Selasa, 28 Julai 2026

PENDATANG DAN PENDATANG HARAM



PENDATANG

DAN

PENDATANG HARAM



Perkataan pendatang ini jika ianya berdiri sendiri  tidak dianggap mengancam.  Awal wahid  perkataan pendatang ini  hanya memberi makna sosok  yang  baru sampai dari mukim, kariah dan daerah yang lain.  

Sosok baru ini berhijrah dan  mungkin menetap di wilayah baru ini kerana  mencari makan atau berkahwin. 

Tapi di Negeri Sembilan jangan tersilap dengan  konsep Orang  Semenda. Konsep ini membawa makna sosok lelaki dari daerah atau kampung luar yang datang bernikah dengan gadis wanita tempatan.  

Sosok Orang Semenda tidak pernah di anggap atau  di takrif sebagai pendatang walau dari ceruk mana pun asal usulnya.

Hakikatnya Si Pendatang  berhijrah  ke tempat yang  bukan tanah tumpah darah  asal usul atau tempat nenek moyang mereka.   

Kampung saya ialah Kampung Chenor  di Jelebu. Kampung ini di buka oleh Datuk saya ratusan tahun dahulu.  Bila  ada  pendatang  dari  Kampung Chennah atau Kampung Ulu Jelebu  duduk di kampung kami  -  mereka ini di tafsir sebagai pendatang walau pun dari daerah Jelebu yang sama.

Jika mereka dari Tampin atau Bahau atau Batu Kikir – datang tinggal di daerah Jelebu  mereka juga di anggap dianggap pendatang.

Hari ini kita terbaca berita yang memperlihatkan  wujudiah para pendatang ini sebagai mengancam.

Jika ada pendatang dari Pulau Jawa, dari Acheh, atau  dari   Medan  atau dari Jambi -  mereka  akan  di anggap pendatang. Tapi tidak dianggap mengancam. 

Mereka datang ke tempat daerah baru ini sebagai perantau  mencari rezeki. Lama kelamaan mereka menjadi sebati dan di anggap anak watan walau pun susur galur asal usul dari wilayah yang lain.

Apa yang menyebabkan  pendatang dari Tampin, Jawa , Medan atau Acheh ini tidak di anggap mengancam?

Ini  kerana  mereka  semua dari satu suku bangsa yang di panggil Melayu. Lama kelamaan mereka akan sebati dengan budaya tempatan. Malah asal usul mereka – keMelayuan mereka – memberi jaminan bahawa mereka  akan berasimilasi  dan menjadi  seperti anak watan.

Pendatang dari Pulau Jawa, dari Acheh  atau  dari Minang jelas di kenali Kejawaan, Keminangan atau Keachehan mereka. Mereka semuanya diterima dengan hati terbuka. Ini  kerana mereka  berasal  dari rumpun yang sama. Semua berasal usul dari Bani Melayu.

Mereka pada awalnya di kenali sebagai Pendatang  Orang  Luar  yang lama kelamaan menjadi Pendatang  Orang Kita.

Sebenarnya konsep sempadan, negara , pasport dan ke rakyataan warga negara ini  semuanya  perkara dan konsep baru. Konsep dan istilah ini  wujud pasca kolonial.   Definisi   kewarganegaraan  moden ini  di wujudkan oleh kuasa kolonial.

Penjajah mewujudkan semua konsep ini untuk menjarah  dan mentadbir. 

Bumi Melayu Nusantara ini di pecah perintah  demi  memudahkan pemunggahan  harta kekayaan untuk kuasa kolonial.  

Bumi Melayu Nusantara  - Jawa dan Sumatera terpisah pada tahun 1824 melalui Anglo-Dutch Treaty atau Treaty of London.  Kemudian  4 wilayah Melayu di Utara Semenanjung  - Yala, Patani, Satun dan Narathiwat di pisahkan  dari Semenanjung  Tanah Melayu melalui Anglo-Siamese Treaty 1909.

Hakikatnya Nusantara Melayu Raya – di pecah untuk mudah di perintah oleh kuasa kolonial.

Kuasa hegemon pada era kolonial ialah Inggeris yang bersaing dengan Belanda dan Perancis.  Justeru apa yang di kenali sebagai Indonesia jatuh ke bawah  kuasa Belanda. Manakala Laos. Vietnam dan Kemboja  di bawah takluk Peranchis. 

Siam menjadi negara  pemisah yang tidak menemukan Inggeris dengan Peranchis. Ini sama seperti peranan Belgium di Eropah tidak menemukan  German dengan Peranchis dalam  garis sempadan yang sama.
Untuk memastikan harta kekayaan Tanah Melayuu dapat di maksimumkan  kuasa kolonial Inggeris  telah membawa masuk buruh dan kuli dari  India dan China.


Jelas warga  India dan China ini adalah pendatang. Mereka tidak memiliki apa-apa pertalian dengan Melayu atau Nusantara.

Kuasa kolonial Inggeris yang membawa datang China  dan India  secara licik telah mengubah nama bumi ini dari Tanah Melayu menjadi Malaya. Ini untuk  memastikan bumi ini bukan lagi Tanah Melayu khusus milik Bani Melayu.

Bila projek Malaysia  menetas  dari dalam reban Inggeris maka  Malaya  diubah menjadi Malaysia.  Malaya dan Malaysia ini tidak memiliki apa apa makna hakiki seperti  Tanah Melayu.

Mengubah nama Tanah Melayu – tanah milik Melayu ini -  kepada Malaya atau Malaysia sama seperti mengubah nama Scotland – Tanah milik  Scot – kepada Wungland.  Atau mengubah  nama Finland – Tanah  milik Finn  kepada Dungland.  Nama baru yang tidak memiliki apa-apa makna  persejarahan. 

Maka dari persejarahan mengubah nama Tanah Melayu ini  muncul konsep Malaysian Malaysia yang diajukan bukan oleh anak  watan tetapi oleh Pendatang. 

Konsep Malaysian Malaysia ini  bertujuan jelas untuk mencairkan  semangat ,  darah dan kesedaran Melayu sebagai  pemilik asal Tanah Melayu.

Saya menimbulkan isu pendatang ini kerana di kebelakangan ini hampir setiap hari media kita ada membuat laporan tentang pendatang dan PATI . Ada serbuan dan  tangkapan terhadap pendatang dan PATI. Ada operasi menangkap dan memeriksa status pendatang. 

Dulu kita gunakan konsep Pendatang Haram untuk mereka yang menyeludup masuk ke Malaysia. Kini dilunakkan dengan perkataan PATI. Ini singkatan Pendatang Tanpa Izin. Hakikatnya sama – mereka adalah  pendatang haram  atau dalam bahasa Inggeris  di panggil illegal immigrants.

Akhir-akhir ini kita selalu membaca tentang  pendatang haram Rohingya. Mereka di buru di sana sini.   Kita juga terbaca bagaimana kapal Rohingya yang mahu mendarat di Acheh telah di halau keluar kembali  ke Lautan Hindi.  

Kita juga di beri tahu oleh media bahawa di Semenanjung ini telah ada lebih dari 300 ribu pendatang Rohingya.

Ketika PDRM  dan JIM  Jabatan Imigresen -  menjalan operasi kita terbaca juga ada  warga  Bangla, Myanmar, India dan  warga Indon yang termasuk ke dalam jala yang sama.

Kita di Malaysia ini masih belum reda dengan isu pendatang dari India da China walau pun mereka telah di baca dan di takrif sebagai rakyat Malaysia. 

Warga India dan China   telah datang berpuluh tahun dan berjenerasi  ke Tanah Melayu  masih dilihat oleh Bani Melayu sebagai pembawa  masalah. Isu China , Melayu dan India ini  belum di lihat mengenap dan reda. 

Mei 13 atau 13 Mei itu masih lagi tarikh keramat untuk Bani Melayu.  Kiyai Salleh dan Selempang  Merah di Muar terus menjadi rujukan Bani Melayu. Kini masuk pula pendatang Rohingya, Bangla Myanmar ke dalam badan politik Tanah Melayu.

Sebenarnya isu pendatang ini bukan...saya ulang.. bukan hanya melanda Malaysia. 

Di Amerika Presiden Trump sedang berhadapan dengan pendatang haram dari pelbagai pelusuk dunia. Di United Kingdom isu pendatang ini  sedang hangat di bincang. Malah masalah pendatang haram ini sedang menjadi agenda politik numero uno di Eropah.

Di German pendatang  dan pendatang haram kini menjadi isu perbualan nasional.  Hampir semua negara  Kesatuan Eropah – Peranchis, Itali, Ireland, Belgium dan Belanda sedang berhadapan dengan masalah pendatang dan pendatang haram.

Malah di Afrika Selatan  gerakan menghalau pendatang haram dari Ghana, Nigeria atau Kenya  sedang berjalan.  Rumah dan tempat kediaman pendatang  bakar. Pendatang – walau pun berkulit sama  hitam – masih di lihat sebagai pembawa masalah.

Jika di Berlin  atau di Rom  atau di   Paris  pendatang haram berkulit hitam. Jelas berbeza dari anak watan yang berkulit putih.  Kulit hitam  ini boleh di tafsir membawa  takut. Tetapi di   Pretoria , di Johannesburg  atau di Cape Town – yang di gasak juga berkulit hitam.

Hakikatnya  masalah pendatang dan pendatang haram ini  bukan hanya warga kulit.  Hakikatnya bukan kita di Malaysia  saja berhadapan dengan pendatang dan pendatang haram. Hampir seluruh dunia sedang berhadapan dengan masalah ini.

Apakah ada jalan  selesai? Sebelum kita mencari jalan penyelesaian  kita wajib memahami secara dalam dan tuntas tentang pendatang dan pendatang haram.   Sila tunggu minggu hadapan. Amin (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/780537









Tiada ulasan:

Catat Ulasan