MAHARAJA TRUMP
MENCECAH DULI
DI KUALA LUMPUR
Hujung bulan Oktober 2025 yang baru lepas akan terus diingat oleh warga Kuala Lumpur. Heboh berlaku di Kuala Lumpur. Heboh yang amat heboh. Heboh lebih heboh dari Jom Heboh.
Heboh warga Kota Kuala Lumpur ini berpunca dari mendengar pengumuman kerajaan bahawa akan ada ‘lockdown’ dalam kota Kuala Lumpur untuk beberapa hari. Kenyataan Kuala Lumpur akan ada berlaku ‘lockdown – tutup semua ‘ ini keluar dari mulut Mat Hassan Menteri Luar Malaysia.
Maka warga Kuala Lumpur yang selesa dengan kereta mereka dengan serta merta mengeluarkan sumpah seranah melalui sosial media. Saya melihat media sosial – kini menjadi tempat melepas geram. Mat Hassan tanpa segan silu – tanpa di minta tanpa di jemput - telah mendapat carutan yang tidak putus-putus.
Perkataan ‘lockdown’ ini perkataan badi-sial yang mengingatkan warga Kuala Lumpur ke zaman Cobid19 di mana muka wajib bertopeng - hidup terganggu gugat dan bahu wajib di suntik. Satu ingatan ngeri yang mahu di lupakan.
Warga Kota Kuala Lumpur di beritahu oleh Menteri Luar bahawa ‘lockdown’ ini perlu untuk menyambut tamu yang akan datang ke Persidangan Tahunan Asean 2025 di Kuala Lumpur – bermula 26 Oktober dan berakhir pada 28 Oktober. Mengikut Mat Hasan selain dari pemimpin Asean ada ramai pemimpin dan para Gedebe dari luar negara yang akan di jemput sama.
Sumpah seranah dan kutukan dalam media sosial tidak berkurangan. Warga Kuala Lumpur tidak ambil pot pemimpin dari Asean ke , pemimpin Aksian ke , pemimpin Minta Kesian ke – semua tidak di pedulikan. Warga Kota Kuala Lumpur tidak mahu laluan kereta mereka di ganggu.
Maka dengan Muka Bantal Si Mat Hasan Menteri Luar Malaysia memanggil media. Mat Hasan mengakui – saya ulang – dia mengakui tidak akan ada lockdown .
‘ Tidak ada lockdown... saya hanya bergurau..’ kata-kata Mat Hasan ini saya pungut dari laporan media.
Aduh ! Inilah tahap fikrah Menteri Luar Malaysia – suka bergurau bukan suka menyelesaikan masalah dunia...kah kah kah.
Nama Trump mula disebut. Trump ini nama Presiden Amerika. Warga bertanya sesama sendiri - apakah Maharaja Trump akan mencecah duli di Kuala Lumpur. Berita Donald Trump akan datang ke Persidangan Tahunan Asean sudah lama tersebar.
Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Asean 2025 awal-awal lagi telah menghebohkan berita jemputan kepada Trump.
Malah Anwar Ibrahim dengan bangga lagi merak telah menunjukkan imej dia sedang bercakap melalui telefon dengan Donald Trump. Hebat. Memang hebat sosok yang bernama Anwar Ibrahim ini.
Ini bukan kali pertama Anwar menunjuk dan mengumumkan kepada warga Malaysia bahawa dia menerima panggilan telefon dari beberapa pemimpin dunia.
Anwar pernah menerima panggilan telefon Erdogan dari Turki, panggilan telefon Thaksin dari Thailand dan panggilan telefon Sukma Dramawan... opps silap ... panggilan dari Prabowo Subianto dari Indonesia.
Warga Internet yang peka dan memberi perhatian kepada tingkah laku Anwar Ibrahim ini menyambut dengan gelak ketawa. Malah warga Internet beramai-ramai telah menobatkan Anwar sebagai Bapa Pembangunan Telefon.
Portal berita The Reporter pada 19 Oktober 2025 telah melaporkan berita bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasa amat kesal apabila dia dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Telefon. Kah Kah Kah.
Mengikut surah Anwar Ibrahim sendiri - Presiden Amerika cukup gumbira dapat berlabun dengan dia. Segala pujian telah terhambur dari mulut Donald Trump kepada Anwar Ibrahim.
‘ Tiga kali Trump kata.. fantastik.. fantastik.. fantastik...’ Ini omong Anwar kepada warga Malaysia melalui media.
Kehebatan Anwar Ibrahim menyerlah membelah langit. Warga Malaysia wajib berbangga kerana Anwar Ibrahim anak watan berjenerasi bukan Anak Argentina yang baru mendapat status kewargaan Malaysia. Amin.
Betul hebat. Kepada Warga Internet yang masih kurang yakin dan kurang percaya akan kata-kata Anwar ini , saya beri cadangan sila telefon dan tanya kepada Donald Trump sendiri apakah labun Anwar ini sahih atau tidak.
Apabila dilaporkan Anwar menjemput Trump datang ke Kuala Lumpur maka suasana mula beralih. Langkah menjemput Presiden Amerika ini menaikkan kemarahan warga Malaysia terutama Melayu Islam. Sikap marah kepada Trump ini berkait rapat dengan Palestin dan Islam.
Presiden Amerika ini dilihat memberi sokong dan bantuan teguh kepada projek genosid Netanyahu di Gaza. Malah Presiden Trump adalah seorang Zionis yang telah mengiktiraf Baitulmuqadis – Jurusalem sebagai Ibu Kota Israel.
Ini tidak pernah dilakukan oleh Presiden Amerika yang lepas-lepas.
Trump ketika menjadi Presiden kali pertama – 2017 - telah memindahkan pejabat Kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Jurusalem.
Dunia sedang memberi perhatian kepada Netanyahu dan Trump yang terlibat dalam Perang Gaza. Isreal sedang membantai dan membunuh Arab Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Warga dunia tahu dan sedar semua ini dilakukan kerana Israel mendapat sokongan padu dari Trump. Tanpa sokongan Amerika Israel dan Netanyahu tidak akan berupaya melakukan apa yang sedang di lakukan di Gaza.
Justeru dari sinilah punca suara kemarahan warga Malaysia. Mereka menentang kesampaian Trump ke Kuala Lumpur. Kumpulan NGO, para Agamawan, pemimpin politik mula menyuarakan bantahan – semua menolak Trump.
Seperti biasa Anwar Ibrahim bersilat lidah. Jemputan ini – mengikut labun Anwar bukan dari Malaysia tatapi dari sekretariat Asean. Trump di jemput oleh Asean bukan oleh Malaysia. Omong ini bertujuan untuk meredakan kemarahan orang ramai.
Dalam masa yang sama kain sarung Anwar semakin terbuka - para Agamawan menyifat Anwar sebagai munafik. Manakala yang lain melihat Anwar lidah bercabang. Satu lidah kata dia menyokong perjuangan Palestin. Satu lagi lidah kata kita wajib jemput Zionis bernama Trump ke Kuala Lumpur.
Suasana anti-Trump ini melimpah ruah di seluruh dunia bukan hanya di Malaysia. Malah di Amerika pada 18 Oktober 2025 telah di adakan tunjuk perasaan anti-Trump yang di panggil No King Day – Hari Menolak Raja. Warga Amerika kini menganggap Trump mahu menjadi Maharaja.
Agensi berita melaporkan lebih dari 7 juta warga Amerika telah keluar berdemo di Hari Menolak Raja. Rakyat Amerika dari di seluruh kota, pekan dan desa telah keluar menolak Donald Trump.
Manakala di Kuala Lumpur Anwar berlabun ‘.... Saya nak beri tahu Trump.. bila di Kuala Lumpur nanti... agar hentikan perang di Gaza.... ‘ Ini labun Anwar sebagai perisai untuk menyelamatkan dirinya dari dituduh munafik.
Cakap dan labun Anwar ini tidak meredakan keadaan. Suara menentang lawatan Trump ke Kuala Lumpur makin mengampuh. Satu tunjuk perasaan telah di adakan pada 24 Oktober 2025. Tunjuk perasan ini menjemput lebih dari tiga ribu warga yang berarak dari dataran Tabung Haji menuju ke Pejabat Duta Amerika.
Kedutaan Amerika menjadi sasaran yang tepat. Memo dihantar untuk menyatakan bantahan terhadap peranan Trump dalam membantai warga Arab Palestin.
Sehari sebelum demo ini berjalan satu kumpulan anak muda – Kumpulan Anti -Imperialis Amerika- telah juga datang berdemo di hadapan Pejabat Duta Amerika. Dilaporkan seorang anak muda telah di tangkap.
Dalam masa yang sama satu lagi demo akan dilakukan di Ampang Park pada 26 Oktober 2025 - di hari kesampaian Donald Trump.
Kali ini kerajaan Madani telah menggunakan jentera polis untuk mengancam dan menggagalkan tajuk perasaan Menolak Trump.
Pada malam sebelum kesampaian Trump ratusan motosikal telah berkonvoi di hadapan Pejabat Duta Amerika. Mereka menunjuk perasaan membawa bendera Palestin dengan bermotor.
Pada malam ini berpuluh-puluh penunggang motosikal telah di tangkap oleh polis. Tangkapan ini tidak di heboh dan di benamkan oleh media. Berita puluhan di tangkap - Anti Trump – ini pasti akan mencemarkan nama Anwar Ibrahim sebagai Tuan Rumah.
Pada 26 Oktober jam 9 pagi warga Malaysia mahu berhimpun sekali lagi di Ampang Park. Ketua Polis Kuala Lumpur telah membuat kenyataan yang mengancam bakal penunjuk perasaan.
‘ Tindakan keras akan di ambil... pindah dari Ampang Park ke Padang Merbuk atau Dataran Merdeka...’
Pada jam 10 pagi 26 Oktober 2025 pesawat yang membawa Trump berlabuh di KLIA. Anwar Ibrahim bersongkok dan berjaket datang menyambut Trump. Sambutan bukan hanya permaidani merah malah dayang-dayang dan kanak-kanak datang mengalu-alukan Maharaja Trump mencecah duli di Kuala Lumur.
Sambil berjoget sambil ketawa Trump mempelawa Anwar Ibrahim masuk ke dalam kereta Presiden Amerika menuju ke Kuala Lumpur. Ini kereta resmi Presiden yang di terbangkan khusus dari Washington ke Kuala Lumpur. Kereta ini sampai sehari awal dari kesampaian Maharaja.
Hebat cukup hebat.
Beberapa jam kemudian meledak Bom Atom pertama. Bom ini di ledakan oleh Mufti Perlis. Agamawan ini menyatakan rasa gelisah dan kesal melihat dayang-dayang menari-nari menyambut Maharaja Trump. Sang Mufti menyampaikan perasaan sedih kerana Trump bersekongkol dengan Netanyahu dalam projek genosid - membunuh beramai-ramai warga Arab Palestin di Gaza..
Apakah hanya sebutir sahaja Bom Atom meledak? Ada lagi – banyak lagi. Sila tunggu sambungan labun Anwar dengan Trump ini minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/760171









Tiada ulasan:
Catat Ulasan