Khamis, 11 Disember 2025

DASAR & STRATEJI TEEPAT HAMAS


Hamas tolak tuntutan lucut senjata sepenuhnya


DOHA: Hamas terbuka kepada cadangan 'pembekuan' senjata, namun menolak tuntutan untuk kumpulan pejuang itu melucutkan senjata sebagaimana digariskan dalam pelan damai Gaza yang ditunjangi Amerika Syarikat (AS).

"Idea pelucutan senjata sepenuhnya adalah tidak boleh diterima oleh pihak pejuang (Hamas).

"Apa yang dicadangkan ialah pembekuan atau penyimpanan (senjata)... bagi memberi jaminan tidak berlaku sebarang peningkatan ketenteraan dari Gaza dengan pihak pendudukan Israel.

"Inilah idea yang kami sedang bincangkan dengan pengantara, dan saya percaya dengan pemikiran pragmatik Amerika... visi sedemikian boleh dipersetujui bersama pentadbiran AS," kata pemimpin utama Hamas, Khaled Meshaal, dalam wawancara dengan saluran berita Qatar, Al Jazeera, yang disiarkan semalam.

Perjanjian gencatan senjata itu kekal rapuh selepas berkuat kuasa 10 Oktober lalu, dengan Israel dan Hamas saling menuduh satu sama lain melakukan pelanggaran hampir setiap hari.

Perjanjian itu dibahagikan kepada tiga fasa yang mana Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini memberi bayangan bahawa ia bakal memasuki fasa kedua.

Dalam fasa itu nanti, tentera Israel akan berundur lebih jauh lagi dari posisi mereka di Gaza dan digantikan dengan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), manakala Hamas pula meletakkan senjata.

Netanyahu dijangka bertemu Presiden AS, Donald Trump, bulan ini, untuk membincangkan langkah seterusnya dalam perjanjian itu.

Bagaimanapun, kumpulan pejuang Palestin itu menegaskan pihaknya tidak akan bersetuju untuk melucutkan senjata.

Dalam fasa pertama perjanjian itu, Hamas komited membebaskan baki 48 tebusan - hidup dan mati - yang ditahan di Gaza. Setakat ini, semua tebusan berkenaan sudah dibebaskan kecuali satu mayat.

Sebagai pertukaran, Israel membebaskan hampir 2,000 warga Palestin dalam tahanan rejim Zionis dan memulangkan ratusan mayat rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Meshaal berkata, Hamas terbuka kepada cadangan menempatkan pasukan pengaman antarabangsa di sepanjang sempadan Gaza dengan Israel.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kumpulan pejuang itu tidak akan bersetuju untuk pasukan terbabit beroperasi di dalam wilayah Palestin, dengan menyifatkan pelan berkenaan sebagai 'pendudukan'.

"Kami tidak membantah pasukan antarabangsa atau pasukan penstabilan antarabangsa ditempatkan di sepanjang sempadan, seperti Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL). Mereka akan memisahkan Gaza daripada pendudukan (Israel).

"Namun untuk pasukan antarabangsa berada di dalam Gaza... dalam budaya dan kesedaran rakyat Palestin, ia bermakna pendudukan," katanya sebagaimana dilaporkan AFP.

Beliau sekali gus menekankan bahawa pihak pengantara dan juga negara-negara Arab serta Islam boleh bertindak sebagai 'penjamin' bahawa tidak akan berlaku eskalasi yang berpunca dari dalam Gaza.

"Bahaya datang daripada entiti Zionis, bukan dari Gaza," katanya merujuk kepada Israel.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, BERNAMA-ANADOLU melaporkan di Washington, Trump berkata, senarai ahli 'Lembaga Keamanan' untuk Gaza akan diumumkan pada awal tahun depan dengan dianggotai pemimpin dunia.

"Kita akan mengumumkannya pada awal tahun depan dan ia akan menjadi antara Lembaga paling berpengaruh dalam sejarah.

"Mereka semua mahu terbabit. Secara asasnya, ia akan disertai ketua negara paling penting. Mereka semua mahu berada dalam Lembaga itu," katanya kepada media di Rumah Putih, semalam.

Lembaga terbabit adalah komponen penting dalam perjanjian gencatan senjata ditunjangi Trump bagi Gaza, namun butiran utama termasuk keanggotaannya masih belum didedahkan hingga kini.

Ia dijangka memainkan peranan membantu tadbir urus Gaza bawah terma perjanjian gencatan senjata itu.

Malah, Trump berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan kumpulan berkenaan.


GERAKAN

REVOLUSI TANPA

SENJATA TIDAK

ADA MAKNA

AMIN

HILANG SENJATA

HILANG KUASA

AMIN

JANGAN LUPA:

KUASA LAHIR

DARI MUNCUNG

SENAPANG

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan