Jumaat, 26 Disember 2025

HARI INI HARI NAJIB


Penyokong Najib bersemangat demi 'bosku' walau tak ramai

Penyokong Najib Razak yang berhimpun di luar Istana Kehakiman, Putrajaya walaupun tidak ramai namun kelihatan bersemangat ketika menunggu keputusan terhadap 25 pertuduhan berkaitan 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu hari ini.

Seawal jam 7.30 pagi, kira-kira 40 ahli dan penyokong Umno antaranya dari Kelantan dan Pahang berhimpun sambil berkobar-kobar melaungkan seruan “bebas bossku!”.

Sebagai persiapan menghadapi penantian panjang bagi keputusan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah, beberapa wanita hadir membawa nasi lemak buatan sendiri yang dihidangkan kepada para penyokong bersama pelbagai lauk.

Dari Umno Pekan, bahagian yang sebelum ini dipimpin Najib dan kawasan parlimen yang pernah diwakilinya, Norma Jalal, 71 (gambar bawah) berkata dia berada di Kuala Lumpur sejak Isnin bagi mengikuti keputusan terbaru berkaitan permohonan Najib untuk tahanan rumah yang ditolak.

“Kenapa perlu macam ini. Kami bukan nak melompat ‘pagar’,” katanya sambil bersandar pada penghadang besi yang diawasi anggota keselamatan yang memeriksa kenderaan serta orang ramai menuju pintu masuk mahkamah.

“Saya datang sendiri, tapi mungkin ada yang datang bersama dengan bas,” kata Pengerusi Tetap Wanita Umno Pekan itu yang menjadi ahli parti selama lima dekad sejak berusia 18 tahun.

Bunyi siren polis menandakan ketibaan Najib dengan kenderaan Black Maria sekitar jam 8.25 pagi manakala sebuah kereta peribadi yang dipercayai milik ahli keluarganya melalui sekatan kira-kira 20 minit kemudian.

Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Bagan Serai, Faridatul Akma Osman, 61, antara penyokong yang berada di Kuala Lumpur sejak hampir seminggu lalu.


“Saya hanya menumpang di rumah kawan. Kami semua di sini untuk Bossku, dan apa pun yang berlaku, perkara paling penting niat kami ikhlas,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi pesara penjawat awam Halijah Ibrahim, 69  sokongannya terhadap Najib dan pentadbiran diterajui BN sebahagiannya berpunca daripada rasa terhutang budi atas manfaat diterima, termasuk biasiswa penuh melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

Mengulas prosiding perbicaraan berkaitan 1MDB yang bermula pada 2019, Halijah menyebut dakwaan “ketidakadilan” dan “layanan tidak adil” terhadap Najib, satu naratif yang turut diperkuat penyokong melalui ulasan “langsung” dalam talian dari luar mahkamah hari ini.

“Itulah sebabnya saya berasa sedih dengan keadaan ini,” katanya sambil menambah ramai generasi muda terpengaruh dengan “fitnah” terhadap Najib.

Halijah turut menyatakan jumlah penyokong yang lebih kecil hari ini, berbanding perhimpunan pada Isnin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, sebahagiannya berpunca daripada kekecewaan terhadap keputusan sebelum ini.

Najib didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada 2018. Perbicaraan bermula pada tahun berikutnya.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa melakukan kesalahan di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan salah guna kuasanya dirangka di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara hingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dirangka di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta serta penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Najib diperintahkan membela diri terhadap semua pertuduhan pada 30 Okt 2024 selepas Collin mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

HARI INI

KITA BERSAMA

INGATI SEBAGI

HARI NAJIB

AMIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan