Isnin, 24 November 2025

BAHAGIAN 3 : APA JANJI ANWAR BIN IBRAHIIM KEPADA TRUMP


 BHG3 : APA JANJI

 ANWAR BIN IBRAHIM

KEPADA TRUMP



Pada 26 Oktober 2025 Anwar   telah ikat janji dengan Trump. Heboh.  Apa sebenarnya yang telah di janjikan oleh Anwar  bin Ibrahim kepada  Donald Trump hingga heboh satu Malaysia.  


Di Parlimen heboh. Di  Kedai Mamak heboh. Di Warung Tom Yam heboh.  Pelbagai cerita  dan surah di dengar. Hampir semua menuduh Anwar sudah  menggadaikan negara kita ini kepada Zionis Amerika. Kesian kita kepada Anwar bin Ibrahim.

Malah kalau mengikut  wartawan tersohor Kadir bin Jasin apa yang di lakukan  oleh Anwar bin Ibrahim ini  samalah seperti mengulang membuat Perjanjian Pangkor 1874.

Jelas dan terang  seperti lampu Penjara Sungai Buluh – semuanya dapat dilihat - tak ada banduan dapat menyorok.  Ini yang menyebab kan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar bin Ibrahim menggelabah.  

Bila kritikan sampai – bila tuduhan di dengar   maka Anwar mula menjawab. Satelah beberapa kali bersilat lidah - nafi itu dan nafi ini - maka tugas  - melawan arus telah  di hempukkah ke atas kepala Tengku Zafrul.

Kesian  melihat Tengku Zafrul.  Sosok ini  dinobatkan untuk menjadi pendinding Anwar Bin Ibrahim. 

Tengku Zafrul hanya  seorang Senator. Dia  tidak di pilih oleh rakyat. Kini dia  wajib  menjadi penjawab terhadap semua kritikan dan  sumpah seranah  tentang Perjanjian Anwar-Trump 2025 yang merebak di  Internet.

Sumpah seranah warga Internet ini merebak dalam  Tik Tok  seperti hutan Australia terbakar di musim panas. Satu diarah padam satu yang baru muncul.

Silat lidah awal Tengku Zafrul ialah  mengalihkan kritikan dan serangan. Serangan  dari politikus, dari peguam dan dari warga  Internet dianggap   sebagai serangan keatas  Pegawai Kerajaan.  Mengikut  lidah   Zafrul Perjanjian Anwar – Trump 2025 ini telah diusahakan oleh Pegawai Kerajaan terutama dari MITI. 

Pegawai Kerajaan di bawah MITI telah berhempas pulas memerah otak – dari senja hingga ke subuh  -   untuk melakar Perjanjian Anwar- Trump 2025 ini. Justeru mengikut Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz adalah kurang asam bila para YB di Parlimen dan pakar ekonomi menyelar Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini.

Hebat taktik ini. Anwar pakai Zafrul sebagai dinding. Zafrul pakai Pegawai MITI sebagai  perisai. 

Sayangnya bunga silat Tengku Zafrul ini tidak disambut. Tidak ada siapa ambil pot. Media Sosial dan Internet terus mempertikaikan kebijaksanaan Zafrul dan Perjanjian Anwar-Trump 2025.

Malah terbocor pula  berita bagaimana ada pegawai MITI yang amat kritikal terhadap Perjanjian Anwar – Trump 2025 ini. Dari maklumat yang bocor  kritikan dan rasa tak puas hati ini datang dari  sosok yang bukan kecik anak. 

Mengikut maklumat yang bocor : Bekas Gedebe Besar  MITI   mengakui awalnya  ada keterlibatan Pegawai MITI. Mereka  di arah dan dirujuk untuk  buat kajian tetapi Draf Akhir Perjanjian Anwar-Trump 2025  ini tidak dilihat kembali oleh para Pegawai MITI.  

Justeru para  Pegawai MITI naik bengang bila Zafrul telah menggunakan mereka sebagai perisai.  Bila berita bekas Gedebe MITI naik bengang  ini bocor maka Tengku Zafrul  terus masuk ke tempayan beras untuk menikus.

Kawan saya seorang bekas  Pengkaji Selidik di sebuah Bank Malaysia dan juga pernah bertugas di Amerika sebagai Penyelidik Strategik telah menalipon saya : ‘... Sham what is going on.. Anwar selling  this country....’

Sosok ini bukan kecik anak. Dia bukan penyokong PN atau Mahathir. Malah pernah bekerja  dengan dua orang Menteri Kerajaan Barisan Nasional.  Juga pernah menjadi bertugas  di China – justeru  Ali Baba dan Jack Ma itu bukan  orang lain  untuk dirinya. 

‘ The Chinese will pull out.... no investment..’  Dalam hal pelaburan dan saham ini saya kurang arif. Justeru saya hanya mendengar dia meluahkan perasaan.

Saya juga berpeluang mendengar pandangan Rais  Yatim – yang terlatih dalam bidang Undang-Undang. Bekas Menteri ini  menimbulkan persoalan apakah ada jalan keluar dari Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini.

Bila perkara jalan keluar ini timbul maka Zafrul bersuara : Kita ada exit plan.  Semua fasal jika tak setuju  ada  jalan exit.

Exit Plan ini menjadi bahan lawak di media sosial.  ‘... kalau dah tahu tak elok kenapa tanda tangan.... ‘ Kemarahan seorang Mamat di Tik  Tok.

Saya juga ada  mendengar  pandangan Zainur Zakaria. Sosok ini ialah peguam Anwar dalam Kes Liwat Pertama. Si Zainur ini menunjukkan  Perjanjian Anwar-Trump 2025  ini amat berat sebelah. Aduh! Berat macam mana? Berat  macam Azizan atau berat  macam  Sukma?

Apa yang disuarakan oleh Zainur Zakaria itu sahih. Majoriti berpendapat pastilah Malaysia yang  membawa beban  berat dan Amerika hanya  membelah.

Dari apa yang saya baca dan dengar ada 104 fasal dalam Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini dimana Malaysia diwajibkan menjadi Pak   Sanggup.  Manakala Amerika hanya jadi Pak Sanggup kepada 4 fasal. 

Menjadi Pak  Sanggup ini kalau di Jelebu semua  bermula dengan  Anak Dara Sunti belum  berkahwin tetapi sedang  membawa perut.  Emak dan Ayah menjadi risau  malu- anak gadis  bunting tapi belum nikah. Lalu  di cari Jantan yang sanggup menjadi Pak Sanggup untuk berkahwin dengan  Sang Gadis yang hamil.

Tetapi Malaysia tidak bunting. Kenapa Anwar mahu  Malaysia jadi Pak Sanggup? Inilah perkara yang menjadi pelik lagi ajaib. 

Saya juga terbaca  tentang makan halal dari Amerika.  Bahan makanan dari Amerika boleh di bawa masuk ke Malaysia dengan tanda halal yang di cap di Amerika.

Fasal ini jelas akan mengetepikan peranan JAKIM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. JAKIM    sebagai Pemegang Cap Mohor  Halal Malaysia  menjadi janda talak tiga.

Wow ! Hebat Amerika ini. Tidak di sangka-sangka rupa-rupanya  di Amerika  telah lama wujud JAKIA -  Jabatan Kemajuan Islam Amerika. Amin.

Pada 30 Oktober 2025 – hanya 4 hari sesudah perjanjian di tanda tangan saya terbaca  berita di The  Merdeka Times:  Beli LNG AS: ‘Perlu atau dipaksa, kenapa tak beli dari negara lebih murah?’

Tajuk berita yang amat garang.

Malaysia  wajib beli  gas asli cecair (LNG) dari Amerika bernilai RM9.69 bilion setahun dengan potensi tambahan RM6.46 bilion. Ini  menimbulkan tanda tanya besar sama ada langkah itu benar-benar berasaskan keperluan tenaga negara atau hasil tekanan politik dan perdagangan antarabangsa.

Persoalan timbul apa akan jadi dengan Petronas yang juga ada mengeluarkan  LNG. Apakah negara kita perlu dengan LNG ini. Kalau betul kita perlu kan bahan ini  pasti ada negara  yang jual lebih murah seperti  Qatar.

Apa sudah  terjadi? Kenapa kita  terus menjadi Pak Sanggup.

Kemudian Anwar bin Ibrahim  bersetuju untuk membeli  Boeing. Ini pesawat buatan Amerika. Awal dulu Najib ada berjanji dengan Trump untuk membeli pesawat ini. Kali ini Anwar bin Ibrahim telah  memaksa Malaysia membeli  bukan  lima bukan sepuluh bukan tiga puluh  tetapi 60 buah  pesawat Boeing.

Apa sudah  terjadi? Kenapa kita terus menjadi Pak Sanggup.

Saya  juga ada membaca bahawa  Amerika juga berhak keatas bahan mentah galian Nadir Bumi. Ini bahan strategik untuk teknologi moden. Jika Amerika mahu bahan ini maka kita wajib beri.

Dalam hal  tanah dan galian ini dari apa yang saya tahu adalah  hak bidang kuasa  di tangan Negeri bukan di tangan Kerajaan Persekutuan.  Maka jelas  perkara in melanggar Perlembagaan Negara kita.

Saya sedar Anwar bin Ibrahim hanya lulusan  Pengajian Melayu tetapi pasti ada peguam dari Jabatan Peguam Negara yang boleh memberi pandangan dalam  hal hukum hakam.  Atau Peguam Negara juga telah menjadi Pak Sanggup kepada Anwar bin Ibrahim. Jika ini  berlaku bermakna negara dalam bahaya – amat bahaya.

Kita juga di beri tahu Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini akan memastikan kita membeli bahan-bahan  dari Amerika dulu sebelum mencari di tempat lain.  

Beli barang ini bukan satu masalah besar tapi maha besar  ialah Malaysia wajib mengikut dasar Amerika. Dasar apa ?  Jika sekiranya Amerika  membuat sekatan ekonomi terhadap Sri Langka maka kita juga wajib ikut sama.

Apa sudah terjadi. Malaysia melalui Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini akan menjadi Pak Sanggup dan Pak Turut. 

Pada ketika ini Perjanjian  Anwar- Trump 2025 ini masih di bincangkan di Parlimen.  Saya ingin bertanya apakah Parlimen kita wajib meluluskan perjanjian Anwar-Trump 2025 ini ?

Pada hemat saya  Parlimen Malaysia wajib membincangkan dan membuat keputusan  menolak atau meluluskan Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini. 

Perjanjian telah di tanda tangani – rumah sudah siap tetapi  pahat , tukul , parang, paku , papan – sedang berbunyi. Bukan hanya berbunyi di Kuala Lumpur – dari apa yang saya baca ada pahat dan tukul sedang berbunyi  di Bangkok dan di Jakarta. 

Tukul  apa di Bangkok dan di Jakarta berbunyi? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/761423


2 ulasan:

  1. Ada pelajar orang putih, jangan layan orang bodoh, jangan bertenggek dengan orang-orang gila, adakah kita kategori bodoh atau gila? Kah kah kah

    BalasPadam
  2. Cari Siam kerkoh je Madafaka ni!

    BalasPadam