Jumaat, 3 Julai 2026

DARA, AMOI & KELAT DI SELUDUP?


DARA, AMOI &

KELAT DISELUDUP ?


Mata dan hati saya mula terbuka bila berita Dara , Amoi dan Kelat muncul dalam media. Ini tiga ekor gajah – warga asli Tanah Melayu -  kini dikurung dalam Zoo Tennoji  Osaka Jepun.  

Apa yang menarik perhatian saya ialah wujudnya Pertubuhan  Bukan Kerajaan ( NGO ) yang menimbul dan membawa berita tiga ekor gajah ini  ke pengetahuan umum.

Kumpulan Bukan  Kerajaan ini memainkan peranan yang penting untuk memberi kesedaran dan pencerahan dalam hal ehwal haiwan. Tanpa mereka saya tidak akan mengetahui tentang nasib  Dara, Amoi dan Kelat  yang sedang terkurung di Osaka Jepun. 

Kesedaran dan pencerahan tentang kebajikan haiwan ini bukan satu yang baru dalam negara kita.

Saya pernah membaca laporan BERNAMA pada 7 Ogos 2025  bilamana  seorang Pak Cik telah di denda 30 ribu ringgit oleh Mahkamah Sesyen Ampang. Pak Cik ini telah didenda kerana memukul  Lucky anjing peliharaannya  dengan rotan dan paip.
Perbuatan ganas ini telah di rakam oleh jiran tetangga yang membuat laporan kepada polis.

Untuk saya berita ini menunjukkan bahawa  masyarakat kita telah  setapak maju ke  hadapan.  Telah ada kesedaran di kalangan warga bahawa haiwan juga mempunyai hak asasi.

Malah kita juga wajib berbangga kerana negara kita pada tahun 2015 telah meluluskan   Undang-Undang Penganiayaan Haiwan. Hukuman berat ke atas Pak Cik yang memukul  Lucky  termaktub di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772). 

Seksyen ini melarang keras sebarang bentuk kezaliman terhadap haiwan, termasuk:  Memukul atau menyepak haiwan. Mencederakan menggunakan senjata (seperti besi atau buluh). Mengabaikan kebajikan sehingga menyebabkan penderitaan. Meracun atau membunuh haiwan tanpa alasan munasabah.

Kita juga ada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan 2022): Kesalahan mengimport, mengeksport, atau menyeludup hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,000 dan penjara sehingga 15 tahun.

Undang-undang dan Akta  ini  pada hemat saya membuktikan bahawa Malaysia kini   dalam landasan tamadun kemanusiaan yang betul. Kita bukan saja menjaga Hak Asasi Manusia tetapi kita juga menjaga Hak Asasi Haiwan.

Lalu timbul persoalan  bagaimana Dara, Amoi dan Kelat boleh berhijrah ke Osaka Jepun? 

Soalan ini menjadi tanda tanya kerana yang  berhijrah  ialah  gajah. Bagaimana haiwan gajah yang amat besar ini boleh  dihantar ke Jepun. Gajah  tiga ekor ini  bukan berpindah dari Segambut ke  Sri Kembangan.  

Dara, Amoi dan Kelat  diangkut cara apa  ke Osaka. Naik kapal terbang atau naik  kapal laut.   Wajib ada pasport atau tidak. Saya bertanya hal ini kerana saya ada pengalaman dalam hal menghantar haiwan ke luar negara.

Tiga tahun  dulu  saekor  anjing jantan muda – telah saya ditemui bersendirian berkelana di Tanah Perkuburan Hokkien. Ini wilayah  tempat saya membawa  anjing peliharaan saya  Tak Tak dan Ezi – berjalan setiap  pagi dan petang. 

Anjing buangan ini telah berkawan dengan anjing saya.  Lalu di beri nama Oskar.

Jiran saya yang juga pemilik anjing telah memasukan gambar Oskar  ke media alam maya untuk mencari Tuan Baru.   Seorang Insan Baik dari Singapura  telah melamar untuk menjadi Tuan Baru kepada Oskar.

Oskar perlu dihantar ke Singapura. Proses ini mengambil masa lebih dari satu bulan. Ketika menunggu proses penghantaran  Si  Oskar telah  saya bawa menumpang di flet saya.  Ini menjadikan katil saya  sempit untuk tiga ekor anjing.

Butiran Oskar telah  diambil oleh pihak berwajib. Kemudian Oskar wajib mendapat suntikan dan di kuarantin selama satu bulan sebelum di terbangkan ke Singapura.

Hakikatnya proses menghantar haiwan hidup ke luar negara ini bukan perkara yang mudah.  Surat  menyurat , permit dan lesen di perlukan. Ada sistem peraturan yang ketat yang wajib di patuhi.

Pengalaman menghantar Oskar ini meyakinkan saya bahawa pasti  menghantar tiga ekor gajah ke Jepun juga memerlukan proses yang lebih  rapi dan teliti.

Peraturan menghantar haiwan liar ini  semuanya termaktub dalam Piagam CITES. Kalau untuk negara kita ada United Nation atau PBB. Untuk haiwan dan tanaman  ada CITES : Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam.

Saya meneliti dan terus mencari maklumat untuk tahu tentang Dara , Amoi dan Kelat. 

Saya membaca maklumat dari   William Keith Lindsay  seorang pakar  biologi pemuliharaan dan perunding alam sekitar yang berpangkalan di Oxford England.  Sosok ini telah membuat kajian di 14 buah zoo di Jepun termasuk Zoo Tennoji  di Osaka dimana Hiroko saekor gajah telah mati pada tahun 2018.

Dara kini berumur 14 tahun. Amoi berumur 9 tahun dan Kelat gajah jantan berumur 20 tahun.  Ketika  Dara berumur 1 tahun , Amoi berumur 2 tahun dan  Kelat berumur 5 tahun mereka yang yatim piatu telah di selamatkan dan di hantar ke Pusat Pemuliharaan  Binatang Liar di Kuala Gandah Pahang di bawah Jabatan Perhilitan.

Apa yang kita baca – malah saya sendiri – telah menulis bahawa Dara, Amoi dan Kelat ini telah berpindah dari  Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka. 

Ini fakta salah. 

Tiga ekor gajah ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Taiping. Satelah mereka di selamatkan mereka bertiga adalah warga  Kuala Gandah.

Lalu persoalan timbul – dari mana punca berita yang mengatakan bahawa Tiga Ekor  Yatim Piatu ini  tinggal dan di besarkan  di Zoo Taiping. Apakah nama Zoo Taiping ini disebut sama untuk  membolehkan  Dara, Amoi dan Kelat  di terbangkan ke Osaka. 

Ini kerana dalam Piagam CITES  ada di nyatakan bahawa haiwan yang boleh di hantar ke luar negara adalah haiwan yang di lahir dan di besar dalam zoo. Ini untuk mengelakkan haiwan liar di tangkap dan terus di eksport ke luar negara.

Bila saya sampai ke  perkara eksport  dan seludup haiwan liar ini  saya terperanjat.  Kita selalu terbaca berita PDRM dan Kastam menangkap penyeludup  dadah.  Amat jarang  kita terbaca haiwan liar di seludup.

Jangan terperanjat - perdagangan haram menyeludup  hidupan liar di peringkat global dianggarkan bernilai antara 20 bilion hingga 23 bilion  dolar setahun. Ini  perdagangan haram keempat terbesar di dunia. 
Manakala penyeludupan dadah bernilai antara 426 bilion hingga 652 bilion dolar  setahun. Diikuti oleh  pemalsuan barangan dan perdagangan manusia.

Penyeludup hidupan liar kerap menggunakan laluan transit dan kaedah penyembunyian yang sama seperti yang digunakan oleh kartel dadah  untuk merentas sempadan.

Justeru Dara, Amoi dan Kelat ini  mungkin .. saya ulangi mungkin ... termasuk dalam  rangkaian jenayah terancang antarabangsa.   

Kemungkinan saya menganggap Dara, Amoi dan Kelat telah di seludup kerana  Berita Harian pada  22 Jun 2026  ada melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  membuka kertas siasatan isu pemindahan tiga gajah a dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat  dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

SPRM dalam satu kenyataan , memaklumkan ketika ini sedang giat mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Siasatan kini memberi tumpuan kepada NRES, PERHILITAN serta ejen yang terbabit dalam urusan pemindahan Dara, Amoi dan Kelat,".

Ada dakwaan yang mengatakan bahawa bayaran berkait urusan  ke Osaka  yang tidak disalurkan kepada kerajaan. Juga ada  beberapa individu dikaitkan dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta.

Justeru SPRM  masuk menyiasat. Kita biarkan SPRM menjalankan tugas. 

Sementara menunggu hasil siasat SPRM kita juga wajib terus meneliti dan mengikuti  perkembangan Dara Amoi dan Kelat dari jauh.

Dapatan kaji selidik pakar   biologi pemuliharaan dan perunding alam sekitar William Keith Lindsay  yang baru  di keluarkan  pada  21 Mei 2026  menunjukkan bahawa   Zoo Tennoji ini tidak sesuai untuk menjadi rumah baru untuk Dara Amoi dan Kelat. 

Ada banyak dapatan kajian dari pakar biologi dari Oxford ini.  Wajib di garis merahkan bahawa Zoo Tennoji ini adalah tempat Arwah Hiroko meninggal dunia pada tahun 2018.  Justeru kita sebagai warga wajib  terus menuntut agar Dara, Amoi dan Kelat di bawa pulang dengan segera.

Apa lagi dapatan kajian itu ? Sila tunggu minggu hadapan, Amin. (TT)



TULISAN INI
DISIARKA JUGA 
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/778742











Tiada ulasan:

Catat Ulasan