Rabu, 1 Julai 2026

TERAM HANYA BERANI BERCAKAP


TERAM CAKAP

NAK SERANG

KAH KAH KAH

SERANGLAH 

KALAU BERANI

AMIN

EKONOMI DUNIA

SUKA HATI

KHALAS

Iran tolak pertemuan terus dengan utusan AS


DOHA: Iran menegaskan tidak akan mengadakan pertemuan dengan utusan tertinggi Amerika Syarikat (AS) yang tiba di rantau itu susulan tercetusnya konflik, sekali gus menjejaskan prospek mencapai keamanan berkekalan antara kedua-dua negara.

Pegawai Iran pada Selasa berkata, kedua-dua pihak masih perlu menyelesaikan syarat pelaksanaan gencatan senjata yang dimeterai dua minggu lalu sebelum membincangkan isu lebih rumit termasuk kemungkinan mengehadkan program nuklear negara itu.

Perkembangan itu menunjukkan kedua-dua pihak masih berbeza pendirian mengenai perkara utama dalam rangka kerja awal yang menggariskan Iran akan menarik balik sekatan ke atas Selat Hormuz.

Penarikan itu sebagai pertukaran kepada insentif kewangan, selain menetapkan tempoh rundingan selama 60 hari bagi memuktamadkan perjanjian damai berkenaan.

Menantu Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner, bersama utusan khas AS, Steve Witkoff tiba di Doha bagi menghadiri apa yang disifatkan Rumah Putih sebagai rundingan peringkat tinggi.

Bagaimanapun Iran dan tuan rumah Qatar memaklumkan mereka hanya akan bertemu dengan pihak pengantara dan bukannya wakil Iran secara langsung.

Qatar berkata, Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, antara yang mengadakan pertemuan dengan Witkoff dan Kushner.

"Tiada sebarang pertemuan dengan pihak AS dijadualkan dalam beberapa hari akan datang," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari pula berkata, kedua-dua negara dijangka memulakan rundingan teknikal di peringkat lebih rendah.

Dalam usaha memecahkan kebuntuan, Trump dilapor mempertimbangkan kemungkinan melancarkan semula serangan ketenteraan berskala besar selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, mengenai kemungkinan melaksanakan lebih banyak serangan.

Laporan itu disiarkan Wall Street Journal yang memetik sumber AS yang mengetahui perbincangan berkenaan, namun Reuters tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan.

Buat masa ini, Trump yang sebelum ini mengancam akan melancarkan lebih banyak serangan ke atas Iran, dilaporkan memilih untuk memberi lebih ruang kepada usaha diplomatik.

Sementara itu, aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz mula kembali beroperasi sebahagiannya.

Sebelum perang tercetus pada 28 Februari lalu, laluan strategik itu mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.

Bagaimanapun, pegawai Iran menegaskan negara itu mempunyai hak untuk menguruskan trafik perkapalan bersama sekutu AS yang terletak di seberang selat berkenaan, Oman selain bercadang mengenakan bayaran tol mulai pertengahan Ogos apabila tempoh rundingan 60 hari berakhir.

"Kedaulatan Selat Hormuz terletak di tangan Iran dan Oman dan pergerakan kapal di selat itu tertakluk kepada aturan yang ditetapkan Iran," kata ketua perunding Iran, Mohammed Baqer Qalibaf, menerusi saluran televisyen negara.

Naib Presiden AS, JD Vance, bagaimanapun menegaskan bahawa Iran tidak dibenarkan mengenakan bayaran tol ke atas laluan perairan antarabangsa itu.

Vance dalam wawancara bersama The Michael Knowles Show yang disiarkan pada Selasa, berkata, keadaan ini tidak akan berakhir dengan Iran mengutip tol daripada kapal yang melalui Selat Hormuz.

Vance turut mendakwa aliran penghantaran minyak melalui Selat Hormuz kembali ke paras sebelum perang, malah melebihi paras itu pada beberapa hari tertentu, tanpa mengemukakan sebarang data.

Meskipun ketidaktentuan masih berterusan, harga minyak dunia terus menurun sejak hujung minggu lalu selepas AS mengebom beberapa kemudahan ketenteraan Iran sebagai tindak balas terhadap serangan dron ke atas kapal dagang, manakala Iran pula menyerang pangkalan tentera AS di Kuwait dan Bahrain.

Agensi Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) memberi amaran bahawa ekonomi yang lebih rapuh masih berdepan risiko kenaikan harga makanan dan bahan api walaupun pasaran tenaga mula menunjukkan tanda pemulihan.

Konflik itu turut menyumbang kepada peningkatan inflasi global serta memberi tekanan politik kepada Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS pada November depan.

Trump dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, kini menggesa peruncit petrol menurunkan harga bahan api.

Perjanjian sementara antara AS dan Iran turut merangkumi usaha menamatkan konflik antara Israel dengan kumpulan bersenjata Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan.

Namun, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, yang juga sekutu Hizbullah, mempersoalkan rangka kerja berasingan yang diusahakan AS antara Lubnan dan Israel bagi menamatkan konflik.

Penganalisis berpandangan perjanjian itu berisiko mengekalkan kebuntuan kerana mengaitkan pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan dengan proses pelucutan senjata Hizbullah. - REUTERS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan