Mahkamah Agung AS ragui kesahihan tarif Trump
WASHINGTON: Majoriti Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) meragui kesahihan pelaksanaan sebahagian besar tarif yang mahu dilaksanakan Presiden Donald Trump.
Keraguan itu disuarakan ketika mendengar kes penting yang berpotensi mengekalkan atau menggugat agenda ekonomi presiden itu.
Ketika ini berbilion dolar hasil kastam menjadi pertaruhan dan instrumen penting dalam perang perdagangan Trump.
Bagaimanapun, sembilan hakim tertinggi negara itu sedang meneliti penggunaan kuasa darurat oleh Trump bagi mengenakan tarif "timbal balik" ke atas hampir semua rakan dagang AS, selain levi khusus terhadap Mexico, Kanada dan China atas dakwaan terbabit dalam penyeludupan dadah.
Hakim-hakim itu mempersoalkan sama ada Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) yang digunakan Trump turut memberi kuasa untuk mengenakan tarif.
Ketua Hakim John Roberts, berkata perundangan itu tidak menyebut perkataan tarif.
Mereka turut membangkitkan sama ada Kongres perlu memberikan kuasa jelas apabila dasar itu membabitkan implikasi ekonomi atau politik yang besar.
Peguam Negara, John Sauer, mewakili pentadbiran Trump, berhujah bahawa perkara itu tidak berbangkit memandangkan presiden sudah memiliki kuasa luas dalam urusan luar.
Beliau turut menyatakan secara lazimnya, Kongres akan memberi kuasa besar kepada presiden bagi menangani krisis antarabangsa.
Sauer cuba menggambarkan isu itu sebagai berkaitan kuasa mengawal perdagangan luar termasuk mengenakan tarif dan bukan kuasa percukaian.
Hakim Sonia Sotomayor menegaskan kuasa mengenakan cukai adalah "kuasa Kongres, bukan kuasa presiden."
"Anda mahu mengatakan tarif bukan cukai, tetapi itulah sebenarnya," katanya.
Hakim Neil Gorsuch, yang dilantik Trump, mempersoalkan sama ada Kongres mampu mendapatkan kembali kuasa yang dilimpahkan kepada presiden, sambil menyatakan "secara praktikalnya, kuasa itu tidak akan kembali.
Peguam Neal Katyal yang mewakili perusahaan kecil mencabar tarif Trump, berhujah adalah "sangat tidak munasabah" untuk menganggap Kongres sudah menyerahkan kuasa mengubah keseluruhan sistem tarif dan ekonomi negara kepada presiden melalui IEEPA.
Keputusan mahkamah, yang mungkin mengambil masa beberapa bulan, tidak memberi kesan kepada tarif khusus sektor seperti keluli, aluminium dan automotif.
Sejak kembali ke Rumah Putih, Trump meningkatkan kadar tarif efektif purata ke paras tertinggi sejak 1930-an.
Mahkamah rendah sebelum ini memutuskan beliau melampaui kuasanya, sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Agung.
Trump menggambarkan kes berkenaan sebagai "antara yang terpenting dalam sejarah AS" dan memberi amaran akan berlaku malapetaka jika tarifnya dibatalkan.
Beliau tidak hadir pada pendengaran semalam, walaupun pernah membayangkan hasrat untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun beberapa pegawai kanan hadir termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Peguam berhujah jika Mahkamah Agung mendapati tarif global itu tidak sah, kerajaan masih mempunyai pilihan undang-undang lain untuk mengenakan tarif sehingga 15 peratus selama 150 hari sementara mencari mekanisme lebih kekal.
Negara yang sudah mencapai persetujuan tarif dengan Trump sebelum ini pula dijangka enggan membuka semula rundingan.

sandiwara baru dah bermula.
BalasPadamAnwar yang arah kan Hakim US cabar trump
BalasPadamTrump belum pernah takut. Hakim mahkamah agung Amerika syarikat dilantik oleh presiden. Tukar saja hakim-hakim tu.
BalasPadam