Turkiye keluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu kerana genosid
ISTANBUL: Turkiye mengumumkan bahawa telah mengeluarkan waran tangkap atas tuduhan genosid terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai kanan kerajaannya berhubung perang di Gaza.
Pengumuman itu serta-merta disambut dengan penolakan keras oleh Israel. Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata Israel menolak dakwaan itu dengan tegas, dengan penuh penghinaan, dan menggelarnya sebagai helah perhubungan awam terbaharu oleh regim itu.
Pejabat pendakwa raya Istanbul dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa seramai 37 suspek disasarkan menerusi waran tangkap berkenaan, namun senarai penuh tidak didedahkan.
Antara mereka yang disenaraikan termasuk Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz; Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir dan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.
Turkiye menuduh pegawai-pegawai itu atas kesalahan genosid dan jenayah kemanusiaan yang didakwa dilakukan Israel secara sistematik di Gaza.
Kenyataan itu turut merujuk kepada Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin yang dibina oleh Turkiye di Semenanjung Gaza, yang dibom oleh Israel pada bulan Mac lalu.
Turkiye, yang juga antara pengkritik paling lantang terhadap perang di Gaza, tahun lalu telah menyertai kes Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Wilayah Palestin yang musnah itu telah menyaksikan gencatan senjata rapuh berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, yang menjadi sebahagian daripada pelan damai serantau oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sementara itu, kumpulan Hamas, menyambut baik pengumuman Turkiye, menyifatkannya sebagai langkah terpuji pendirian ikhlas rakyat Turkiye dan pemimpin mereka, yang komited terhadap nilai keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan mengikat mereka dengan rakyat Palestin yang tertindas.
Sementara itu dalam hantaran di platform media sosial X, Saar mendakwa bahawa di bawah pimpinan Erdogan, badan kehakiman Turkiye telah lama menjadi alat untuk mendiamkan saingan politik dan menahan wartawan, hakim serta datuk bandar.
Beliau menambah, pejabat pendakwa raya Istanbul baru-baru ini mengatur penahanan Datuk Bandar Istanbul hanya kerana berani bertanding menentang Erdogan, merujuk kepada Ekrem Imamoglu yang ditahan pada Mac.
Bekas Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, pula menulis di X bahawa waran tangkap terhadap pegawai kanan Israel menjelaskan mengapa Turkiye tidak seharusnya terbabit dengan Semenanjung Gaza sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Turkiye mahu mengambil bahagian dalam pasukan penstabilan antarabangsa yang bertujuan memainkan peranan pasca perang di Gaza, selaras dengan pelan Trump.
Namun, usaha Ankara, termasuk meningkatkan hubungan diplomatik di rantau itu dan cubaan mempengaruhi pendirian pro-Israel AS, dilihat dengan rasa tidak senang di Israel.
Israel menganggap Turkiye terlalu dekat dengan Hamas. Pemimpin Israel telah berulang kali menyatakan bantahan mereka terhadap sebarang penyertaan Turkiye dalam pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza.
Israel sebelum ini menolak dakwaan genosid daripada suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa negara, dengan menyifatkannya sebagai palsu dan anti-Semitik. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan