Selasa, 25 Ogos 2026

HARGA MINYAK NAIK


HARGA MINYAK

MENTAH NAIK

AMIN

SOALAN: APAKAH

PETRONAS BANYAK

BUAT DUIT?

AMIN

APAKAH DUIT INI

HANYA

DI GUNA UNTUK

SUBSIDI MINYAK?

KHALAS


Harga minyak uji paras AS$100 setong jika krisis Asia Barat memuncak lagi


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah berpotensi menguji paras psikologi AS$100 setong sekiranya ketegangan di Asia Barat kembali memuncak, meskipun unjuran asas harga minyak bagi 2026 kekal pada paras AS$95 setong, demikian menurut penganalisis.

Kehadiran kapal pengangkut pesawat, USS George Washington di Asia Barat yang menggantikan USS Abraham Lincoln meningkatkan risiko ketegangan di rantau itu, memandangkan kapal berkenaan hadir dengan sayap udara baharu, bekalan peluru penuh dan kru yang lebih bersedia.

BIMB Securities Research berkata, perkembangan terbaharu itu meningkatkan risiko berlakunya semula konflik bersenjata berikutan tamatnya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, berpotensi mengganggu laluan penghantaran minyak utama memandangkan Selat Hormuz kekal menjadi saluran utama yang menghubungkan perkembangan konflik Asia Barat dengan harga minyak dunia.

Menurutnya, sebarang peningkatan serangan dijangka menjejaskan pergerakan kapal tangki, termasuk penghantaran secara rahsia atau 'dark crossings' yang menggunakan kapal tanpa isyarat sistem pengenalan automatik (AIS).

Namun, pihaknya tidak menjangkakan keadaan itu berpanjangan memandangkan tekanan logistik yang sebelum ini menjejaskan USS Abraham Lincoln masih dijangka menjadi cabaran kepada kapal pengganti untuk mengekalkan operasi ketenteraan berintensiti tinggi bagi tempoh panjang.

Selain itu, katanya, AS mempunyai kepentingan politik untuk meredakan ketegangan di Asia Barat menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

"Justeru, peningkatan aktiviti ketenteraan dalam tempoh terdekat berkemungkinan menjadi tekanan sementara untuk membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

"Kami mengekalkan unjuran harga minyak mentah sebanyak AS$95 setong untuk 2026 serta rangka kerja senario kami memandangkan kami menjangkakan potensi peningkatan harga akan datang tidak akan berpanjangan.

"Walau bagaimanapun, kami melihat minyak menguji paras psikologi AS$100 setong sekiranya berlaku sebarang ketegangan (baharu)," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, BIMB Securities Research berkata, sekiranya ketegangan meningkat dan harga minyak melonjak, saham syarikat yang mempunyai kepekaan tinggi terhadap harga minyak dijangka mendapat manfaat.

Menurutnya, saham berkaitan minyak dan gas seperti Hengyuan Refining Company Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd sebagai antara saham yang mempunyai kepekaan tinggi terhadap pergerakan harga minyak.

Bagaimanapun, ia menyarankan pelabur supaya mengambil keuntungan dengan pantas sekiranya harga minyak melonjak kerana pandangan asas masih menjangkakan konflik yang berlaku hanya untuk tempoh terhad.

Namun, katanya, sekiranya ketegangan kembali reda dan harga minyak menurun, saham syarikat berkaitan penerbangan dilihat antara saham yang berpotensi mendapat manfaat daripada kos bahan api lebih rendah.

Harga minyak hari ini susut lebih daripada AS$1 setong apabila pelabur mengambil keuntungan menjelang pengumuman Washington yang dijangka mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Iran, berpotensi menjejaskan lagi bekalan dari Asia Barat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$1.49 atau 1.6 peratus kepada AS$92.90 setong pada 0649 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$85.32 setong, turun AS$1.74 atau dua peratus.

Kedua-dua kontrak mencatatkan kenaikan mingguan untuk minggu kedua berturut-turut minggu lalu, masing-masing meningkat lebih daripada lima peratus, susulan rundingan damai antara AS dan Iran menemui jalan buntu, sekali gus mengehadkan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, laluan yang sebelum ini menjadi transit bagi satu perlima bekalan minyak dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan