Selasa, 13 Oktober 2026

BERITA BAIK UNTUK SEMUA

 

BERITA BAIK

UNTUK SEMUA

AMIN

LANGKAH MASA

DEPAN AGAR TAK

TERBAKAR LAGI

AMIN



Sebahagian besar kebakaran hutan, tanah di Indonesia berjaya dikawal


JAKARTA: Indonesia berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah, dengan hanya 639.23 hektar masih memerlukan tindakan lanjut daripada hampir 130,000 hektar kawasan yang terjejas.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata keluasan kawasan yang masih memerlukan operasi pemadaman kini menurun kepada kurang 1,000 hektar, hasil usaha pemadaman yang menyeluruh meskipun berdepan pelbagai cabaran di lapangan.

"Saya fikir tanpa campur tangan secara besar-besaran, kita tidak mungkin dapat menangani keadaan ini, terutama ketika kita bersiap sedia melaksanakan langkah mitigasi pada masa depan," katanya dalam rakaman video yang dikeluarkan Sekretariat Presiden, hari ini.

Data yang dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada mesyuarat Kabinet terhad yang dipengerusikan Prabowo, semalam, menunjukkan operasi pemadaman telah selesai meliputi kawasan seluas 129,260.36 hektar, manakala baki 639.23 hektar masih memerlukan perhatian.

Menteri-menteri Luar ASEAN bincang usaha tangani jerebu rentas sempadan pada mesyuarat November

MANILA: Menteri-menteri Luar Asia Tenggara akan membincangkan usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan yang sedang menyelubungi sebahagian rantau ini.

Pengerusi ASEAN, Filipina, hari ini memaklumkan bahawa mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada bulan depan.

"Perkara itu berada dalam agenda," kata jurucakap Kementerian Luar Filipina, Dominic Xavier Imperial, merujuk kepada persiapan berkait Mesyuarat Menteri-menteri Luar pada November depan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN.

Kebakaran hutan dan tanah yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan di Indonesia turut mencetuskan masalah jerebu di Singapura serta Malaysia sehingga menyebabkan sekolah di sebilangan kawasan terpaksa ditutup sementara akibat kualiti udara tidak sihat.

Kebakaran hutan dan tanah berkenaan dilaporkan sebagai yang paling buruk di Indonesia dalam tempoh 11 tahun.

Jerebu: Pembenihan awan di Johor hari ini

JOHOR BAHRU: Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di sekitar Johor Bahru, hari ini bagi membantu menghasilkan hujan dan mengurangkan kesan jerebu yang dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata operasi itu dilaksanakan selepas keadaan jerebu di Johor memenuhi prosedur ditetapkan, selain keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk proses pembenihan awan.

Beliau berkata, Johor pada asalnya tidak termasuk dalam perancangan OPA minggu ini yang memberi tumpuan kepada kawasan utara Semenanjung, namun operasi berkenaan dilaksanakan susulan keadaan jerebu semasa.

"Berdasarkan prosedur berkaitan jerebu, OPA boleh dilaksanakan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, tertakluk kepada keadaan cuaca bersesuaian," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan