Isnin, 12 Oktober 2026

TAUFAN AL-AQSA 3 TAHUN KEMUDIAN

   

 TAUFAN AL-AQSA

3 TAHUN KEMUDIAN




Tiga tahun dulu : Subuh  Sabtu 7 Oktober 2023  Pasukan Brigade Qassam bersama beberapa lagi kumpul gerila Palestin  telah berjaya menyerang Israel. Brigade Qassam ini adalah induk pasukan Pertahanan Gaza di bawah pimpinan   Hamas. 

Briged Al-Qassam Hamas tidak bertindak bersendirian semasa serangan pada 7 Oktober 2023. Mereka menyelaraskan dan mengetuai satu gabungan di bawah satu kumpulan payung yang dikenali sebagai Bilik Operasi Bersama Palestin.

Menurut siasatan oleh BBC , sekurang-kurangnya lima lagi kumpulan bersenjata utama Palestin turut serta secara aktif dalam Operasi Taufan Al-Aqsa.

Ini termasuk : Islamik Jihad, Mujahidin Palestin dan  Brigade Al-Nasser. Dua lagi  dari kumpulan gerila parti politik bergaris kiri : Brigade Abu Mustafa dari Popular Front (PFLP ) dan Brigade Omar Al-Qasim dari Demokratik Popular Front.

Saya tidak perlu menghuraikan apakah yang sedang  berlaku di Gaza , di Tebing Barat dan wilayah yang dipanggil Israel.  Saya yakin warga Malaysia sedikit sebanyak  ada memiliki maklumat tentang perjuangan rakyat Palestin untuk mengambil kembali  tanah air mereka yang telah di jajah oleh  Zionis Israel.

Apa yang wajib saya terangkan disini ialah : Perjuangan Palestin ini bukan saya ulangi lagi  BUKAN perjuangan agama.  

Betul lagi sahih Majid Al-Aqsa – Kiblat pertama umat Islam berada di Palestin. Nabi Isa juga lahir dari  wafat di Palestin.
Malah tiga agama besar  dunia – Yahudi, Kristian dan Islam -  mengakui  di Palestin sebagai wilayah suci mereka.

Dalam takrifan politik hari ini perjuangan Palestin ialah perjuangan menentang penjajahan. Inilah laungan pembebasan yang di suarakan oleh para pejuang dan para Syuhada  Palestin.

Laungan ini sama seperti suara  Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan Chin Peng yang  mengangkat senjata melawan Inggeris  pada tahun-tahun 50’an dulu.

Ini sama seperti perjuangan Bung Karno, Tan Malaka dan  Bung Hatta melawan Belanda ditahun-tahun 40’an dulu. Mereka bangun dengan buluh runcing dan senjata untuk membebaskan Indonesia dari penjajahan Belanda.

Selesai Perang Dunia Ke Dua Belanda  diundurkan dari Indonesia pada tahun 1947. Inggeris diundurkan dari Tanah Melayu pada tahun 1957. 

Palestin di bawah jajahan Inggeris - tetapi bila Inggeris  undur  bumi Palestin  di berikan kepada Zionis Israel atas alasan  kaum  Yahudi  memerlukan tanah air satelah menjadi  mangsa  genosid di German dan Eropah.

Semenjak hari Nakba 15 Mei 1948  bumi Palestin tidak pernah aman. Semenjak Zionis Yahudi dan Israel wujud -  bumi Arab tidak pernah aman. Semenjak Israel  di wujudkan - Timur Tengah terus menjadi wilayah perang. 

Perang Gaza hari ini dan Perang Iran hari ini adalah sambungan dari kewujudan  entiti Zionis Israel pada 15 Mei 1948.

Zionis Israel bukan hanya musuh Palestin. Zionis Israel bukan hanya musuh Arab. Zionis Israel ialah musuh umat manusia.

Malah Zionis Israel sendiri adalah musuh kepada  kaum Yahudi  sendiri.

Justeru Taufan Al – Aqsa adalah sambungan dari peperangan pembebasan  yang berterusan di Palestin dan di Timur Tengah.

Mengikut kajian rambang warga Palestin  berjumlah lebih kurang dari  7 juta orang.  Seramai 2.2  juta tinggal di Gaza. Seramai 2.08 juta tinggal dalam Israel. Seramai 3.5 juta tinggal di  di Tebing Barat.

Semenjak subuh Sabtu 7 Oktober 2023 – laporan resmi dari Hamas menunjukkan seramai lebih dari  81.400 orang terkorban di Gaza. Ini termasuk kematian akibat pertempuran langsung dan pengeboman.

Dalam masa yang sama  ribuan  hilang atau disyaki tertimbus di bawah runtuhan, serta ratusan kematian akibat kebuluran yang direkodkan.

Hari ini gambar yang kita lihat dari media arus perdana dan media sosial kelihatan amat jelas Gaza sudah menjadi padang jarak padang Terkukur. Bangunan runtuh rantah.

Sekali pandang tiga tahun ini adalah tiga tahun kemusnahan dan kematian. Betul. Saya akui ini berlaku. Tapi ini melihat dari   mata kasar apa yang telah  berlaku di Gaza semenjak subuh Sabtu 7 Oktober 2023.

Mata kasar melihat bangunan runtuh, melihat mayat bergelimpang, kanak-kanak luka cedera, ibu meraung kehilangan  anak, ayah menangis kehilangan keluarga. Kanak-kanak berebut-rebut berkerumun menanti  makanan.

Kita melihat imej soldadu Zionis Israel – bersenjata lengkap dengan kereta kebal dan bom tangan. Senjata di badan senjata di gusi. Siap sedia  untuk membunuh apa sahaja yang bergerak di Gaza termasuk kucing dan anjing peliharaan.

Kita di beritahu oleh lembaga NGO Human Right Watch,  Amnesty Internasional  dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa bahawa pada 7 Oktober itu seramai 1, 195 telah terkorban. 

Malah pecahan sapa terkorban pun kita di beri tahu : Seramai 736 warga Israel.  Seramai 38 kanak-kanak.  Seramai 380 soldadu Israel dan 79 warga asing menjadi korban. 

Hamas dituduh melakukan  Jenayah Perang.

Hingga ke hari ini – 3 tahun kemudian – dunia tidak diberi tahu yang terkorban ini di tembak, dibunuh dan di bom oleh  siapa?

Tetapi dunia tahu bahawa soldadu  Zionis Israel wajib  akur dengan apa yang di kenali sebagai Hannibal  Directive – atau  Arahan Hannibal.

Apa dia Arahan Hannibal ini ?

Arahan Hannibal ini untuk mengelakkan soldadu Israel atau warga Israel di tangkap dan di jadikan orang tawanan untuk tebusan.

 Diperkenalkan pada tahun 1986 susulan penculikan soldadu Israel di Lebanon yang berakhir dengan pertukaran tahanan berprofil tinggi.

Prinsip Utama: Penculikan itu mesti dihentikan dengan apa jua cara, walaupun dengan risiko menyerang dan mencederakan pasukan sendiri.  Ertinya bunuh soldadu sendiri atau warga sendiri asalkan jangan mereka  jadi tawanan.

Ini bermakna ramai soldadu Israel dan warga Israel yang terkorban pada 7 Oktober 2023 di tembak di bom oleh  tentera Israel sendiri.

Semasa serangan pada 7 Oktober 2023, Hamas dan kumpulan militan Palestin yang lain telah menculik 251 orang tebusan dari Israel dan membawa mereka ke Semenanjung Gaza.

Jumlah ini merangkumi golongan lelaki, wanita, kanak-kanak, warga emas, dan warga asing. Nasib kesemua tebusan telah pun diketahui, dengan mayat tebusan terakhir ditemui dan dipulangkan ke Israel pada Januari 2026.

Tiga tahun kemudian Arahan Hannibal masih cuba di jadikan rahsia oleh Zionis Israel.  

Tertiba  pada 8 September 2026 meledak satu berita yang memeranjat Israel.  Akhbar Israel, Haaretz, merupakan pihak pertama yang mendedahkan bahawa Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, telah menghubungi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara peribadi kira-kira 10 hari sebelum 7 Oktober bagi memberi amaran kepadanya mengenai satu operasi besar Hamas.

Tidak cukup dengan ini rupa-rupanya Netanyahu sudah diberi tahu rancangan Hamas ini oleh Abbas  Kamal Ketua Risikan Mesir. Berita ini telah di lapor oleh portal The Atlantic pada 25 September 2026.

Pada 28 September 2026  The Wall Street Journal juga telah menulis panjang lebar tentang maklumat rahsia dari Mesir ini.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut. Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai "pembohongan mutlak". Dia  menyatakan bahawa tidak   bercakap atau bertemu dengan pemimpin-pemimpin berkenaan dalam tempoh tersebut.

Dia tidak menerima sebarang amaran sedemikian dari UAE atau dari Mesir.

Malah Netanyahu  mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan dan penerbitan yang terlibat.

Putar belit Netanyahu ini tidak tamat disini saja. Pada 29 September 2026 agensi media AFP dan AP  melaporkan Netanyahu telah  melakukan lawatan rahsia ke Abu Dhabi. Pada hari Ahad, 27 September 2026 Netanyahu bertemu dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. 

Awalnya  Israel menafikan. Akhirnya berita ini disahkan oleh kedua-dua kerajaan. 

Tapi Netanyahu menafikan dakwaan dia meminta  Sheikh Mohamed  menafikan laporan yang menyatakan   Sheikh Mohamed telah memberi amaran kepada Israel mengenai serangan Hamas yang bakal berlaku pada tahun 2023.

Tiga tahun sesudah 7 Oktober 2023 bukan ini sahaja yang sedang berlaku.  Pada 27 Oktober ini akan berjalan Pilihan Raya Umum di Israel.  Ketika ini  Netanyahu sedang berhadapan dengan krisis peribadi yang hebat. 

Jika dia menang dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi – semua kosher dan cantik. Tetapi jika dia kalah maka Netanyahu akan dihadapkan ke mahkamah.

Netanyahu berhadapan kes rasuah yang ditangguhkan. Bulan Oktober ini  kes ini akan disambung kembali. 

Sama ada Netanyahu menang atau kalah ini bukan persoalan utama.  Persoalan hakiki hari ini ialah : Apakah Zionis Israel  akan selamat pasca Netanyahu dan pasca Trump.

Ini kerana sesudah 7 Oktober 2023 – tiga tahun dahulu - telah berlaku satu anjakan politik terhadap Zionis Israel  di Amerika dan diseluruh dunia. Apa anjakan itu? Sila tunggu sambungan minggu depan. Amin (TT)


TULISAN INI DSIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/886727-kolum-tiga-tahun-sesudah-taufan-al-aqsa

























1 ulasan: