WASHINGTON: Perjanjian sementara yang dicapai Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang dengan Iran menerima kritikan hebat daripada beberapa anggota Parti Republikan sendiri apabila salinan perjanjian yang ditandatangani mula diedarkan di Capitol Hill hari ini.
Seorang senator Republikan menyifatkan kerangka perjanjian yang diumumkan minggu ini sebagai "kesilapan dasar luar paling buruk dalam beberapa dekad", manakala seorang lagi berkata beberapa peruntukan yang dilaporkan kelihatan "tidak bijak".
Beberapa pengulas konservatif yang lazimnya menyokong Trump turut mengkritik perjanjian itu.
Kritikan berkenaan merupakan teguran yang jarang berlaku daripada ahli-ahli Republikan yang selama ini kebanyakannya memberikan sokongan penuh kepada Trump.
Namun, mereka semakin bimbang apabila kesan ekonomi konflik Iran menjejaskan peluang parti itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November yang akan menentukan penguasaan Kongres.
Parti Demokrat, yang berusaha merampas semula kawalan satu atau kedua-dua dewan Kongres, turut mengkritik perjanjian berkenaan.
Rumah Putih menghantar teks Memorandum Persefahaman (MOU) AS-Iran kepada anggota Kongres pada Khamis, sehari selepas Trump menandatangani perjanjian awal untuk menamatkan perang.
Dokumen yang dilihat Reuters itu sepadan dengan kandungan yang dibacakan oleh seorang pegawai AS pada Rabu.
Ahli-ahli Kongres daripada kedua-dua parti berkata, mereka mahukan lebih banyak maklumat daripada Rumah Putih.
Menjelang Khamis, pembantu kongres memaklumkan bahawa tiada taklimat diberikan kepada Kongres mengenai perjanjian itu atau rancangan pentadbiran Trump, dan tiada sebarang jadual taklimat diumumkan.
Kritikan Terhadap Pelepasan Aset Iran
Antara kritikan paling keras ialah laporan bahawa pentadbiran Trump bersetuju melepaskan aset Iran yang dibekukan, membenarkan penubuhan dana kekayaan swasta bernilai AS$300 bilion untuk merangsang pelaburan di Iran serta melonggarkan sekatan ekonomi.
Senator Republikan dari Louisiana, Bill Cassidy, berkata cita-cita nuklear Iran tidak berjaya dibendung.
"Iran kini belajar bahawa mengancam Selat Hormuz berkesan dan mereka pasti akan menggunakan taktik itu lagi pada masa depan," katanya.
Beliau menyatakan bahawa sebelum perang, Selat Hormuz terbuka dan Iran berdepan sekatan yang ketat.
"Kini, 13 rakyat Amerika terbunuh, keluarga-keluarga membayar berbilion dolar untuk bahan api, sekatan akan ditarik balik dan pengeboman dihentikan. Ini adalah kesilapan dasar luar paling buruk dalam beberapa dekad," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, Roger Wicker, pula bimbang MOU itu mengorbankan kejayaan ketenteraan Amerika.
Beliau juga menentang sebarang langkah memaksa Israel menghentikan operasi terhadap Hizbullah di Lubnan serta membantah penarikan sekatan atau pelepasan dana Iran hanya sebagai balasan kepada persetujuan Iran untuk berunding selama 60 hari lagi.
Trump Balas Pengkritik
Trump membalas kritikan itu menerusi media sosial.
"Golongan bodoh ini, yang fikir saya tidak cukup tegas terhadap Iran, sedangkan pasaran saham baru sahaja mencatat rekod tertinggi dan harga minyak sedang menjunam, sama ada mereka cemburu, berniat jahat atau tidak bijak. MAKE AMERICA GREAT AGAIN!," katanya.
Perjanjian yang membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan konflik itu dilihat sebagai perkembangan positif bagi Trump, yang memerlukan jalan keluar daripada perang yang telah meningkatkan harga tenaga dan mengurangkan sumber ketenteraan Amerika.
Namun, pengkritik berhujah bahawa perjanjian sementara itu memberi manfaat besar kepada Iran sebagai pertukaran kepada dua perkara yang sebenarnya telah dimiliki Amerika sebelum perang, iaitu laluan Hormuz yang terbuka dan janji Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear.
Pengulas Konservatif Turut Mengkritik
Pengulas konservatif terkenal, Ben Shapiro, yang sebelum ini menyokong serangan AS-Israel terhadap Iran, menyifatkan memorandum tersebut sebagai "bencana".
Beliau menyalahkan Naib Presiden, JD Vance kerana menyokong perjanjian itu.
"Berdasarkan teks yang ada, MOU ini kelihatan seperti satu bencana yang gagal mencapai matlamat utama pentadbiran," katanya.
Seorang lagi penyokong kuat Trump, Mark Levin, turut mengkritik keputusan pentadbiran yang tidak memasukkan isu peluru berpandu balistik Iran dalam perjanjian.
"Meremehkan ancaman peluru berpandu ini dan tidak memasukkannya dalam sebarang perjanjian adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab," katanya.
Ada Republikan Yang Menyokong
Walaupun menerima kritikan, perjanjian itu masih mendapat sokongan daripada sebahagian Republikan.
Senator Republikan dari Kansas, Roger Marshall, memuji Trump kerana memilih "jalan menuju keamanan berkekalan dan bukannya satu lagi perang tanpa penghujung".
Beliau berkata akan terdapat kawalan terhadap bagaimana Iran membelanjakan dana yang diterima dan wang tersebut tidak datang daripada pembayar cukai Amerika.
Perlu Semakan Kongres
Ahli-ahli Kongres mungkin akan menyemak perjanjian itu pada masa hadapan.
Di bawah Akta Semakan Perjanjian Nuklear Iran-Amerika Syarikat (INARA), sebarang perjanjian yang melibatkan program nuklear Iran dan pelonggaran sekatan perlu diteliti oleh Kongres.
Pentadbiran Trump memberikan isyarat bercampur-campur sama ada perjanjian itu akan dihantar untuk semakan Kongres.
Namun beberapa ahli politik, termasuk Senator Republikan, Lindsey Graham berkata dokumen tersebut mesti dibawa ke Capitol Hill untuk diteliti. - REUTERS