Lupakan luka lama…Pas, UMNO dan Bersatu perlu bersama hidupkan MN
KUALA LUMPUR – Usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) akan lebih lengkap sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dibawa bersama dalam gabungan politik itu.
Sehubungan itu, pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, semua pihak sama ada di dalam Pas, UMNO dan Bersatu perlu melupakan cerita lama dan luka antara mereka dalam menghidupkan semula MN.
Menurutnya, dengan tiga parti Melayu utama bersatu hati dalam satu wadah dan kemudian turut dibentuk kerjasama lain dengan parti-parti bukan Melayu yang sederhana dan tidak chauvinis serta boleh menerima MN, jaminan keharmonian dan perpaduan bagi negara ini pasti lebih kukuh dan menyerlah.
Namun, jelas beliau, tanpa sangsi, syarat awal dan paling utama jika benar ingin dihidupkan semula MN adalah ia harus bermula dengan UMNO mesti keluar daripada Kerajaan Perpaduan terlebih dahulu.
“Selari kerana cadangan menghidupkan MN itu datang daripada Dr. Muhamad Akmal Saleh iaitu seorang pemimpin UMNO, maka langkah pertama itu seharusnya mula digerakkan tanpa banyak bertangguh lagi.
“Dalam masa yang sama, Dr. Muhamad Akmal harus terus menekan UMNO dan memainkan peranan lebih aktif agar parti itu tiada keraguan berbuat demikian,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Dr. Muhamad Akmal dalam reaksi terhadap konflik politik di Perlis mencadangkan supaya MN dihidupkan semulan dan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan.
Malah, katanya, usaha supaya memperkasakan MN dan bukannya PN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Saranan Dr. Muhamad Akmal itu kemudiannya disambut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan MN boleh dilancarkan terus sebaik sahaja UMNNO dan BN mengisytihar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Shahbudin berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada pertengahan bulan depan menjadi medan terbaik buat Pemuda UMNO mengetengahkan idea keluar Kerajaan Perpaduan dan pembentukan semula MN berkenaan.
Malah, katanya, pentas PAU juga paling sesuai kebulatan pendirian perwakilan UMNO menerima MN diserlahkan ke seluruh dunia.
Tambah beliau, berdasarkan maklum balas awal yang positif daripada beberapa pemimpin Pas, adalah diyakini parti itu akan turut menghayun langkah yang sama jika langkah pertama dimulakan oleh UMNO terlebih dahulu.
“Tentunya selepas itu nanti, kiranya idea menghidupkan MN menjadi kenyataan, akan ada beberapa parti dalam kerajaan yang mula rasa menggigil ketakutan, bahkan mungkin ada yang tak menang walau satu kerusi pun pada PRU akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:
Catat Ulasan