'Ini kemuncak nafi hak bersuara': Wartawan veteran selar kerajaan pinda akta komunikasi
Dua bekas pengarang kanan tertinggi mengecam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas rekod buruk kebebasan akhbarnya dalam masa singkat dua tahun sejak berkuasa, apabila kritikan semakin kedengaran terhadap apa yang dilihat sebagai usaha memperkasakan kuasa kerajaan menghalang perbezaan pendapat melalui pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia.
A Kadir Jasin dan Zaini Hassan menyifatkan pindaan itu sebagai contoh terbaru usaha kerajaan mengekang kritikan, susulan siri tindakan terhadap pengguna media sosial yang turut menyaksikan kemerosotan indeks kebebasan media di negara ini.
"Inilah yang orang kata 'the ultimate' yang anda boleh lakukan apabila anda berkuasa," Zaini, bekas pengarang kanan Utusan Malaysia ketika zaman kegemilangan akhbar harian itu, memberitahu MalaysiaNow.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini membentangkan siri pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia, mencetuskan kritikan kumpulan wartawan dan hak asasi manusia.
Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan kerajaan yang masih enggan memansuhkan salah satu seksyen dalam akta itu yang kerap digunakan terhadap pemimpin pembangkang dan pengkritik dalam talian.
LFL yang telah beberapa kali mengkritik Pakatan Harapan (PH) kerana tidak memenuhi janji reformasinya sejak dua dekad lalu, berkata pindaan itu akan menghidupkan semula Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan gabungan itu pada 2018 sejurus selepas mengambil alih kuasa di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
LFL memberikan contoh beberapa istilah yang dimasukkan dalam pindaan itu seperti "mengelirukan" atau "tidak lengkap" dalam definisi penyalahgunaan fasiliti rangkaian seperti termaktub di bawah Seksyen 233 akta tersebut.
Menurutnya, langkah itu bakal meluaskan skop kesalahan yang akan menyaksikan sesiapa sahaja boleh didakwa atas salah guna kemudahan rangkaian semata-mata kerana tidak memberikan butiran penuh mengenai sesuatu kritikan mereka terhadap kerajaan.
"Ia akan menakutkan orang awam dan menghalang mereka daripada menyertai perbincangan berkaitan hal-hal kepentingan awam. Ia mempunyai kesan buruk terhadap kebebasan bersuara," kata jurucakap LFL Zaid Malek, yang berkata pindaan kepada Seksyen 233 itu memenuhi objektif Akta Antiberita Tidak Benar.
Zaini bagaimanapun tidak terkejut dengan langkah itu.
"Ketika jadi pembangkang, dia kata dizalimi," katanya, sambil menyifatkan ahli politik PH kini melakukan perkara yang berlawanan daripada apa yang diperjuangkan.
"Semuanya jadi tunggang terbalik," tambahnya.
'Ketua penapis'
Pindaan lain yang dicadangkan oleh kerajaan termasuk memberikan lebih banyak kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah kementerian komunikasi yang bertanggungjawab untuk menyekat laman berita yang mengkritik kerajaan.
Pindaan tersebut juga akan memberikan imuniti kepada SKMM dan pegawainya daripada pendakwaan atau tindakan undang-undang lain.
Sementara itu, Kadir memberi amaran pindaan itu akan menjadikan SKMM "ketua penapis" yang berfungsi menyekat pandangan dan kandungan yang tidak disenangi kerajaan.
"Sekarang pun, kita sudah lihat bagaimana SKMM bertindak sebagai Penapis bagi pihak kerajaan," kata Kadir, yang pernah mengetuai kumpulan media New Straits Times Press.
"Melainkanlah kerajaan Malaysia Madani tidak peduli kepada pandangan dan penarafan antarabangsa, ia tentu tahu bahawa kebebasan media negara kita semakin dicurigai," tulis Kadir baru-baru ini.
Malaysia jatuh ke tempat 107 dalam Indeks Kebebasan Media yang disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF), iaitu susut 34 anak tangga daripada 73 sebelumnya.
Indeks itu yang menilai kebebasan media dan kewartawanan di 180 buah negara berdasarkan tindak tanduk kerajaan dan peristiwa sepanjang 2023, menjadikannya penilaian pertama mengenai kebebasan akhbar di bawah kerajaan campuran Anwar.
Kerajaan sering menggunakan alasan 3R - agama, raja dan kaum - untuk mengekang kritikan terhadapnya dan melakukan pendakwaan di bawah kesalahan hasutan.
Anwar sebelum ini berkata beliau tidak kisah sekiranya kebebasan akhbar Malaysia merosot kerana ia disebabkan usaha kerajaan membanteras "perkauman dan fanatik agama".
"Saya tidak kisah, tidak mengapa, jika kita diturunkan taraf semata-mata kerana tegas menentang perkauman dan fanatik agama," katanya pada Mei.
Kerajaan Anwar mula menyekat kebebasan bersuara sejurus selepas berkuasa pada November 2022, di sebalik penolakan pengundi Melayu terhadap PH dalam pilihan raya umum.
Sejak itu, kerajaan melalui SKMM kerap mengancam platform seperti TikTok untuk memadam kandungan yang mengkritik dasar Putrajaya.
Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak.
Turut disekat ialah laman TV Pertiwi dan Utusan TV, begitu juga blog yang dikendalikan bekas ahli Parlimen, Wee Choo Keong.
Siapa lanchow? Yang kita undi sebab you laung laung saya ulang saya ulang..yang bodoh saya sebab piricaya sama you punya mulut..dah ler you bleh retire..kasi itu kirija sama saya..mesia selamat
BalasPadam