Khamis, 14 November 2024

TRUMP DAN DAULAH TERPENDAM


DONALD TRUMP 

DAN

DAULAH TERPENDAM


Pada Selasa 5 November 2024 Donald Trump menang pemilihan Presiden Amerika. Trump akan angkat sumpah pada 20 Januari 2025 sebagai  Presiden Amerika ke 47. Lebih dari 70 juta warga Amerika memilih Trump sebagai Presiden. Trump mengalahkan Kamala Harris.

Tetapi dari apa yang saya amati  daulah terpendam atau deep state tidak  bersetuju dengan pilihan 70 juta undian ini. 

Siapa daulah terpendam ini ? Kenapa tidak bersetuju dengan pilihan orang ramai ?

Justeru adalah   wajib  untuk saya terangkan lebih awal apa  dan siapa itu daulah terpendam. Pemahaman konsep dualah terpendam ini penting. 

Daulah terpendam ini  ialah kerajaan dalam kerajaan. Kumpulan dan sosok-sosok berkumpul secara tidak resmi dan mereka terikat  dalam rangkaian kuasa. Mereka bergerak secara rahsia dan tidak resmi.  Beroperasi secara bebas daripada kepimpinan politik  resmi sesebuah negara. Mereka ada memiliki agenda dan matlamat mereka sendiri yang mungkin tidak selari dengan kepentingan negara. 

Contohnya : Mereka mungkin pegawai tinggi polis atau tentera yang masih bertugas atau telah pencen. Mereka mungkin juga pegawai tinggi di jabatan kerajaan yang sedang bertugas atau telah bersara. Mereka mungkin dari kalangan kaum feudal.  Bersama mereka adalah para cukong, ahli perniagaan, pemilik industri dan towkay judi dan lendir yang berkepentingan dalam perniagaan.

Cara mereka bekerja ialah melobi kerajaan yang sedia ada untuk  menerima cadangan mereka. Mereka mengajukan cadangan untuk meluluskan projek mereka. Mereka memesongkan  dasar negara ke arah  dasar dan garis   yang memberi keuntungan kepada mereka.

Semua pergerakan mereka dalam gelap dan tidak rasmi. Bila mana projek atau cadangan mereka telah di terima maka kerajaan seperti kerajaan Madani hari ini akan mengumum seolah-olah ini projek berasal dari kerajaan. 

Contoh terbaik di Malaysia ialah kes Fashion Valet dan 5G.  Tup tup di umum. Bila di tanya wartawan  jurucakap kerajaan sendiri tidak tahu menahu dan minta masa untuk mencari jawapan.

Apa yang mengikat mereka ialah kepentingan bersama. Pandangan dunia yang sama. Paling mustahak kepentingan ekonomi  untuk yang meraih keuntungan bersama.

Di Amerika contoh terbaik untuk memahami daulah terpendam ialah kes pembunuhan John F Kennedy pada 22 November 1963. Presiden Amerika ke 35 ini telah di tembak mati di Dallas Texas ketika mengadakan lawatan resmi.

Hingga ke hari ini masih banyak data dan maklumat dari fail siasatan FBI dan CIA tidak di umumkan. 

Pada 17 Ogos 2023 akhbar The Christian Science Monitor melaporkan  50 tahun sesudah JFK ditembak mati masih ada beberapa ratus muka surat dokumen penyiasatan yang berkaitan dengan pembunuhan Presiden John F. Kennedy masih diklasifikasikan.

Di klasifikasikan bermakna di tutup dari pengetahuan orang ramai.

Kenapa JFK di bunuh ?

Jawabnya mudah. Ada beberapa sebab yang meyakinkan. Pertama  JFK mahu menamatkan Perang Vietnam. Kedua JFK mahu menjalankan  reformasi dalam lembaga risikan negara – CIA (Central Intelligence Agency )

Langkah JFK  anti  perang ini tidak menguntungkan industri senjata. Mereformasi CIA adalah langkah yang mungkin mengurangkan bajet gelap CIA.

Maka JFK wajib dijimatkan.

Bagaimana pula dengan Donald Trump?
Apakah Trump akan dijimatkan seperti JFK?

Kes Trump lagi memeranjatkan. Belum menang lagi, ketika  Trump masih berkempen telah dua kali – saya ulang - telah dua kali ada percubaan membunuh ke atas dirinya.

Semua jari menunjukkan ke arah satu konspirasi yang mahu Trump mati dan tidak bertanding. Amin.

Pada 8 November 2024 tiga  hari sesudah Trump menang stesen Al-Jazeera  melaporkan : Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah membuka tuduhan jenayah terhadap seorang lelaki yang didakwa ditugaskan oleh Iran untuk "mengawasi dan merancang untuk membunuh" Donald Trump sebelum pilihan raya presiden.

Aduan jenayah yang difailkan di mahkamah persekutuan di Manhattan  New York berkata seorang ejen dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah mengarahkan seorang warga Afghanistan, Farhad Shakeri, untuk menyediakan rancangan itu pada bulan  Oktober.

Jelas - Iran kini dituduh sebagai merancang untuk membunuh Donald Trump. Apakah ini masuk akal? 

Untuk saya ini adalah perancangan dari  daulah terpendam yang bekerja sama dengan kumpulan Zionis di Amerika.

Tujuan jelas untuk memastikan Trump tidak akan mengubah dasar Amerika yang menjadikan Iran sebagai musuh.  Daulah terpendam mahu meyakinkan  Trump sendiri bahawa Iran itu musuh ketat Amerika dan musuh peribadi Trump. Sekatan ekonomi wajib diteruskan.

Jangan lupa pada malam 13 April 1993, sehari sebelum George H. W. Bush dijadualkan melawat Kuwait City untuk memperingati kemenangan gabungan antarabangsa menentang Iraq dalam Perang Teluk Parsi, pihak berkuasa Kuwait menahan 14 orang yang disyaki dalam komplot untuk membunuh Bush menggunakan bahan letupan yang disembunyikan di sebuah Toyota Landcruiser.

George Bush nak kena bunuh. Trump pun nak kena bunuh oleh pengganas. Lihat persamaan.

Berita projek Iran nak bunuh Trump ini menjadi lawak kerana Sang Pembunuh belum pun memiliki pasport. Kah kah kah.   Farhad Shakeri ini belum lagi membeli tiket kapal terbang menuju Amerika. Kah kah kah.

Daulah terpendam mengarahkan  media  untuk memilih Kamal Harris sebagai calon Presiden. Jika  Kamala menjadi Presiden maka suasana politik Amerika  akan tenteram sedikit. Kekuatan Kamala ialah dia akan setia dan mengikut skrip yang di tulis oleh daulah terpendam.

Justeru kita melihat semua – saya ulang – semua media arus perdana Amerika memberi laporan bahawa perlawanan Trump Kamala ini ‘ neck to neck – leher ke leher ‘ ertinya kedua-dua  memiliki sama peluang untuk menang.

Ini hampeh. Ini bohong. Ini propaganda.

Semua ini dilakukan untuk memastikan undi tidak pergi ke Trump. Perkara yang sama telah di lakukan oleh media Amerika pada tahun 2016 ketika Trump melawan Hillary Clinton.

Para pembaca akan bertanya siapa kepala ‘ deep state’ di Amerika ini?

Jawabnya bukan susah.  Di Amerika ada sistem lobi yang resmi.  Lembaga-lembaga lobi mendaftar dan menunjukkan siapa yang mereka wakili dan membiayai mereka. 

Dana bertukar tangan dengan terbuka dan tidak dalam gelap. Dana ini untuk kegunaan kempen politik.  Kempen politik di Amerika bukan kecik anak. 

Pelobi paling berpengaruh di Amerika  ialah AIPAC  (American Isreal Public Affairs Committee ).  Badan pelobi seperti AIPAC   boleh bersuara dan mengeluarkan pandangan  di media dan  dikaca TV.  Seyogia diingati di belakang pelobi  ini ada jaringan sosok-sosok yang berpengaruh.

Contoh kejayaan daulah terpendam paling  jelas di Amerika ialah bagaimana Amerika telah membuka tiga medan perang - Perang Iraq, Perang Syria dan Perang Libya.

Daulah terpendam memasukan jarum agar negara-negara Arab ini di serang. Ketiga-tiga negara Arab ini berpotensi untuk melawan Israel. 

Israel melalui daulah terpendam telah  menggunakan Amerika untuk memerangi Arab. Anak anak muda Amerika  menjadi mayat kerana Israel. Sedih tetapi benar Amerika tidak ada apa-apa keuntungan dalam ketiga-tiga perang ini.

Yang memungut laba dan untung ialah Israel. Ini contoh cara daulah terpendam bergerak di Amerika.

Tetapi Trump bukan menyokong Palestin. Trump juga bersahabat baik dengan Benjamin Netanyahu. Betul.

Pada ketika ini apa yang merisaukan daulah terpendam bukan sokongan Trump terhadap Israel. Yang amat menakutkan daulah terpendam hari ini ialah sikap dan tindak tanduk Donald Trump ini tidak dapat di baca.

Pada 10 November 2024 agensi berita Bloomberg telah menulis tajuk berita : “ Rancangan Dasar Luar Donald Trump Tidak Dapat Diramalkan.
 
Sekutu  dan penyokong Donald Trump berhujah bahawa ketidakpastiannya adalah ciri dan aset utama Trump  dalam berurusan dengan seluruh dunia. Itu menjadikan perjalanan dasar luar pentadbirannya mencabar”.

Daulah terpendam merasa risau dan sangsi terhadap tindak tanduk Trump dalam  dasar luar negara. Maka dualah terpendam mula bergerak.

Mengikut laporan  akhbar Washington Post pada 10 November lalu Trump telah menalipon Putin. Akhbar ini melaporkan, bahawa Trump telah menggesa pemimpin Rusia itu untuk tidak meningkatkan perang di Ukraine. The Post, memetik beberapa orang yang biasa dengan panggilan itu yang bercakap atas dasar tidak mahu namanya disiarkan. Trump telah mengingatkan Putin tentang kehadiran tentera AS yang cukup besar di Eropah.” 

Sehari kemudian akhbar Le Monde dari Paris melaporkan – “ Kremlin, pada hari Isnin, 11 November, menafikan laporan media Amerika bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden  Donald Trump berkongsi panggilan mengenai konflik Ukraine.” Jeng jeng jeng.

Lihat bagaimana daulah terpendam membuat kerja menyebar berita palsu. Malah berita ini  ada menyebut kehadiran tentera Amerika di Eropah. Ini jelas sebagai ancaman. Yang pelik lagi benar  Mamat yang tahu tentang perbualan talipon ini tidak mahu nama disebutkan. Jeng jeng jeng.

Ketika tulisan ini di garap Trump sedang memilih ahli-ahli dan anggota kabinet. Trump juga akan melantik para pegawai yang akan bersama dalam pentadbiran Presiden Amerika ke 47.

Pada kali pertama Trump menjadi Presiden pada tahun 2016 dilihat pentadbiran Trump kacau bilau. Perletakkan jawatan berlaku disana sini.

Mungkin kali ini Trump telah mengumpul pengalaman dan memperbaiki cara urus pejabat.

Dua dasar yang  dunia sedang menunggu ialah apakah Donald Trump akan menamatkan Perang Ukraine dan Perang Gaza.

Tapi yakinlah  daulah terpendam akan terus  memerhati apakah dasar Trump ini akan menguntungkan mereka. Amin .(TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/725892










Tiada ulasan:

Catat Ulasan