Sofia Rini bebas dengan jaminan - SPRM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki hari ini mengesahkan bahawa wanita yang dikaitkan dalam klip video perbualan bersama ahli perniagaan Albert Tei berhubung isu rasuah, Sofia Rini Buyong, telah dibebaskan.
Ia susulan tempoh remannya berakhir hari ini.
"Reman tamat hari ini dan tidak disambung. (Dibebaskan) dengan jaminan SPRM," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan selain Tei dan Sofia Rini, SPRM pada Jumaat lalu turut menahan bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung siasatan dakwaan rasuah melibatkan lesen prospek perlombongan di Sabah.
Siasatan dibuat setelah Tei mendedahkan dia menyogok dana bernilai lebih RM600,000 kepada Shamsul melalui pelbagai pembelian dan bayaran, termasuk tunai, bagi mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Tei antara lain mendakwa dia diperkenalkan kepada Shamsul Iskandar oleh Sofia Rini, yang menurutnya merupakan proksi kepada Shamsul Iskandar.
Bagaimanapun, wanita itu dalam video tular baru-baru ini menafikan dia menjadi proksi kepada bekas pegawai kanan perdana menteri, Anwar Ibrahim.
Walaupun mengakui ada berjumpa dengan Tei, Sofia Rini mendakwa ahli perniagaan tersebut membuat kenyataan palsu dan tohmahan terhadapnya.
Pertemuan pertama mereka didakwa berlaku pada 8 Nov 2023, kira-kira jam 10 malam di kedai cerut Jesselton Cigaro di Kota Kinabalu.
Dalam video tersebut, Sofia Rini mendakwa Shamsul Iskandar meminta Azam Baki “meringankan” kes Tei.
Dia berkata Shamsul Iskandar ada bertemu dengan Azam, memandangkan dia dikaitkan dalam skandal perlombongan Sabah dan dipanggil oleh Azam.
Berita Harian dalam laporan berasingan juga menyebut SPRM menafikan merampas barangan berharga milik Tei tanpa pengetahuan seperti didakwa isteri ahli perniagaan itu.
Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM berkata, senarai barangan yang dirampas sudah diserahkan kepada pada hari penahanan Tei dan ditandatangani sendiri individu berkenaan.
"SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas bahawa pegawai SPRM merampas barangan Albert Tei tanpa mengikut prosedur.
"SPRM sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan ditetapkan dalam bidang kuasa," katanya.
Antara barangan yang disita itu adalah bahan bukti kes yang disiasat seperti telefon bimbit, iPad dan perakam video digital.
Senarai barangan berkenaan diberi oleh ahli perniagaan itu kepada pegawai SPRM dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, firma guaman Messrs Raj & Sach yang mewakili isteri Tei, Lee Pei Rie mendakwa, SPRM merampas barangan suaminya secara tidak sah

Tiada ulasan:
Catat Ulasan