DARA, AMOI &
KELAT DISELUDUP ?
Mata dan hati saya mula terbuka bila berita Dara , Amoi dan Kelat muncul dalam media. Ini tiga ekor gajah – warga asli Tanah Melayu - kini dikurung dalam Zoo Tennoji Osaka Jepun.
Apa yang menarik perhatian saya ialah wujudnya Pertubuhan Bukan Kerajaan ( NGO ) yang menimbul dan membawa berita tiga ekor gajah ini ke pengetahuan umum.
Kumpulan Bukan Kerajaan ini memainkan peranan yang penting untuk memberi kesedaran dan pencerahan dalam hal ehwal haiwan. Tanpa mereka saya tidak akan mengetahui tentang nasib Dara, Amoi dan Kelat yang sedang terkurung di Osaka Jepun.
Kesedaran dan pencerahan tentang kebajikan haiwan ini bukan satu yang baru dalam negara kita.
Saya pernah membaca laporan BERNAMA pada 7 Ogos 2025 bilamana seorang Pak Cik telah di denda 30 ribu ringgit oleh Mahkamah Sesyen Ampang. Pak Cik ini telah didenda kerana memukul Lucky anjing peliharaannya dengan rotan dan paip.
Untuk saya berita ini menunjukkan bahawa masyarakat kita telah setapak maju ke hadapan. Telah ada kesedaran di kalangan warga bahawa haiwan juga mempunyai hak asasi.
Malah kita juga wajib berbangga kerana negara kita pada tahun 2015 telah meluluskan Undang-Undang Penganiayaan Haiwan. Hukuman berat ke atas Pak Cik yang memukul Lucky termaktub di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Seksyen ini melarang keras sebarang bentuk kezaliman terhadap haiwan, termasuk: Memukul atau menyepak haiwan. Mencederakan menggunakan senjata (seperti besi atau buluh). Mengabaikan kebajikan sehingga menyebabkan penderitaan. Meracun atau membunuh haiwan tanpa alasan munasabah.
Kita juga ada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan 2022): Kesalahan mengimport, mengeksport, atau menyeludup hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,000 dan penjara sehingga 15 tahun.
Undang-undang dan Akta ini pada hemat saya membuktikan bahawa Malaysia kini dalam landasan tamadun kemanusiaan yang betul. Kita bukan saja menjaga Hak Asasi Manusia tetapi kita juga menjaga Hak Asasi Haiwan.
Lalu timbul persoalan bagaimana Dara, Amoi dan Kelat boleh berhijrah ke Osaka Jepun?
Soalan ini menjadi tanda tanya kerana yang berhijrah ialah gajah. Bagaimana haiwan gajah yang amat besar ini boleh dihantar ke Jepun. Gajah tiga ekor ini bukan berpindah dari Segambut ke Sri Kembangan.
Dara, Amoi dan Kelat diangkut cara apa ke Osaka. Naik kapal terbang atau naik kapal laut. Wajib ada pasport atau tidak. Saya bertanya hal ini kerana saya ada pengalaman dalam hal menghantar haiwan ke luar negara.
Tiga tahun dulu saekor anjing jantan muda – telah saya ditemui bersendirian berkelana di Tanah Perkuburan Hokkien. Ini wilayah tempat saya membawa anjing peliharaan saya Tak Tak dan Ezi – berjalan setiap pagi dan petang.
Anjing buangan ini telah berkawan dengan anjing saya. Lalu di beri nama Oskar.
Oskar perlu dihantar ke Singapura. Proses ini mengambil masa lebih dari satu bulan. Ketika menunggu proses penghantaran Si Oskar telah saya bawa menumpang di flet saya. Ini menjadikan katil saya sempit untuk tiga ekor anjing.
Butiran Oskar telah diambil oleh pihak berwajib. Kemudian Oskar wajib mendapat suntikan dan di kuarantin selama satu bulan sebelum di terbangkan ke Singapura.
Hakikatnya proses menghantar haiwan hidup ke luar negara ini bukan perkara yang mudah. Surat menyurat , permit dan lesen di perlukan. Ada sistem peraturan yang ketat yang wajib di patuhi.
Pengalaman menghantar Oskar ini meyakinkan saya bahawa pasti menghantar tiga ekor gajah ke Jepun juga memerlukan proses yang lebih rapi dan teliti.
Peraturan menghantar haiwan liar ini semuanya termaktub dalam Piagam CITES. Kalau untuk negara kita ada United Nation atau PBB. Untuk haiwan dan tanaman ada CITES : Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam.
Saya meneliti dan terus mencari maklumat untuk tahu tentang Dara , Amoi dan Kelat.
Saya membaca maklumat dari William Keith Lindsay seorang pakar biologi pemuliharaan dan perunding alam sekitar yang berpangkalan di Oxford England. Sosok ini telah membuat kajian di 14 buah zoo di Jepun termasuk Zoo Tennoji di Osaka dimana Hiroko saekor gajah telah mati pada tahun 2018.
Dara kini berumur 14 tahun. Amoi berumur 9 tahun dan Kelat gajah jantan berumur 20 tahun. Ketika Dara berumur 1 tahun , Amoi berumur 2 tahun dan Kelat berumur 5 tahun mereka yang yatim piatu telah di selamatkan dan di hantar ke Pusat Pemuliharaan Binatang Liar di Kuala Gandah Pahang di bawah Jabatan Perhilitan.
Apa yang kita baca – malah saya sendiri – telah menulis bahawa Dara, Amoi dan Kelat ini telah berpindah dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka.
Ini fakta salah.
Tiga ekor gajah ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Taiping. Satelah mereka di selamatkan mereka bertiga adalah warga Kuala Gandah.
Lalu persoalan timbul – dari mana punca berita yang mengatakan bahawa Tiga Ekor Yatim Piatu ini tinggal dan di besarkan di Zoo Taiping. Apakah nama Zoo Taiping ini disebut sama untuk membolehkan Dara, Amoi dan Kelat di terbangkan ke Osaka.
Ini kerana dalam Piagam CITES ada di nyatakan bahawa haiwan yang boleh di hantar ke luar negara adalah haiwan yang di lahir dan di besar dalam zoo. Ini untuk mengelakkan haiwan liar di tangkap dan terus di eksport ke luar negara.
Bila saya sampai ke perkara eksport dan seludup haiwan liar ini saya terperanjat. Kita selalu terbaca berita PDRM dan Kastam menangkap penyeludup dadah. Amat jarang kita terbaca haiwan liar di seludup.
Jangan terperanjat - perdagangan haram menyeludup hidupan liar di peringkat global dianggarkan bernilai antara 20 bilion hingga 23 bilion dolar setahun. Ini perdagangan haram keempat terbesar di dunia.
Manakala penyeludupan dadah bernilai antara 426 bilion hingga 652 bilion dolar setahun. Diikuti oleh pemalsuan barangan dan perdagangan manusia.
Penyeludup hidupan liar kerap menggunakan laluan transit dan kaedah penyembunyian yang sama seperti yang digunakan oleh kartel dadah untuk merentas sempadan.
Justeru Dara, Amoi dan Kelat ini mungkin .. saya ulangi mungkin ... termasuk dalam rangkaian jenayah terancang antarabangsa.
Kemungkinan saya menganggap Dara, Amoi dan Kelat telah di seludup kerana Berita Harian pada 22 Jun 2026 ada melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka kertas siasatan isu pemindahan tiga gajah a dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
SPRM dalam satu kenyataan , memaklumkan ketika ini sedang giat mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
"Siasatan kini memberi tumpuan kepada NRES, PERHILITAN serta ejen yang terbabit dalam urusan pemindahan Dara, Amoi dan Kelat,".
Ada dakwaan yang mengatakan bahawa bayaran berkait urusan ke Osaka yang tidak disalurkan kepada kerajaan. Juga ada beberapa individu dikaitkan dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta.
Justeru SPRM masuk menyiasat. Kita biarkan SPRM menjalankan tugas.
Sementara menunggu hasil siasat SPRM kita juga wajib terus meneliti dan mengikuti perkembangan Dara Amoi dan Kelat dari jauh.
Dapatan kaji selidik pakar biologi pemuliharaan dan perunding alam sekitar William Keith Lindsay yang baru di keluarkan pada 21 Mei 2026 menunjukkan bahawa Zoo Tennoji ini tidak sesuai untuk menjadi rumah baru untuk Dara Amoi dan Kelat.
Ada banyak dapatan kajian dari pakar biologi dari Oxford ini. Wajib di garis merahkan bahawa Zoo Tennoji ini adalah tempat Arwah Hiroko meninggal dunia pada tahun 2018. Justeru kita sebagai warga wajib terus menuntut agar Dara, Amoi dan Kelat di bawa pulang dengan segera.
Apa lagi dapatan kajian itu ? Sila tunggu minggu hadapan, Amin. (TT)
TULISAN INI
DISIARKA JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/778742















