𝐂𝐮𝐛𝐚𝐚𝐧 𝐈𝐤𝐭𝐢𝐫𝐚𝐟 𝐔𝐄𝐂 𝐒𝐮𝐚𝐭𝐮 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐡𝐢𝐧𝐚𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐫𝐡𝐚𝐝𝐚𝐩 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐬𝐚 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐲𝐮, 𝐓𝐞𝐠𝐚𝐬 𝐏𝐚𝐤𝐚𝐫 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧
KUALA LUMPUR, 11 DIS 25 — Usaha mengiktiraf Sijil UEC sudah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan, namun menurut pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, perjuangan itu hakikatnya telah berulang kali mencabar kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dr. Anuar menegaskan beliau tidak menentang kewujudan sekolah vernakular atau pelaksanaan UEC di sekolah persendirian Cina. Namun bantahannya tegas: pengiktirafan UEC setaraf SPM dan STPM adalah bentuk penghinaan kepada martabat Bahasa Melayu yang dijamin Perkara 152 Perlembagaan.
“Pengiktirafan UEC adalah satu penghinaan kepada Perkara 152 Perlembagaan. Apa maknanya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Jika kerajaan meneruskan niat itu, ia merupakan kesalahan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, mengizinkan UEC wujud dan mengiktiraf sijil tersebut adalah dua perkara berbeza — dan pengiktirafan rasmi oleh kerajaan bermakna menggadai status Bahasa Melayu sebagai bahasa utama sistem pendidikan dan pentadbiran negara.
Dr. Anuar berkata sejarah menunjukkan isu ini bukan baharu. Pada 1959, MCA di bawah Dr Lim Chong Eu mendesak kerajaan mengiktiraf UEC sehingga mengugut untuk memboikot Perikatan. Namun, Tunku Abdul Rahman membawa isu itu ke Perhimpunan Khas UMNO, dan parti itu sebulat suara menolak tuntutan tersebut demi mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu.
“Perwakilan UMNO tegas bahawa Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan. Biar kalah pilihan raya sekalipun, Bahasa Melayu ialah jiwa mereka. Itu ketegasan pemimpin dahulu,” katanya.
Dr. Anuar menambah, langkah pimpinan DAP bertemu Perdana Menteri Anwar bin Ibrahim baru-baru ini untuk membincangkan pengiktirafan UEC sekali lagi menggoncang kestabilan dan keharmonian masyarakat, khususnya kerana ia mengguris perasaan majoriti rakyat yang mengutamakan Bahasa Melayu.
“Riuh seluruh negara. Ada yang sampai kutuk-mengutuk sesama sendiri. Sedangkan tindakan itu mencalarkan hati banyak pihak. Bila isu reda, mereka akan diam… kemudian muncul semula dan desak lagi,” katanya.
Beliau menggesa rakyat yang menghormati keluhuran Perlembagaan untuk bangkit menolak usaha pengiktirafan UEC, kerana menurutnya, setiap cubaan mengiktiraf sijil tersebut pada asasnya adalah cubaan merendahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. @politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan