SEBELUM KENA
TERAJANG
IKAT KERUSI
LEBIH AWAL
KAH KAH KAH
LANGAK BIJAK
UNTUK TERUS
BERKUASA
AMIN
Zarinna pertahan umum diri calon Lenggeng sebelum pengumuman rasmi PH
Ketua Wanita PH Negeri Sembilan, Zarinna Abu Zarin mempertahankan tindakannya mengumumkan diri sebagai calon bagi kerusi DUN Lenggeng sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh pimpinan tertinggi gabungan itu.
Zarinna yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Negeri Sembilan berkata, perkara itu dibuat selepas dia menerima amanah daripada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk memulakan gerak kerja akar umbi lebih awal.
“DUN Lenggeng kita nak buat pengesahanlah. Kalau di peringkat negeri, memang kita sudah tahu lebih awal calon-calon yang akan bertanding nanti.
“Daripada sembilan DUN yang kita akan bertanding, cuma DUN Paroi sahaja yang kita belum tahu siapa calon kerana masih belum dimuktamadkan.
“Itu asas ceritanya. DUN-DUN lain pun mereka keluarkan kenyataan masing-masing sebagai calon di kawasan tersebut.
“Maksudnya, calon yang bertanding di lapan kerusi DUN itu sudah diumumkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Zarinna berkata demikian ketika mengulas mengenai klip video yang tular di media sosial sebelum ini yang memaparkan dia memperkenalkan diri sebagai calon DUN Lenggeng, sedangkan PH masih belum membuat pengumuman rasmi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sebelum ini, klip video berkenaan tular di Threads selepas dimuat naik oleh pengguna media sosial @itssyedmuhamad.
Hantaran itu mempersoalkan tindakan Zarinna mengumumkan pencalonannya lebih awal, selain mendakwa perkara tersebut menunjukkan wujud masalah dalam gabungan berkenaan.
Video itu turut disertakan kapsyen: “Pengumuman calon belum, pilihan raya pun belum, tiba-tiba jadi YB”.
Mengulas lanjut, Zarinna berkata kenyataannya yang tular di media sosial perlu dilihat dalam konteks penuh kerana status pencalonannya telah diketahui di peringkat parti negeri.
Bagaimanapun, dia memaklumkan pengumuman rasmi calon PH akan dibuat pada 14 Julai.
Ditanya sama ada dia telah mendapat restu pimpinan pusat untuk mengumumkan pencalonannya lebih awal, Zarinna tidak memberikan jawapan secara terus.
"Nak kata pusat dah restu itu... kalau negeri memang kita dah pastikan calon-calon ini.
"...Pada 14 Julai nanti kita ada majlis pengumuman calon," katanya.
‘DUN Lenggeng kepunyaan Amanah’
Menurut Zarinna, gerak kerja awal di DUN Lenggeng perlu dilakukan kerana Amanah perlu menyatukan semula penyokong selepas kerusi berkenaan diserahkan kepada BN pada PRN 2023 sebagai sebahagian daripada persefahaman dalam kerajaan perpaduan.
"DUN Lenggeng ini dulu kepunyaan Amanah tetapi pada 2023 kita serahkan kepada BN.
"Ramailah ahli kita yang merajuk, ada yang masuk PKR, ada yang masuk DAP. Tugasan pujuk memujuk itu perlu dilakukan dari awal.
"Takkanlah dua atau tiga hari sebelum pengumuman baru nak tahu siapa calon. Gerak kerja awal itu perlu dilakukan," katanya.
Dia bagaimanapun mengakui perubahan calon masih boleh berlaku pada saat akhir, namun menegaskan setakat ini hanya kerusi DUN Paroi yang belum dimuktamadkan oleh Amanah.
"Perubahan calon, wallahualam. Tapi setakat ini untuk Amanah hanya DUN Paroi belum diputuskan," katanya.
Zarinna turut berkata sekiranya pencalonannya disahkan, dia akan menjadi calon wanita pertama bertanding di DUN Lenggeng sejak negara mencapai kemerdekaan.
Kerusi DUN Lenggeng dijangka menjadi antara kawasan tumpuan pada PRN Negeri Sembilan apabila sekurang-kurangnya empat parti menyatakan hasrat untuk bertanding di situ.
Kerusi itu kini disandang BN menerusi Mohd Asna Amin yang memenanginya pada PRN 2023 dengan majoriti 685 undi.
Sebelum itu, Lenggeng dimenangi Amanah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebelum parti itu memberi laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRN 2023 sebagai sebahagian daripada kerjasama kerajaan perpaduan.
Selain BN dan Amanah, PAS serta Berjasa turut menyatakan kesediaan untuk meletakkan calon di DUN berkenaan.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Lenggeng mempunyai 28,880 pengundi berdasarkan daftar pemilih terkini setakat 4 Jun.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan