150 bangunan pusat penipuan siber dirobohkan junta Myanmar
YANGON: Tentera Myanmar memaklumkan telah merobohkan hampir 150 bangunan dalam operasi membanteras pusat penipuan internet terkenal berhampiran sempadan Thailand termasuk sebuah gimnasium, spa dan pusat karaoke.
Pusat penipuan itu berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar yang porak-peranda dan kurang dikawal, menempatkan pekerja menyasarkan pengguna internet yang diperdaya melalui penipuan cinta dan perniagaan bernilai puluhan bilion dolar setiap tahun.
Ramai pekerja ditipu dan dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam talian itu, tetapi ada juga yang pergi atas kehendak sendiri, di mana mereka yang memperoleh habuan lumayan dan ketua sindiket hidup dalam kemewahan.
Bulan lalu, tentera Myanmar mengumumkan serbuan ke atas pusat penipuan terkenal, KK Park, dan berjaya menemui lebih 2,000 anggota sindiket selain menyebabkan 1,500 orang melarikan diri ke Thailand.
Dalam laporan terkini akhbar rasmi kerajaan The Global New Light of Myanmar, junta berkata ia menemui 148 bangunan termasuk asrama, sebuah hospital empat tingkat dan kompleks karaoke dua tingkat.
"Sebanyak 101 bangunan telah dirobohkan, manakala 47 bangunan lagi sedang dalam proses," lapor akhbar itu.
Setakat ini, AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan itu, tetapi penduduk tempatan di Myanmar dan di seberang sempadan di Thailand melaporkan terdengar bunyi berbalas letupan sejak serbuan tentera Myanmar bermula.
Pakar berkata serbuan junta itu kemungkinan terhad, dirancang rapi dan disengajakan dihebahkan kerana tentera cuba menyeimbangkan tekanan antarabangsa untuk membanteras pusat penipuan tanpa terlalu menjejaskan keuntungan.
China adalah penyokong ketenteraan utama junta, tetapi penganalisis berkata Beijing kini semakin marah dengan penipuan meluas yang menyasarkan dan merekrut warga negaranya.
Namun, menurut pemerhati, tindakan terlalu keras boleh mengurangkan keuntungan yang membiayai keperluan kumpulan bersenjata (militia) yang menjadi sekutu utama junta dalam perang saudara melanda negara itu sejak rampasan kuasa 2021.
Pada Februari lalu, satu tindakan mendesak yang dipimpin China menyaksikan kira-kira 7,000 pekerja penipuan dihantar kembali ke negara asal dalam perpindahan besar-besaran yang mendapat liputan meluas di Myanmar.
Sementara itu, Thailand melaksanakan blok internet merentas sempadan bagi membendung operasi pusat penipuan itu.
Tentera Myanmar mengumumkan serbuan awal ke atas KK Park pada 19 Oktober selepas siasatan AFP mendapati pusat-pusat termasuk KK Park berkembang walaupun terdapat serbuan.
Malah, penerima internet satelit Starlink dipasang secara besar-besaran untuk mengatasi pemotongan internet oleh Thailand.
Selepas siasatan AFP, syarikat induk Starlink, SpaceX, berkata pihaknya telah memutuskan isyarat kepada 2,500 terminal internet satelit di kawasan berhampiran yang disyaki premis operasi pusat penipuan Myanmar. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan