Pemimpin Hezbollah ikrar balas serangan Israel bunuh komander kanan
BEIRUT: Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem menegaskan kumpulannya berhak membalas dendam terhadap pembunuhan komander tertingginya, Haytham Ali Tabtabai dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut minggu lalu.
Dalam ucapan yang disiarkan televisyen pada Jumaat, Qassem menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'pencerobohan terang-terangan dan jenayah kejam'.
"Kami berhak untuk bertindak balas, dan kami akan tentukan masa yang sesuai untuk itu," katanya.
Ditanya sama ada perang bakal tercetus, Qassem berkata: "Kemungkinan itu ada… dan kemungkinan tiada perang juga ada".
Qassem tidak menjelaskan peranan Hizbullah jika konflik baharu berlaku, tetapi menggesa Lubnan menyediakan pelan pertahanan membabitkan tentera dan rakyatnya.
Beliau turut berharap lawatan Pope Leo ke Lubnan akan membantu membawa keamanan dan menghentikan pencerobohan Israel.
Qassem menegaskan, Hizbullah mematuhi gencatan senjata November 2024 yang bertujuan menamatkan pertempuran lebih setahun dengan Israel, dan menuntut serangan Israel dihentikan.
Tabtabai dilaporkan terbunuh ketika bermesyuarat bersama empat pembantu untuk 'merancang tindakan masa depan'.
Dalam perkembangan sama, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee mendakwa, usaha tentera Lubnan merampas senjata Hezbollah 'tidak mencukupi', sambil menuduh kumpulan itu terus menyembunyikan simpanan senjata mereka.
Hizbullah pula menegaskan tidak akan melucutkan senjata selagi Israel melancarkan serangan ke wilayah Lubnan dan menempatkan pasukan di lima lokasi di selatan negara itu.
Israel dilaporkan melakukan serangan hampir setiap hari di selatan Lubnan dan beberapa kali di Beirut.
Sebelum pembunuhan Tabtabai, ibu kota itu tidak diserang selama beberapa bulan. - AFP

Kah kah kah adakah drama berterusan disambung semula ? Kah kah kah
BalasPadam