Najib bersalah atas 4 pertuduhan salah guna kedudukan kes 1MDB
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Najib Razak bersalah terhadap empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mensabitkan bekas Perdana Menteri terhadap keempat-empat pertuduhan selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.
Hakim Collin kemudian meneruskan prosiding dengan membacakan keputusan terhadap 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.
Bagi pertuduhan salah guna kedudukan, beliau disabit melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan