Asia Selatan berdepan risiko panas melampau menjelang 2030 - Bank Dunia
KARACHI: Hampir 90 peratus penduduk Asia Selatan berisiko terdedah kepada panas melampau dan hampir satu perempat lagi berisiko mengalami banjir besar menjelang 2030, menurut amaran Bank Dunia menerusi kajian terbaharunya pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Laporan bertajuk, 'From Risk to Resilience: Helping People and Firms Adapt in South Asia', adalah berdasarkan kajian kes dari Bangladesh, India dan Pakistan.
Ia menyatakan bahawa Asia Selatan adalah antara wilayah paling terdedah kepada perubahan iklim disebabkan penduduknya yang padat, peningkatan suhu dan kedudukan geografi yang terdedah.
Kajian itu menyatakan bahawa rantau itu dijangka berdepan kejutan cuaca 'lebih kerap dan lebih teruk' dalam dekad akan datang.
Menjelang 2030, seramai 1.8 bilion orang atau 89 peratus penduduk diramal terdedah kepada panas melampau, manakala 462 juta orang pula mungkin menghadapi risiko banjir besar.
Laporan itu menyeru pelaksanaan sistem amaran awal yang lebih kukuh, program khusus bagi membantu isi rumah yang terdedah serta dasar untuk membantu orang ramai menyesuaikan diri dengan risiko yang semakin meningkat.
Walaupun kebanyakan isi rumah di kawasan pesisir pantai dan sungai mempunyai akses kepada amaran puting beliung, kurang daripada separuh menerima amaran berhubung banjir atau bahaya lain, menurut laporan itu.
Penemuan itu turut menunjukkan bahawa program bantuan sosial yang disasarkan dengan baik, disokong maklumat terkini, boleh ditingkatkan dengan cepat ketika kejutan iklim bagi melindungi komuniti miskin dan terdedah.
Namun, laporan itu memberi amaran bahawa kekangan fiskal kerajaan bermakna langkah penyesuaian oleh sektor swasta, disokong oleh rangka kerja dasar yang komprehensif, juga amat penting.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan