Tentera Israel serbu Tebing Barat, remaja Palestin ditahan
RAMALLAH: Tentera Israel dilapor melancarkan serbuan di beberapa kawasan di Tebing Barat dan menahan seorang remaja lelaki di bandar Tubas, menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Pasukan tentera Israel dilaporkan memasuki kampung Kafr Malek, di timur laut Ramallah, dan Far'ata, di timur Qalqilya, serta beberapa kawasan kejiranan, namun tiada tangkapan dibuat di dua lokasi itu, menurut sumber tempatan.
Bagaimanapun, dalam insiden berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun dikenali sebagai Mahmoud Daraghmeh ditahan selepas tentera Israel menyerbu rumah keluarganya di Tubas, lapor Wafa.
Sementara itu, pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Addameer, mendakwa seramai 400 kanak-kanak atau remaja Palestin kini berada dalam tahanan Israel atas pelbagai dakwaan berkaitan politik, menurut media Al Jazeera.
Serbuan ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dilaporkan terus meningkat sejak beberapa bulan lalu meskipun usaha antarabangsa diteruskan bagi mengekalkan kestabilan di wilayah berkenaan. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan