NEGARA BAWAH TEKANAN AMERIKA - UMNO KHIANATI PERJUANGAN KEMERDEKAAN
KUALA LUMPUR, 12 NOV 25 — Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, mendakwa kepimpinan dan ahli UMNO kini telah mengkhianati perjuangan asal parti itu dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara apabila menyokong perjanjian yang menurutnya meletakkan Malaysia di bawah pengaruh Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan keras yang dimuat naik di akaun media sosialnya hari ini, Dr Mahathir menuduh tindakan kerajaan yang disokong UMNO – sebagai menggadai kedaulatan negara dan menghapuskan semangat kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu.
“Kamu sudah khianati perjuangan ibu bapa dan datuk nenek kamu untuk kemerdekaan Tanah Melayu,” kata Dr Mahathir.
“Hari ini kamu sokong tindakan menghapuskan kemerdekaan itu apabila mempersetujui perjanjian meletak negara tercinta ini di bawah kuasa Amerika Syarikat,” tambahnya.
Menurut Dr Mahathir, perjanjian yang dipersetujui kerajaan bukan sahaja melibatkan pembelian barangan Amerika bernilai hampir RM1 trilion, tetapi turut mengikat Malaysia untuk menyokong dasar luar dan tindakan Amerika dalam urusan antarabangsa.
Beliau mendakwa, kandungan perjanjian itu juga memberi ruang kepada Washington untuk menentukan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain, termasuk memastikan ia tidak bertentangan dengan kepentingan dan pendirian Amerika Syarikat.
“Keberanian Malaysia sudah tidak ada lagi. Segala-galanya ditentu oleh A.S.,” tulisnya.
Dr Mahathir yang pernah memimpin UMNO selama lebih dua dekad berkata, parti itu kini sudah menyimpang jauh daripada asas perjuangannya untuk bangsa, agama dan negara.
“UMNO sudah jadi pengkhianat kepada bangsa Melayu. UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama,” katanya.
Beliau turut menuduh wakil rakyat dan ahli parti itu lebih mementingkan kepentingan diri sendiri daripada maruah negara, sambil memberi amaran bahawa pengkhianatan mereka akan “tercatat dalam sejarah”.
Kenyataan terbaru Dr Mahathir itu dilihat sebagai lanjutan daripada siri kritikannya terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini menandatangani beberapa perjanjian strategik dengan Amerika Syarikat dalam bidang ekonomi dan keselamatan.
Perjanjian itu, menurut kerajaan, bertujuan memperkukuh pelaburan serta kerjasama pertahanan dan teknologi antara kedua-dua negara, namun dikritik oleh pihak pembangkang dan beberapa tokoh nasionalis sebagai tindakan yang boleh menjejaskan dasar berkecuali Malaysia. Politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan