Suspek letupan sekolah di Jakarta ialah pelajar yang didakwa mangsa buli
JAKARTA: Suspek kes letupan yang menggegarkan Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Jakarta di Kelapa Gading, Indonesia ialah pelajar sekolah yang didakwa mangsa buli.
Tragedi pada tengah hari Jumaat itu mencetuskan panik dan mencederakan puluhan mangsa.
Saksi berkata dua letupan kedengaran dari surau sekolah berkenaan sekitar jam 12.15 tengah hari (0515 GMT) ketika solat Jumaat, menyebabkan panik dalam kalangan pelajar.
Pasukan Gabungan Polis dari Polis daerah Metro Jaya, Polres Jakarta Utara, dan Puslabfor Mabes Polri, bertindak pantas menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Penemuan seorang remaja lelaki di lokasi kejadian membawa kepada suspek utama dikenal pasti.
Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, mengesahkan suspek berusia 17 tahun, dipercayai pelajar sekolah yang sama dan kini ditahan serta masih mendapatkan rawatan.
"Suspek adalah seorang pelajar yang turut cedera dan kini menjalani pembedahan. Berkaitan motif kejadian, kami sedang menyiasat pelbagai maklumat," katanya pada sidang media.
Jurucakap polis Jakarta, Budi Hermanto, mengesahkan seramai 54 orang cedera, dengan 33 daripadanya masih menerima rawatan.
Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Lodewijk Freidrich Paulus, pula menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan terburu-buru.
"Jangan terus menganggap ini sebagai perbuatan keganasan," katanya seperti dipetik agensi berita Antara, sambil menjelaskan siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, letupan berlaku di bahagian belakang surau dalam kawasan sekolah dan berhampiran pintunya.
Pihak berkuasa mengesahkan setelah suspek dikenal pasti, polis menggeledah rumah yang didakwa tempat tinggal suspek di Jalan Mahoni 1, Sukapura, Cilincing, Jakarta Utara, yang turut digunakan sebagai tempat perniagaan makanan.
Pasukan Puslabfor dilihat membawa keluar beberapa barang bukti dalam kotak untuk siasatan lanjut.
Beberapa jiran dan rakan sekolah menyifatkan suspek sebagai individu yang pendiam, jarang bersosial, dan sangat tertutup.
Suspek juga dikatakan jarang berinteraksi dengan pelajar lain di sekolah, kecuali sekadar bertegur sapa.
Beberapa rakan dan saksi menyatakan suspek kerap menjadi mangsa buli oleh rakan-rakan sekelasnya.
Polis mengesyaki motif membalas dendam susulan tindakan buli menjadi punca utama di sebalik serangan letupan itu.
Ditanya mengenai sambutan 'Bulan Bahasa', seorang rakan suspek mendedahkan bahawa suspek sempat bertanya dua kali mengenai tarikh puncak acara 'Bulan Bahasa SMAN 72', yang dijadualkan pada 10 November 2025.
Suspek ditemui pengsan di lokasi letupan berdekatan dengan senjata. Bagaimanapun, polis mengesahkan bahawa senjata yang ditemui itu hanyalah senjata mainan.
Pasukan penyiasat termasuk juruteknik unit bom sedang memproses lokasi kejadian di kampus sekolah, manakala seorang wartawan AFP melihat beg bukti plastik diletakkan di atas sejadah.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri, berkata pihak berkuasa telah menubuhkan pos di dua hospital bagi membantu keluarga mencari ahli keluarga mereka. - AGENSI

Ini budak Brazil kot?
BalasPadam🇧🇷🤝🇮🇩
“Bom dia”