberi kebenaran kepada Tei untuk merakam perbualannya mengenai rasuah ahli politik Sabah.
Shamsul telah meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar berikutan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan mendakwa ia merupakan usaha untuk mencemarkan imej kerajaan.
Dia telah membuat laporan polis terhadap Tei berhubung dakwaan yang mengaitkan Anwar dengan rakaman video melibatkan beberapa ahli politik Sabah dalam skandal lesen perlombongan tersebut.
SPRM dijangka merakam keterangan daripada Shamsul hari ini.

Yoda pon kena tangkap...mana force ? Mana anakin?
BalasPadam